VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 17/07/2008

Mengembalikan perpaduan melalui kekuatan budaya

POLITIK di Malaysia telah menjadi satu segmen yang paling diminati. Hari ini gosip politik seperti skandal, rasuah, salah guna kuasa, mengejar kuasa dan sebagainya menjadi ‘makanan’ rutin rakyat Malaysia. Apatah lagi dengan kemudahan Internet, menyuburkan lagi wacana rakyat untuk bercakap apa sahaja yang berkaitan politik dalam tulisan blog ataupun perbincangan maya. Apa sahaja, tidak kira benar atau tidak, fitnah atau bukan, semua boleh diulas dalam blog. Kerana itu gosip politik lebih diminati dan ke hadapan berbanding gosip artis.

Namun demikian, dalam sibuk kita bicara politik, ramai yang lari daripada landasan perbincangan sebenar isu semasa politik. Kotak pemikiran kita tidak dipagari sebuah kerangka kefahaman yang kukuh dan kekal.

Isu-isu politik, sama ada melibatkan ahli politik kerajaan atau pembangkang, termasuk pengulas amatur atau profesional hanya melibatkan isu yang fragile, ataupun tidak ada titik permulaan perbincangan (point of departure). Perbincangan dan debat mereka akhirnya mengumpulkan silang sengketa perdebatan yang tidak menemui jalan keluar.

Persoalan ke mana Malaysia mahu dibawa juga menimbulkan kekeliruan besar ramai di kalangan kita. Isu sentral seperti bahasa Melayu tidak dilihat sebagai wacana penting mengikat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Kerana itu, Muhammad Iqbal, ahli falsafah tersohor ada mengatakan: “Jika mahu maju, lihat ke belakang.” Ini bukan ayat antiklimaks untuk menghalang kita menuju ke sebuah negara moden dan maju.

Akan tetapi, untuk kita terus maju, sejarah di belakang harus menjadi landasan. Dalam isu kekeliruan tentang kerangka negara Malaysia, sudah termaktub dan dipersetujui bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 harus menjadi kerangka bersama kepada semua rakyat Malaysia.

DKK adalah satu dasar kebangsaan yang disusun dengan persetujuan semua pemimpin mewakili kaum utama di Malaysia, bertujuan mengikat rakyat Malaysia kepada satu dasar yang sama.

DKK menggariskan tiga perkara penting, iaitu (1) Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini. Ini merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu.

Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan kebudayaan Melayu sejak zaman-berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka serta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (lingua franca).

Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu-Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya.

Ukuran keperibadian
Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan satu teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

2) Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya.

Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi pertimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip- prinsip Rukun Negara dan kepentingan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara, khasnya.

3) Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.

Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini.

Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. (Kementerian Belia dan Sukan 1973)

Berapa ramai di kalangan generasi muda yang menyedari hakikat ini? Berapa ramai masyarakat berbilang kaum di negara ini menghayati dasar ini? Hakikatnya jika dibuat bancian, tidak keterlaluan dikatakan majoriti yang tidak tahu, ataupun sudah lupa. Lantas itu, DKK ini harus digali semula dan diberi nafas yang segar.

Dengan memahami hakikat objektif DKK ini, sebenarnya sudah menyelesaikan pelbagai silang sengketa perdebatan semasa yang berlaku. Dalam membicarakan perpaduan rakyat Malaysia, mekanisme yang terkandung ialah dengan penggunaan bahasa Melayu. Namun, pelbagai usaha telah dibuat untuk tidak mengangkat martabat bahasa Melayu. Penukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia tanpa perbincangan pakar bahasa juga menunjukkan kekeliruan kita.

Kerana itu DKK digagaskan untuk mengikat rasa kebersamaan semua rakyat Malaysia dalam satu ikatan perpaduan, iaitu bahasa Melayu. Kredibiliti dan status bahasa Melayu sebagai bahasa penting tidak perlu dipertikaikan lagi.

Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996.

Apatah lagi dalam situasi politik semasa, ada kecenderungan untuk tidak menjadikan DKK sebagai kerangka bertindak dan membuat keputusan. Ramai yang obses dengan semangat baru politik semasa, akhirnya menganut faham ‘dekonstruksisme’; iaitu pemikiran merombak secara total perkara asas.

Mengorbankan prinsip
Apa sahaja yang ada kepentingan politik, semuanya boleh dilakukan. Tidak kira sama ada wajar atau tidak mengorbankan prinsip yang sedia ada. Contoh terdekat adalah mengorbankan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajian Matematik dan Sains.

Pemikiran ini juga tidak ubah seperti Machivellian, yang menghalalkan apa sahaja cara, asalkan matlamat tercapai. Tuntutan golongan minoriti yang tidak berasas dilayan seenak mungkin, dengan terus mengorbankan prinsip yang sudah mendasar. Dalam konteks politik, ahli politiklah yang banyak melakukan perbuatan Machivellian ini.

Oleh itu, falsafah politik berteraskan kerangka DKK harus menjadi landasan bertolak pemikiran politik yang baru. DKK seharusnya diwacanakan kembali di semua peringkat golongan, dari menteri sehingga rakyat biasa. Kita khuatir, jika fenomena politik ala Machivellia terus bermaharajalela, akhirnya negara kita tidak akan menemui jalan keluar.

Profesor Naquib Al Attas mengibaratkan kita nanti seperti Tuhan Greek, Sisyphus, yang kerjanya menolak batu sehingga ke satu puncak bukit yang tinggi, kemudian membiarkan batu itu jatuh. Kemudian, sekali lagi menolak batu ke atas bukit yang sama dan membiarkan batu itu jatuh. Maka, berulanglah perbuatannya.

Hakikatnya kita sudah menemui jalan kebenaran untuk memantapkan masa depan Malaysia ini berdasarkan DKK. Jika kita berterusan berdebat dan bersilang sengketa tanpa kerangka DKK, ibarat Tuhan Greek Sisyphus. Kita akan penat berterusan mencari kebenaran, walhal kebenaran sudah termaktub dalam DKK. Sudah jumpa kebenaran, kemudian rungkaikan balik, kemudian jumpa balik kebenaran, rungkaikan balik.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.