Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SASTERA

ARKIB : 27/07/2008
Senja-Senja Brasilia

Senja-Senja Brasilia

“Kau tak percayakan takdir, Wir?"
Hujan menggeluyur. Megalopolis Rio de Janeiro, bermaksud Sungai Januari seperti gelar pertama diberikan penjelajah Portugis Amerigo Vespucci pada tahun 1502, kebasahan sedari pagi. Namun Izmer berkeras, menggelenyar mahu juga mendaki Sugar Loaf Mountain dengan kereta kabel sebelum penerbangan pulang ke Kuala Lumpur lewat malam nanti.

Wirda mengimbang kamera sebelah, mengepit batang payung sebelah. Izmer beraksi santai di pinggir pelantar pemerhati salah satu pundak tertinggi perbanjaran Sierra do Mar. Ceracak pencakar langit di pesisiran Ipanema dan Copacabana melatari, memantul pencahayaan lemah semulajadi. Wirda menaikkan telunjuk, disusuli jari hantu di tengah. Jari ibu bekerja dan silau meletus sekali.

Takdir, dia mengemam bibir. Foto terakam pada kad memori diperiksa sebelum lensa kembali ditala. Izmer sudah bersedia untuk foto seterusnya. Kali ini, imejan sayup Niteroi Bridge di kejauhan pula menjadi pilihan. Wirda patuh mengacu fokus.

Wirda menurunkan kamera digital. Izmer mengeluarkan buku nota kecil yang tidak lekang dikelek ke mana-mana lalu tunduk mencatat. Lelaki itu bertubuh kecil resmi saiz badan orang Asia, terasing antara susuk-susuk sasa tinggi pria-pria Brasilia. Parasnya menyejukkan, wajah bujur sirih dihiasi sepasang mata bundar bersinar di balik sepasang kanta cekung berpreskripsi. Sejungkir senyum ramah dan kerutan-kerutan musykil di dahi tidak jauh berbeda dari Izmer si idealis dari era sekolah berasrama. Oleh sebab itu, meski hampir sedasawarsa tidak bertemu muka, Wirda langsung tidak bermasalah mengecam seorang teman lama.

Takdir. Kalimah sepatah menggema lagi. Takdirkah yang menghantar Izmer jauh ke selatan benua Amerika, memburu rahsia bahan api etanol dari tanaman tebu seliaan PetroBras, suatu projek jangka panjang kini kebetulan di bawah pantauan seorang jurutera dari Malaysia?

“Aku lebih menyenangi logika, statistik dan praktikaliti, Iz.”

Izmer menoleh. Konsentrasi terganggu, atau barangkali kekagetan sementelah tidak berharapan omelan ringkas disahut. Pena mata bulat di tangan diketap lalu dikelip ke bucu kocek jaket.

“Belum memadaikah harga minyak mentah yang mencecah AS$136 setong di pasaran dunia, harga minyak petrol tanpa plumbum dinaikkan kepada RM2.70 seliter dan kegawatan sosio-ekonomi di Malaysia untuk memujukmu kembali mencurah kepakaran di tanah air sendiri?”

“Engkau meletakkan kedudukanku seumpama wira.” Wirda cuba berlucu, namun usaha tanpa sabitan terlontar hambar.

“Mengapa tidak?” Izmer mencabar. Wirda tergeleng-geleng kecil.

“Pendekatanku belum tentu popular di kalangan khalayak Malaysia yang sinonim menuntut penyelesaian tuntas. Jangan fikir aku tak pernah mencuba, Iz. Jika idea-ideaku diterima, mustahillah aku bermastautin sebegini jauh dari tanah tumpah darahku sendiri. Saban kali harga petrol meningkat, rakyat akan menjeritkan resolusi, sedangkan sebagai pakar pengurusan tenaga dan tenaga alternatif, metodologiku mengambil masa dan dengan kedudukan Malaysia yang jauh terkebelakang, aku bukanlah calon penyelamat.”

“Takkanlah sebegitu mudah engkau beralah?” Izmer mengusik, sayang gagal ditafsir Wirda. Perempuan itu mengesip mata sekali sebelum serius mengatur tutur.

“Bukan beralah, tetapi sekadar melampiaskan praktikaliti. Siapalah aku untuk menyekat permintaan daripada pengguna-pengguna minyak mentah gergasi seumpama Amerika Syarikat dan China? Dan apalah pula kudratku menekan Organisasi Negara-Negara Pengeksport Petroleum atau OPEC yang dianggotai 13 negara untuk meningkatkan pengeluaran agar kedudukan harga minyak mentah menemui titik keseimbangan seperti diunjurkan hukum permintaan dan pengeluaran oleh Alfred Marshall?”

Disepit

Khali. Wirda menjeling ke sisi. Izmer menyelak-nyelak buku nota kecil. Dengan pena mata bulat sekali lagi disepit kemas antara jari-jemari, dia sesekali menitiskan tinta ke kertas sedia padat oleh pelbagai. Izmer, nama itu gemersik antara ulas bibir. Si ketua pelajar karismatik di kampus kecil sebuah institusi pengajian menengah tinggi yang semena- mena muncul lalu meniupkan rencam komplikasi sekian lama tertanam dalam diri. Takdirkah ini, takdirkah?

“Engkau pernah dengar Teori Kemuncak Hubbert?” Wirda mengesat tempias-tempias seni di pipi. Izmer mengangkat muka, menggangguk. Tangan kanan dibenam ke dalam kocek celana, menggagau sehelai sapu tangan biru pastel tanpa corak.

“Pada tahun 1956, Marion King Hubbert, seorang saintis dari makmal penyelidikan Shell Oil di Houston, Texas telah menggemparkan komuniti petroleum Amerika dan dunia dengan ramalannya bahawa pengeluaran minyak mentah di Amerika Syarikat akan mencapai kemuncaknya sekitar tahun tujuh puluhan. King mencapai kesimpulan ini melalui penelitian dan pengiraan teliti berdasarkan data rizab minyak di seluruh Amerika pada masa itu dan membandingkannya pula dengan kadar pengeluaran harian purata.”

Anggukan beralih giliran. Wirda mengembalikan sapu tangan biru. Izmer melipat fabrik kapas segi empat sama kini dicemari tompok-tompok gelap. Cenderamata dari tanah Lembangan Amazon, hati berdetak nakal. Jenaka bisu hampir meledakkan tawa namun dia lekas mengempang rentetan lirikan curiga dari ekor mata Wirda. Tenungan inkuisif seorang jurutera terlatih bertukar saintis, selesa menabur kemahiran membangunkan teknologi di negara asing daripada berbakti memajukan negara sendiri. Alangkah rugi!

Izmer mengalih anak mata. Perhatian dipusat penuh pada Wirda yang bersiaga memulakan bicara.

“Sekilas pandang, aku terpaksa bersetuju bahawa Teori Kemuncak Hubbert akan ditolak oleh sesiapa juga. Namun, apakala dipertimbangkan ia melalui pendekatan lain, statistik contohnya, kebarangkalian baru akan tercipta. Engkau barangkali maklum bahawa hampir semua pemboleh ubah yang wujud di dunia ini mematuhi taburan normal, atau Gaussian yang berbentuk loceng. Secara visual, ia bermaksud apabila kuantiti pemboleh ubah, dalam kes ini katakanlah pengeluaran minyak mentah mengikut jumlah tong, diplotkan lawan masa dalam tahun misalnya, graf yang menunjukkan peningkatan sehingga mencapai takah tertinggi sebelum menurun kembali mengikut aliran simetri akan terbentuk. Itulah sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Hubbert. Setelah pengeluaran maksimum, bersiap sedialah untuk menghadapi krisis kekurangan bahan api.”

“Namun jangan engkau lupa Teori Hubbert sudah berusia 50 tahun. Dengan kehadiran pelbagai teknologi baru, adakah ia satu mekanisme yang masih relevan dan berbaloi untuk diberi pertimbangkan? “Usulan Izmer disambut Wirda dengan jungkitan kedua belah bahu.

“Sukar menjawab pertanyaan itu secara hitam putih. Kepada golongan anti-Hubbert, sungguh pun setelah ramalan itu terbukti pada tahun 1970, tentunya sekali lagi mengesampingkan teori menarik ini. Pengeluaran meningkat semula selepas itu, jadi di mana bencananya, laung mereka. Lebih parah, beberapa hari lalu kita membaca pula di media bahawa Presiden George W Bush dalam rundingannya bersama Menteri Tenaga dan Minyak Arab Saudi telah berjaya mendesak pemimpin OPEC itu menaikkan kuota pengeluaran negaranya kepada 9.7 juta tong sehari. Rizab minyak masih banyak, jerit golongan skeptis ini lagi.”

“Tetapi engkau berpendapat sebaliknya,” Izmer bijak menduga. Wirda melepaskan keluhan halus.

“Aku lebih konservatif, Iz. Petroleum adalah sumber tenaga dari perut bumi yang bersifat tidak boleh diperbaharui. Fosil flora dan fauna bertukar menjadi bahan api setelah tertanam di bawah tekanan dan suhu tinggi selama berjuta-juta tahun, namun mengekstraknya sehingga kering hanya mengambil masa sepuluh, dua puluh atau seratus tahun sahaja, itu pun jika pelan pengeluaran berkala dan sistematik adalah polisi. Engkau fikirkanlah, setelah mencapai kapasiti tertinggi, jikalau direnung secara logik akal sekali pun, tentulah mustahil untuk sesuatu itu mengekalkan persembahannya pada takah yang sama selama-lamanya.”

Wirda kekaguman. “Wah, engkau ini jurnalis atau ekonomis?” Dia tertawa akhirnya, perlahan tetapi lemak.

“Dan engkau, dari seorang jurutera petroleum, cabang kerjaya stereotaip dilabel mengabaikan etika alam sekitar sekelip mata bergelar saintis berfahaman environmentalis...” Izmer mengumpan lagi.

“Argh, engkau pintar merungkai cerita!” Tawa kecil Wirda menggema beranak-anak, meningkah titis gerimis berdetak-detak menimpa bata terracotta. Izmer mengerling, menanti. Inikah takdir yang seharusnya diraikan? Izmer dan pena bulatnya dan Wirda dan cita-cita besarnya? Wirda kehabisan pilihan, dia menghela nafas.

“Saban kali memikirkan dilema tenaga dunia, semakin acap pula sepatah frasa panjang, ayat ke 24 dari Surah Yunus menggema di pendengaranku. Semoga kau belum jemu dengan leteran-leteranku, ya? Belum? Baiklah, terjemahannya begini: ‘Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan air itu hingga bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni) dan penduduknya pun menyangka bahawa dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya), tiba-tiba datanglahlah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur lebur, seolah-olah ia tidak pernah ada sebelum itu.” Wirda mencuri jeda, melegakan kerongkong kekeringan dengan tegukan liur, berhajat menyambung namun Izmer terlebih dahulu mencelah.

“Aku hormati dan bersetuju dengan pegangan itu. Argh, alam bukankah sekadar pinjam-pinjaman? Ia akan menaburkan nikmat dan menebarkan rahmat sekiranya peraturan emas antara manusia dan Pencipta di mana manusia memakmurkan bumi tanpa haloba memanipulasi dipatuhi. Namun, bencana akan didatangkan andai ia dilanggar.”

Wirda senyap membenarkan. Redup sepasang mata jeli ketara tatkala dia tenggelam beremosi begitu. “Ya, mujur, tetapi situasi mutakhir melibatkan perlumbaan untuk muncul sebagai pendahulu kuasa industri dan pelbagai lagi cita-cita dipacu nafsu dan ketamakan menyebabkan manusia terleka. Tuhan itu Maha Mengetahui, jika tidak, Dia tidak akan mengakhiri ayat ke 24 dari Surah Yunus itu dengan satu lagi amaran: Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya)’. Sejarah tidak berbohong, namun soalnya, siapa saja yang muhasabah?”

Retorik, namun Izmer enggan membiarkan khali memonopoli. “Kerana itu kau beralih mendalami teknologi bahan api alternatif?” Dia menebak berani.

Wirda melarikan penglihatan ke ufuk barat. Matahari berbalam di balik gemawan tebal berdikit-dikit ditelan malam. Dia sedar kesempatan berbaki semakin singkat. Izmer mesti dikejarkan ke lapangan terbang, sedangkan masih terlalu banyak yang ingin disampaikan, dikongsi. Wirda mengembungkan pipi, udara kumuhan ditahan beberapa tagal sebelum dihembus.

“Kau berbicara tentang takdir, maka biarlah aku simpulkan kesemuanya dengan berkelintar tentang takdir juga. Iz, Tuhan selain menganjurkan agar manusia mentadbir alam dengan bijaksana, turut menyeru agar kita mencari jalan untuk memperbaiki taraf kehidupan di dunia tanpa sewenang-weneng berserah kepadaNya. Izinkan aku menitipkan sebahagian ayat ke 11 dari Surah Ar‘ad, ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.’ Iz, deplesi bahan api fosil adalah ketetapan, ia qada’ sedangkan rukun iman yang keenam menyatakan terdapat suatu peruntukan lagi iaitu takdir yang berubah-ubah atau qadar. Aku percaya sebagai manusia yang dianugerahkan akal, kita sewajarnya mampu menaakul setakah dua takah terkehadapan agar qadar yang baik-baik menjadi masa depan kita.”

Telefon genggam Izmer bergegar, menjeritkan aplikasi penggera. Wirda menjelau muka jam kecil melingkari pergelangan kiri. Detik perpisahan mampir, menjentik tunas- tunas hiba.

“Ikut aku balik, Wir?” Izmer bersungguh mempelawa. Wirda mengemaskan genggaman pada batang payung bercangkuk.

“Malaysia belum bersedia untukku, Iz.”

kenyataan

Ramalan paling digeruni akhirnya menjadi kenyataan, harga minyak mentah mencecah AS$140 setong, dijangka akan terus meningkat ke paras AS$150 setong sebelum akhir musim panas. Sebagai komoditi kedua termahal selepas emas seperti disenaraikan papan dagangan New York Merchant Exchange, gelaran lama sebelum ini eksklusif milik komuniti petroleum kini menjadi bahan jenaka dunia.

Wirda menyandar pada kerusi pusing empuk. Pendingin hawa dikawal secara berpusat mengikut suhu purata seluruh kompleks pejabat menderu. Dia memicit-micit pelipis, melegakan denyutan di balik tempurung kepala.

Gelora harga minyak mentah bukanlah keganjilan namun ketidakstabilan mutakhir ini menggusarkan kerana OPEC, setelah menyatakan kesediaan meningkatkan produktiviti beberapa purnama lalu, berdolak-dalik setelah bersidang tiga hari di Jeddah.

Wirda menguap sekali. Rentan menggila menjajah tubuh. Dia bangun dari kerusi pusing lalu mula menyusun fail, folder dan timbunan kertas bercetak di atas meja kerja. Waktu pejabat sudah lama berakhir tetapi dia tidak bernafsu bekerja lebih masa. Janji temu, mesyuarat dan lawatan kerja lapangan berjujut memenuhi tentatif. Wirda mendamba rehat, terutamanya apakala agenda tugas kebelakangan ini monotona bertumpu potensi-potensi usaha sama projek biodiesel dengan agensi-agensi kerajaan pelbagai negara.

Setelah jelak menyalak, bukit akhirnya menginjak. Wirda sedar dia tidak seharusnya merungut tanpa punca. Anganan sejak sekian lama berdikit-dikit membuahkan pulangan, dia perlu meraikan bukannya mencuka merungutkan beban kerja yang melewah!

Namun dia juga harus mengaku bahawa cebis-cebis terkilan turut bertamu. Saban hari mengalu-alukan kedatangan delegasi dari tujuh benua, tetamu ditunggu-tunggu tidak juga menunjuk muka. Argh, betapa dia kepingin menjabat ketua rombongan serumpun dengan sapaan ‘apa khabar’!

Wirda mengosongkan rak kecil khas diisi keratan akhbar, makalah dan jurnal. Tanggungan materi bacaan tambahan diangkat, dipindah ke ruang lebih besar di sudut kamar. Namun kudrat wanitanya rendah daripada kebiasaan; cekalan jemari terlepas, mengumbah semua ke lantai. Wirda melutut, menyeranah diri kerana cemerkap sebelum tergesa menyusun satu persatu.

Kegopohan memakan diri. Hujung jemari terseret, mudah dipantis sisi kertas licau nan tajam. Epidermis melekang dan bintik-bintik merah mengalir. Wirda cekatan menghisap jari terluka. Kelipan artikel dua halaman dicapai, hampir dikepal kemarahan tatkala mata tertancap pada tajuk utama.

‘Biodiesel Brazil Masa Depan Malaysia?’

Foto pengarangnya terlalu seni, latar dipotong beberapa piksel demi mematuhi ruang penerbitan terhad namun Wirda terlalu kenal bebayang gunung persis sebuku gula tebu terproses ditindan paras jernih seorang jurnalis idealis. Retinanya beralih kepada kertas lekit segiempat sama urna kuning muda di penjuru kanan artikel. Tulisan tangan Izmer, menyondong kecil tetapi bulat-bulat, tertera.

‘Ayuh Wir, kita ubah takdir Malaysia!’

Sugar Loaf Mountain pasca senja gemerlap dari paras empat belas kompleks pejabat PetroBras.h

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN