|
SHAH ALAM 23 Julai - Selangor memutuskan tidak akan membenarkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang dianggap tidak sah di negeri berkenaan dari menggunakan segala kemudahan di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu berkuat kuasa hari ini.
Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan negeri tidak mengiktiraf JKKKP sebagai satu jawatankuasa yang sah walaupun penubuhannya telah dipersetujui di peringkat Kerajaan Pusat.
"Walaupun ia diluluskan di peringkat Pusat, kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf jawatankuasa berkenaan kerana kita anggap ia tidak sah.
"Sebaliknya, kita hanya mengiktiraf jawatankuasa yang sama yang dilantik oleh kerajaan negeri sendiri yang mana kita akan buat pada 1 Ogos ini dan pengumumannya secara rasmi akan dibuat awal September ini.
"Oleh yang demikian, kita tidak akan membenarkan JKKKP menggunakan sebarang kemudahan yang ditadbir urus oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) untuk mengadakan program mereka selepas ini. Kita hanya membenarkan kepada badan yang diiktiraf oleh kerajaan negeri sahaja termasuklah parti politik UMNO, MCA dan MIC," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Tambah Yaakop, kerajaan negeri juga akan melantik 99 peratus muka baru untuk jawatan ketua kampung termasuklah jawatankuasa kemajuan kampung yang dipilih sendiri oleh kerajaan negeri.
Dalam perkembangan lain, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri tidak lagi dibenarkan memohon lesen TOL atau lesen iklan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PTD.
Sebaliknya beliau berkata, lesen TOL hanya boleh dipohon PBT manakala syarikat papan iklan hanya boleh menyewa iklan daripada PBT berkenaan bagi memastikan syarikat itu terus beroperasi.
Malah, kerajaan negeri juga akan mengambil 30 peratus daripada pendapatan tahunan yang diperolehi syarikat iklan berkenaan sebagai pendapatan kepada PBT.
"Kita dapati sebahagian besar papan iklan di negeri ini tidak mempunyai lesen TOL atau lesen PBT atau kedua-duanya. Oleh itu, kita mahu bersihkan papan iklan haram ini menerusi proses pemutihan.
"Keputusan ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk menjadikan papan iklan haram ini sebagai sah dan dalam masa yang sama kadar 30 peratus dikenakan akan membolehkan pendapatan PBT akan bertambah," jelasnya.
Dalam perkara yang berasingan, kerajaan negeri turut mengeluarkan arahan terhadap dua kilang haram masing-masing di Rantau Panjang, Klang dan Jenjarom, Kuala Selangor kerana beroperasi di atas tanah berstatus pertanian selain didapati mencemar alam sekitar.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong memberitahu, kerajaan negeri akan merampas tanah itu kerana melanggar Kanun Tanah Negara.
Katanya, dua kilang berkenaan, Warisan Naning Sdn. Bhd. (Warisan Naning) di Kuala Selangor dan yang menjalankan aktiviti peleburan bateri terpakai, manakala Rigid Metal Tech. Sdn. Bhd. di Klang menjalankan perniagaan komponen barangan automotif serta perabut yang berdekatan penempatan penduduk.
IKLAN@UTUSAN
|