|
SUNGAI PETANI 22 Julai - Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mendakwa kenderaan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan anggota Exco dan pegawai kanan sekarang sering menghadapi masalah kerosakan kotak gear dan cakera brek.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian akibat kos penyelenggaraan tinggi sehingga mencecah RM30,000 bagi setiap kali kenderaan itu dihantar ke pusat servis.
"Lebih membimbangkan, masalah ini (kotak gear rosak) sering kali berlaku dan semalam saya mendapat maklumat lengkap menyatakan kita terpaksa keluarkan belanja sebanyak RM69,000 untuk satu kenderaan yang diselenggara dalam tempoh dua tahun hanya kerana perlu tukar kotak gear.
"Ini baru satu buah kereta. Bayangkan kebanyakan Proton V6 Executive yang dimiliki Terengganu turut menghadapi masalah sama dan kita terpaksa keluarkan belanja ratusan ribu ringgit dalam tempoh singkat semata-mata untuk penyelenggaraan saja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Pertandingan Golf Jubli Emas sempena 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah di Kelab Cinta Sayang di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas rasional pembelian 14 Mercedes E200 Kompressor yang mencetus kontroversi sehingga memaksa perkara tersebut bakal dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu perlu dibincangkan bagi menentukan sama ada ia melanggar dasar kerajaan mengenai penggunaan kereta nasional oleh kementerian dan kerajaan negeri.
Kata Najib, Kerajaan Pusat sebelum ini telah memutuskan bahawa semua kementerian dan kerajaan negeri perlu menggunakan kereta nasional.
Ahmad Said yang masih mempertahankan pembelian tersebut berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan berkenaan setelah memikirkan secara mendalam berhubung keuntungan jangka masa panjang sekiranya menggunakan Mercedes E200 Kompressor.
"Kita membuat keputusan untuk membeli Mercedes setelah kita berfikir panjang. Kita mengambil kira pelbagai aspek.
"Dari segi penyelenggaraan dan penggunaan minyak serta harga terpakai, Mercedes memang lebih ekonomik berbanding Proton Perdana V6 Executive," katanya.
Beliau mendakwa, berdasarkan kajian yang dijalankannya, penggunaan Mercedes E200 juga boleh menjimatkan duit kerajaan dalam jangka masa panjang memandangkan ia diberikan servis penyelenggaraan percuma lima tahun.
"Dalam tempoh lima tahun penyelenggaraan percuma. Selain itu, dari segi penggunaan minyak ia nyata lebih rendah daripada Proton V6 Executive.
"Tanyalah semua orang yang pernah guna. Ini adalah hakikat. Saya juga ada kawan yang merupakan Timbalan Menteri dan dia beritahu V6nya sudah lima kali kotak gear rosak," dakwanya.
Ahmad Said memberitahu, beliau juga bersedia memberikan butiran terperinci berhubung kos penyelenggaraan dan kerugian yang terpaksa ditanggung kepada untuk pengetahuan Kabinet dalam tempoh terdekat.
"Kita boleh tunjukkan, saya akan tunjukkan satu persatu butiran. Kalau diminta, saya akan beri kepada Kabinet.
"Malah, satu dua hari lagi saya akan tunjuk termasuk kepada wartawan dengan nombor keretanya sekali, berapa kos yang telah kita belanjakan," katanya.
Tambahnya, beliau tidak akan menyembunyikan perkara sebenar dan bersedia menghadapi sebarang tindakan akibat keputusan itu.
"Saya tak perlu bimbang dan saya tak perlu takut dengan keputusan ini. Kita buat demi kepentingan kerajaan dan rakyat.
"Untuk menjimatkan kos dalam jangka masa panjang. Ini yang kita lakukan, ini
pilihan terbaik kita," tegasnya.
Beliau juga berharap pengeluar kereta nasional seperti Proton dapat mengambil berat terhadap sebarang aduan yang dikemukakan pelanggannya.
"Saya bukannya ingin merendahkan matlamat kenderaan nasional tetapi apa yang perlu dilakukan Proton ialah memperbaiki kelemahan dan tingkatkan kualiti mereka," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|