Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 20/07/2008
Bukan pentingkan diri tapi parti - Muhyiddin

Bukan pentingkan diri tapi parti - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 19 Julai - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak menganggap pendiriannya mengenai perlunya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan UMNO sebagai sesuatu yang mementingkan diri sendiri.Tegasnya, beliau bukanlah orang baru serta mempunyai pendirian sendiri dalam politik dan semua yang dinyatakannya adalah untuk kepentingan parti dan negara.

"Tak apalah, saya tak ada buat apa-apa keputusan lagi (jawatan yang akan ditandinginya)...saya ada pendirian saya sendiri dalam politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Sektor Kejurulatihan Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) Ke-34 di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, Khamis lalu yang meminta Naib Presiden itu mematuhi persetujuan peralihan kuasa yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) yang sekali gus tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Kata Rafidah, sesiapa sahaja yang berhasrat mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu meletakkan terlebih dahulu kepentingan parti mengatasi keperluan peribadi.

Menurut Rafidah, beliau hairan dengan pendirian Muhyiddin itu dan meminta Naib Presiden itu memikirkan 'adakah kita perlu pentingkan diri'.

Muhyiddin menambah, semua orang mempunyai pendirian masing-masing dan ia perlu dihormati.

"Walau apa pun pandangan yang saya keluarkan adalah untuk kepentingan orang Melayu dan UMNO. Beliau (Rafidah) sendiripun kalau nak bertanding apa jawatan pun takkan nak kata pentingkan diri sendiri," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Muhyiddin berkata penyertaan golongan belia dalam seni silat lincah memainkan peranan penting untuk menghadapi segala cabaran hari ini.

Katanya, dengan adanya aktiviti seperti itu, ia diyakini akan dapat mengembangkan sahsiah yang baik di kalangan belia dan memartabatkan warisan bangsa.

"Golongan belia sekiranya tidak bersedia dan kuat serta bersemangat, maka mereka akan hanyut dalam gelombang yang tidak dapat dipertahankan," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN