|
JOHOR BAHRU 14 Julai - Penghuni flat Taman Desa Mutiara di sini merayu pihak berkuasa tempatan membina beberapa bonggol di sepanjang jalan kawasan itu bagi tujuan keselamatan orang ramai khususnya kanak-kanak.
Pembinaan bonggol itu bagi mengelak pemandu memandu kenderaan dengan laju kerana kawasan tersebut amat sibuk terutamanya pada sebelah pagi dan petang.
Seorang penduduk, Omar Azhari, 49, berkata, bonggol itu perlu dibina segera kerana sejak enam bulan mendiami flat tersebut, sudah dua kali kemalangan jalan raya berlaku.
''Memanglah jalan ini tidak lebar, tetapi ia berbahaya sewaktu melintas kerana banyak kenderaan lalu-lalang.
''Kanak-kanak sering melintas untuk membeli di gerai yang terdapat di sepanjang jalan ini, kalau ada dua tiga bonggol eloklah sikit kerana kenderaan pun boleh perlahan,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sementara itu, Abd. Aziz Sumin, 57, yang berniaga apam balik berharap bonggol dibina dengan segera demi mengelak berlaku lebih banyak kemalangan.
Katanya, jalan itu bertambah sempit apabila terdapat individu tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan berat di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas.
''Sudahlah jalan sempit, diletak pula kenderaan berat di tepi jalan, jadi bila orang hendak melintas jalan, susahlah sikit.
''Walaupun ia jalan kawasan perumahan, tetapi kenderaan yang keluar masuk banyak, jadi perlulah dibina beberapa bonggol demi keselamatan semua orang,'' jelasnya.
Penduduk lain, Nurhasanah Hamzah, 22, yang juga seorang peniaga kedai makan di situ, pula mahu bonggol dibina oleh pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Tambahnya, oleh kerana jalan itu agak lurus, maka penunggang motosikal kebiasaannya gemar menunggang dengan laju ekoran ketiadaan sebarang bonggol.
''Saya yang sering berada di gerai ini memang risau apabila melihat kanak-kanak melintas tanpa melihat kiri kanan kerana kenderaan laju di sini.
''Kalau ada bonggol tidaklah laju sangat mereka membawa motor atau kereta. Saya harap bonggol segera dibina sebelum berlaku kemalangan yang lebih teruk,'' katanya.
IKLAN@UTUSAN
|