VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 26/07/2008

Konflik Thailand-Kemboja

KUIL Preah Vihear merupakan sebuah kuil Hindu yang dibina di abad ke-11 atau 12 dan terletak di kawasan pergunungan Dangrek di sempadan Thailand dan Kemboja. Walaupun terdapat beberapa laluan ke kuil tersebut, laluan yang paling popular dan senang ialah melalui Thailand kerana kawasan itu lebih rendah dari di sebelah Kemboja. Penentuan sempadan Kemboja- Thai ini ditetapkan melalui Perjanjian 1907 antara Perancis (kuasa kolonial yang memerintah Kemboja) dan kerajaan Siam.

Apabila Kemboja mencapai kemerdekaan dari Perancis pada 1954, kuil ini dimasukkan sebagai sebahagian dari wilayah Kemboja. Namun pada tahun yang sama, tentera Thai telah menduduki kawasan dan kuil tersebut sehingga menyebabkan Kemboja membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 1959.

Pada tahun 1962, ICJ membuat keputusan memberikan hak kedaulatan kuil dan kawasan keliling seluas 4.6 kilometer persegi kepada Kemboja. Sejak itu dunia mengiktiraf kedaulatan Kemboja ke atas kuil Preah Vihear.

Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan segelintir masyarakat Thai. Beberapa kumpulan dan juga kerajaan Thai sebelum ini cuba mempolitikkan isu itu namun tiada masalah timbul ketika itu. sehingga Kemboja membuat permohonan kepada UNESCO agar Kuil Preah Vihear disenaraikan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.

Ekoran daripada timbul kekusutan bukan sahaja dalam hubungan Thai-Kemboja, tetapi juga menimbulkan kekalutan, mungkin juga keaiban kepada kerajaan Thai. Mahkamah Pentadbiran Thai (Administrative Court) mengeluarkan perintah melarang kerajaan Thailand daripada menyokong permohonan Kemboja.

Ini merupakan tamparan hebat kepada kerajaan Perdana Menteri, Samak Sundaravej kerana dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen sebelum ini, mereka mencapai persetujuan permohonan Kemboja itu hanya terhad kepada kuil, tidak termasuk kawasan sekeliling yang dipertikaikan.

Namun dalam satu kenyataan bersama pada Mei lalu, Menteri Luar Thailand dan Menteri Luar Kemboja bersetuju menyokong Kemboja membuat permohonan penyenaraian yang memasukkan kuil dan kawasan keliling yang masih dipertikaikan. Desakan daripada kumpulan politik anti-Samak melalui People's Alliance for Democracy membawa kes ini ke Mahkamah Thailand yang menolak keputusan kedua-dua menteri luar dua negara tersebut.

Pentadbiran Samak tidak ada pilihan lain melainkan mengubah pendirian Thailand . Menteri Luar Thai, Noppadon Pattama, terpaksa meletak jawatan kerana kesilapan tersebut sementara kerajaan Samak terus dikritik sebagai menggadai maruah dan kedaulatan Thailand.

Kedua-dua negara dilihat menggunakan isu kuil Preah Vihear untuk kepentingan masing-masing. Kemboja menghadapi pilihan raya Parlimen pada 27 Julai dan isu ini dijadikan bahan kempen. Bagi tentera Thai, ia memberikan ruang baru bagi mereka mempengaruhi politik dalaman melalui peranan mereka dalam keselamatan negara.

Walau apa pun perkiraan golongan tentera Thailand, negara itu mungkin tidak inginkan satu keadaan di mana mereka terpaksa menghadapi musuh di dua penjuru dalam satu masa. Masalah keselamatan di selatan Thailand masih menjadi kebimbangan utama kepada kestabilan politik negara tersebut.

Percubaan Kemboja untuk membawa pertikaian ini ke peringkat antarabangsa setakat ini gagal. Kemboja telah meminta agar Majlis Keselamatan PBB membincangkan isu tersebut, tetapi menarik balik permohonan itu atas permintaan Thailand. Anggota Majlis Keselamatan PBB, termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan China lebih suka jika pertikaian dua negara tersebut diselesaikan di peringkat serantau dan dibantu oleh ASEAN.

Phnom Penh juga telah meminta agar pertikaian itu dibincang di peringkat ASEAN. Namun pada masa ini ASEAN lebih bersikap "tunggu dan lihat" dan berpendirian ia perlu cuba diselesaikan di peringkat dua hala Kemboja -Thailand. Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice yang menghadiri sidang ARF di Singapura minggu lalu berpendapat ASEAN boleh memain peranan "memerhatikan dan membantu jika perlu".

Kenyataan ini boleh mengurangkan tekanan ke atas rundingan duahala Kemboja Thailand yang sedang berjalan . Timbalan Perdana Menteri Thailand, Sahas Bunditkul juga menyatakan yang ASEAN tidak perlu campurtangan dalam rundingan dua hala yang sedang dijalankan antara dua negara tersebut. Percubaan Thailand untuk tidak melibatkan forum antarabangsa seperti ASEAN dan PBB dalam masalah ini mencerminkan dilema Thailand dalam konteks hubungan serantau.

Thailand akan mengambil alih dari Singapura sebagai Pengerusi ASEAN dan tidak mahu isu ini menjejaskan kedudukannya. Dr. Surin Pitsuwan, mantan Menteri Luar Thailand yang kini Setiausaha Agung ASEAN juga lebih menyokong perbincangan dua hala dan menyeru agar kedua-dua negara bersikap berhati-hati untuk tidak memburukkan keadaan yang boleh menjejas imej ASEAN.

Menteri luar Singapura, George Yeoh juga berpendapat isu tersebut tidak sepatutnya sampai ke Majlis Keselamatan PBB. Beliau juga hairan kenapa kuil Preah Vihear yang sehingga beberapa minggu lepas tidak merupakan isu, tiba-tiba muncul menjadi satu masalah.

Apakah yang dapat dibuat oleh ASEAN bagi membantu menyelesaikan pertikaian ini, atau sekurang-kurangnya mengelak dua anggota pertubuhan tersebut daripada konflik bersenjata sesama mereka? Pada kebiasaannya dalam hubungan antarabangsa, negara-negara kecil lebih sudi bergantung kepada pertubuhan antarabangsa daripada penyelesaian duahala dalam sesuatu konflik.

Harapan Kemboja agar ASEAN membantu menangani isu kuil Preah Vihear , bertujuan mencari jaminan politik dan keselamatan yang tidak boleh didapati dari Thailand atau mana-mana negara besar di rantau ini. Sebarang sokongan dari mana-mana kuasa besar serantau terhadap Kemboja akan membahagikan Asia Tenggara.

Kemboja telah belajar dari sejarah yang kelangsungannya tercabar jika dia memihak kepada sesebuah kuasa asing. Oleh itu jalan yang paling baik bagi Kemboja ialah penyelesaian melalui pertubuhan seperti ASEAN di mana negara kecil seperti Kemboja akan dapat mengharapkan satu penyelesaian secara aman.

Perbincangan melalui ASEAN juga akan membantu 'melengahkan' cubaan sesetengah pihak untuk menggunakan cara ketenteraan dalam hal ini.

Dalam konteks ini ASEAN boleh menjadi orang tengah dalam pertikaian tersebut. Selain pendekatan "ASEAN Way" seperti yang dilaung-laungkan, ASEAN juga boleh mencontohi cara seperti yang terdapat di Eropah melalui mekanisme tertentu dalam EU dan OSCE ( Organisation for Security Cooperation in Europe) yang berjaya mengekalkan keamanan rantau tersebut. Sejarah rantau Asia Tenggara membuktikan campur tangan kuasa luar rantau menimbulkan perpecahan politik di kalangan negara-negara di sini.

Bagi Kemboja dan Thailand, adalah amat merugikan sekiranya kerjasama ekonomi dan kestabilan hubungan politik yang dicapai selama ini terhakis kerana isu yang dianggap kecil berbanding dengan masalah-masalah lain yang mereka hadapi, dan ia telah lama diselesaikan mengikut undang-undang antarabangsa.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.