VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 21/07/2008

Fokus kepada hak asasi manusia


ASEAN menubuhkan badan hak asasi manusia di bawah draf Piagam ASEAN pada mesyuarat AMM di Manila tahun lalu. Draf awal mengenai isu hak asasi manusia agak kurang disenangi oleh negara seperti Myanmar, Kemboja, Laos dan Vietnam


HANYA empat negara daripada 10 anggota ASEAN yang memiliki sebuah badan khas yang mengendalikan isu-isu hak asasi manusia secara perundangan. Thailand, Indonesia, Filipina dan Malaysia dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang semakin dikenali fungsinya.

Aspek hak asasi manusia kini bakal menjadi intipati penting Piagam ASEAN dan giat dibahas serta diperhalusi oleh negara-negara anggota ASEAN dalam mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM ke-41) yang sedang berlangsung di Singapura sehingga 24 Julai ini.

Sebagaimana dinyatakan di atas, negara tuan rumah pun belum memiliki entiti khusus bagi mengendalikan soal hak asasi manusia, sekali gus memberi gambaran betapa rumit dan kompleks rundingan yang sedang berjalan.

Persoalan hak asasi manusia tidak tertutup pada isu Myanmar semata-mata, walaupun kerajaan junta tentera negara itu menyesakkan nafas lain-lain anggota ASEAN yang bukan sekadar terpaksa merasa tempias kesan penahanan Aung San Suu Kyi.

Sebaliknya ia adalah lebih menyeluruh, lebih kepada suatu gagasan yang harus dipatuhi, dihormati dan dilaksanakan oleh setiap negara anggota ASEAN menerusi Piagam pertubuhan serantau itu.

Disebabkan wujudnya pelbagai fahaman, anutan dan kecenderungan yang berbeza-beza dalam ASEAN sendiri, persoalan pokok ialah apakah ASEAN akan mencontohi bulat-bulat Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

ASEAN menubuhkan badan hak asasi manusia di bawah draf Piagam ASEAN pada mesyuarat AMM di Manila tahun lalu. Draf awal mengenai isu hak asasi manusia agak kurang disenangi oleh negara seperti Myanmar, Kemboja, Laos dan Vietnam.

Piagam berkenaan bermatlamat untuk mengubah ASEAN kepada sebuah pertubuhan berasaskan peraturan, selain membentuk satu rangka perundangan bagi menstrukturkan semula mekanisme sedia ada dan memperbaiki proses membuat keputusan.

Ikatan perundangan badan serantau itu diharap akan membuka lembaran baru dalam sejarah ASEAN bagi mengubah blok serantau ini daripada sebuah pertubuhan yang berfungsi mengikut konsensus dan berpegang kepada prinsip tidak mencampuri hal ehwal negara lain kepada sebuah blok yang berfungsi seperti Kesatuan Eropah (EU).

Dalam konteks ini, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah menegaskan pendirian Malaysia mengenai isu hak asasi manusia ini. Malaysia akan menentukan dari segi definisi hak asasi manusia ataupun skop hak asasi manusia yang hendak diperjuangkan ASEAN di bawah piagamnya.

‘‘Skop hak asasi manusia dalam dunia ini haruslah mengandungi juga sistem-sistem nilai tertentu yang meliputi nilai-nilai kehidupan Asia,” katanya.

Ramai yang mungkin tidak akan bersetuju dengan Malaysia dengan memberi alasan deklarasi PBB itu sudah cukup universal. Dalam konteks ini, apa yang sedang diketengahkan oleh delegasi Malaysia ialah deklarasi itu condong kepada falsafah hak asasi manusia yang didokong oleh Barat.

“Apa yang ingin saya tegaskan ialah tentang perlunya memasukkan nilai timur ke dalam klausa itu. Contohnya menghormati orang lebih tua dan nilai keagamaan. Ini penting bagi kami di Asia. Kami tak boleh ambil Deklarasi Hak Asasi Manusia secara menyeluruh dan menggunakannya di sini,” katanya.

Sebagaimana dimaklumi, konsep hak asasi manusia PBB itu terlalu luas dan semenjak tahun 1948 ia telah pun dipertikaikan banyak negara di Asia.

‘‘Tetapi ada beberapa persoalan dan hak-hak pokok yang kita harus terima, yang sebahagian darinya telah pun kita masukkan dalam bahagian kedua Perlembagaan Malaysia,’ kata Rais.

Misalnya, hak seseorang yang tertuduh memperolehi bimbingan atau nasihat guaman sememangnya dijamin. Kedua, seseorang itu hendaklah diberitahu tuduhan yang dibuat terhadapnya dalam tempoh 48 jam, misalnya bagi seseorang itu berikhtiar mendapat bantuan perundangan dan lain-lain lagi.

Namun yang tidak disebut dalam kebanyakan ramuan hak asasi manusia ini ialah tentang nilai hidup Asia itu sendiri, yang tidak ada pernah didebat atau dibincangkan. ‘‘Jadi saya berhajat untuk memasukkan beberapa nilai kehidupan masyarakat kita di Asia untuk juga diambil kira dalam menentukan apa itu hak asasi manusia,” ujar Menteri Luar lagi.

‘‘Saya beri contoh. Misalnya kita memberi penghormatan terhadap orang tua kita. Adakah ini disebut di Barat atau dalam konvensyen Deklarasi Hak Asasi Manusia? Jika tidak, kenapa? Sedangkan hak asasi manusia itu cuma diperbuat mulai tahun 1948. Sedangkan dalam Islam, dalam Confucius, dalam Hinduisme dan Buddhisme, semuanya ada pelbagai nilai hidup yang seharusnya menjadi sebahagian dari hak asasi manusia.

‘‘Hak asasi dari segi perolehan makanan, hak asasi dari segi pendidikan dan juga hak-hak asasi lain perlu kita fahami terlebih dahulu sebelum piagam tersebut dapat kita jadikan sebahagian dari perkara pokok dalam ASEAN yang diletakkan di bawah piagam hak asasi manusia,” kata Rais.

Dalam aspek ini, besar kemungkinan Menteri-menteri Luar ASEAN tidak akan mencapai kata sepakat tentang usaha memasukkan perkara berkaitan hak asasi manusia ke dalam Piagam ASEAN. Ia tidak akan begitu pantas kerana pakar-pakar perundangan perlu berbincang dari semasa ke semasa dan sehingga ketua-ketua kerajaan berpuas hati sepenuhnya dengan kandungan mengenai isu hak asasi manusia dalam piagam.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa semasa memberi taklimat kepada media Malaysia semalam berkata, dalam mesyuarat AMM bertema ‘Satu ASEAN dalam nadi dinamik Asia’ ini, Menteri-menteri Luar ASEAN akan menyemak dan mengulas kemajuan yang dicapai oleh ASEAN secara keseluruhan sepanjang tahun ini.

Ini terutamanya mengenai keputusan-keputusan yang dicapai oleh ketua-ketua negara semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura pada 20 November 2007. Para Menteri Luar ASEAN juga dijadualkan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN+3 dan juga PMC dengan Rakan-rakan Dialog.

Topik-topik perbincangan banyak tertumpu kepada isu-isu mengenai kepentingan bersama yang melibatkan ASEAN begitu juga dengan isu-isu global seperti kewangan, makanan dan bekalan tenaga.

‘‘Selain daripada itu, isu-isu lain yang akan dibincangkan adalah berkenaan pelaksanaan Piagam ASEAN, pemantapan Sekretariat ASEAN dan juga Rangka-Kerja Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN.,” kata Rastam.

Menurut beliau, antara agenda penting yang akan diutarakan oleh Malaysia ialah soal jaminan bekalan makanan berikutan kenaikan harga bahan api global.

Menurutnya, Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN juga dijadualkan bertemu dengan wakil-wakil dari Panel Peringkat Tinggi badan hak asasi manusia ASEAN dan Kumpulan Pakar Perundangan Peringkat Tinggi Piagam ASEAN.

Semasa mesyuarat ini juga Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka menandatangani dan memperakui dokumen-dokumen ‘Instrumen Pelanjutan Perjanjian Amiti dan Kerjasama (TAC) oleh Korea Utara dan Instrumen Kelulusan TAC oleh Korea Utara.

Dengan kekuatan semangat ASEAN dan komitmen yang padu terhadap Myanmar dalam meringankan beban mangsa taufan Nargis, Laporan Penilaian Usahasama Pasca-Nargis akan diumumkan semasa Mesyuarat ini. Di akhir mesyuarat, Menteri-menteri Luar ASEAN akan mengeluarkan satu Kenyataan Bersama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.