Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 24/07/2008
236 lulusan perubatan JPA enggan pulang berkhidmat

236 lulusan perubatan JPA enggan pulang berkhidmat

KUALA LUMPUR 23 Julai – Seramai 236 lulusan bidang perubatan yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian mereka di universiti luar negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Johari Baharom memberitahu Dewan Negara hari ini, kerajaan telah menggunakan pelbagai kaedah untuk memujuk doktor-doktor itu kembali ke Malaysia.

Katanya, satu ketika dahulu kerajaan hanya mengenakan bayaran token sebanyak RM150,000 sekiranya mereka enggan pulang, namun tidak semua doktor itu membayarnya.

“Kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk melatih doktor di luar negara iaitu hampir RM1 juta bagi setiap seorang doktor.

“Oleh itu, kita tidak ada cara lain melainkan mengambil tindakan undang-undang (terhadap mereka),” katanya.

Mohd. Johari berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wan Nordin Che Murat mengenai langkah yang diambil untuk memujuk bekas penuntut perubatan Malaysia di seberang laut supaya pulang berkhidmat di negara ini.

Terdahulu sewaktu menjawab soalan asal Wan Nordin, beliau berkata, semua pelajar tajaan JPA di universiti luar negara tertakluk kepada perjanjian untuk berkhidmat dengan kerajaan bagi tempoh yang dipersetujui dalam perjanjian sebelum melanjutkan pelajaran.

Katanya, jika seseorang pelajar itu tidak melaporkan diri kepada JPA dalam tempoh 30 hari setelah tamat pengajian untuk urusan pendaftaran dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) atau mengingkari syarat-syarat yang dipersetujui, JPA akan membuat tuntutan ganti rugi.

“Dalam tempoh dua bulan, notis tuntutan akan dikeluarkan oleh JPA kepada pelajar itu dan penjaminnya.

“Sekiranya mereka tidak mengendahkan notis tersebut, nama pelajar dan penjamin berkenaan akan dipanjangkan kepada Peguam Negara untuk tindakan undang-undang,” katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN