Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SASTERA

ARKIB : 13/07/2008
Rindu berladung di Pulau Duyung

Rindu berladung di Pulau Duyung

Rinduku kian tak terbendung,
luar biasa ia berladung,
mahu pulang menukang Payang,
jumpa esok di Pulau Duyung. Awalan
JELMAAN Ziusudra atau Nuh kah jejaka ini?
Musykil mula menjamah indera. Benarkah atau munasabahkah lelaki itu telah dipilih Tuhan untuk membangunkan sebuah bahtera demi menyelamatkan diri daripada banjir besar seperti dalam mitos Sumeria itu?

Mustahil juga dia diwahyukan Tuhan agar membina kapal kerana tsunami sudah pun berakhir dan jika berlaku lagi, tsunameter pasti dapat mengesannya awal-awal lagi.

Ulang-berulang mel elektronik yang tertera empat rangkap berima dari kota Seoul aku lereti setiap diksi. Glob mini yang kujunjung bercempera dengan peta prasangka yang berplotkan garis putus-putus.

Mestikah kau pulang sekadar mahu menukang Payang? Tidak cukupkah imbalan yang kau raih selama bermastautin di rumah pembuat kapal dagang terbesar dunia itu?

Apakah Samsung Heavy Industries, Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering dan syarikat gergasi Hyundai Heavy Industry yang kau curahkan kepakaranmu selama ini sehingga ia berjaya menender jumlah pembuatan kapal dagang setengah dari pemesanan global itu sudah muflis – sehinggakan kau terpaksa pulang mencari rezeki di bumi sendiri yang dulunya pernah kau ludahi?

Argh, masakan ketidakseimbangan pasaran pembuatan kapal dunia yang dilaporkan bakal terus berlanjutan selama tidak ada rejim perdagangan antarabangsa dibentuk itu merancu fikiranmu sehingga kau sanggup melanggar sumpah?

Aku andaikan kerinduan yang meruah mengasakmu mengikat talian maya. Segera kusambut bual maya melalui Yahoo Messenger yang kau juntaikan sebagai wadah dialektika dua sahabat yang sedekad dijarakkan oleh alamat dan pendapat.

? Kawan, percayakah kau, balasan e-melmu yang memetamorfosiskan aku menjadi seluang

= Merubah tradisi dengan transformasi teknologi. Semudah itu kau setuju? Maaf, alasanmu tamsil seraya dimamah anai-anai di kamar logikku

? Sedang dipasung tulahkah aku walaupun tuduhan dan cerca nista terhadapmu sepuluh tahun lalu sudah parah meracunbirukan seluruh urat nadiku – mengejekmu sebagai peniru, mempersendakan pilihanmu untuk terperuk di negeri sendiri yang dakwaku bakal membantutkan kreativiti – genap sarat memberatkan timbangan dosaku

= Sedekad lalu, bukankah pernah kita berguru? Dalam epistemologi Islam, kreativiti itu cerminan Tuhan. Meniru yang sedia ada kemudian menyesuaikannya… itu inovasi, bukan imitasi!

? Apakah aku perlu melutut di kakimu agar kau sudi menyongket semula tenunan persahabatan yang sedekad lampau telah sirna kilaunya dek ketaksubanku pada sutera Korea.

= Tak perlu semua itu kawan asalkan kau mengaku, sebagai Muslim, kita dilatih meniru sifat-sifat Tuhan Yang Maha Mencipta. Kita bertanggungjawab atas kelemahan dan kekurangan ciptaan kita sendiri. Hanya al- Khaliq dapat menghasilkan kerja yang sempurna kerana Dia mencipta sesuatu daripada ketiadaan sedangkan kita ini makhluk, hanya berdaya membuat sesuatu yang telah sedia ada

? Ada apa di Pulau Duyung sehingga tak lekang di bibir dunia, ada apa dengan Payang.Com hatta sangkalanku terhadap pendapatmu betapa manusia ini pada hakikatnya cumalah makhluk peniru memaksa aku menjilat ludah sendiri?

= Jika peta hidup hilang, rujuk kompas iman. Susur ke pangkal jalan keabdian.

Wasat

GETAR dan debar meruntun rasa seorang usahawan siber meneka-neka pemuda berkemeja putih sedondon itulah empunya suara senyap yang gemar mempamerkan kalimat-kalimat berangkap menerusi bual maya yang menavigatorkan pertemuan mereka di sini.

Sesudah satu dekad, semesta menyaksikan kembali ciuman sepasang mata yang pernah menghipnotis dua rakan seperguruan dengan kebeningan cinta itu saling bertaut.

Seisi alam kejang. Bayu, ombak dan unggas Pulau Duyung juga seakan-akan mengingkari amanah Tuhan. Barangkali mereka dimagnetis kepegunan menonton episod pertemuan ruh dan jasad dua sahabat yang saling bersetuju menukar kutub magnet hubungan cinta badani kepada cinta ukhrawi seusai perbualan di talian maya subuh kelmarin.

Ucap salam Munir melarut dalam bayu dhuha Pulau Duyung bersambut gerak bibir Murni menuturkan bahasa tanpa suara. Rindu dendam dua sukma dicemburui empat tapang mata angin.

Lalu berdialoglah utusan Tuhan mewakili jiwa makhluk seindah kejadian yang beralah memilih sepi sebagai medium komunikasi.

Indera mereka menerima rangsangan lalu kelopak telinga segera menadah, tubir mata perlahan-lahan memejam, ranggi hati mengorak, ulas bibir mengulum dan tangan mendepang membiarkan lapan mata angin berkisar, menderu dan berpuput sehingga terhipnostislah indera mereka seluruhnya secara alamiah.

Lalu entiti bumi pun bersaksi akan wujudnya dua jasad yang zahir perlahan-lahan melarut dan mencair dalam mahabbah yang nadir.

Selatan: Mengapa dari mula aku tidak melihat apa yang kau nampak?

Utara: Persepsi sempit dan ketaksuban telah menulibutakan inderamu sehingga kau lupa putih itu sebenarnya berwarna-warni.

Barat: Ketidaksempurnaan inderaku telah menghukumku, begitu?

Timur: Tuhan menciptakan jasad dan ruhmu dengan segala kesempurnaan. Kedangkalan nafsumu yang memusnah binasakannya.

Barat Daya: Satu dekad merantau, mencurah segala kepakaranku di bumi asing demi mencari sesuatu yang dimomokkan berharga. Akhirnya Payang.Com menyedarkan aku betapa kreativiti itu kemampuan manusia menjana sesuatu yang baru dari yang dahulu.

Timur Laut: Ia tamsil ilmu dan kederat mencantumi daya imaginasi, pengaruh persekitaran dan pola budaya.

Barat Laut: Boleh kau justifikasikannya dengan suara nyata? Rindu ini sungguh luar biasa.

Tenggara: Tak manis jika aku mulakan. Ayuh, silakan.

Angin Laut China Selatan meliuk-lintukkan tudung Murni bagaikan sekujur badan seorang ballerina yang khusyuk mempersembahkan tarian. Bola mata Murni yang menyorot tepat ke wajah Munir seolah-olah memukau Munir agar membuka selapis demi selapis lipatan rahsia yang selama satu dekad menjadi punca putusnya silaturrahim mereka.

Mujurlah Mulia, adik perempuan Munir, ditakdirkan berjaya memujuk Murni agar bersetuju menemui Munir setelah Mulia berjanji akan menjadi penemannya setelah Munir beriya-iya mengakui keterlanjurannya terpengaruh dengan isu komuniti Eropah membawa Korea Selatan ke WTO menjadi pembuka selera yang memecahkan liurnya untuk menerima tawaran bekerja sambil belajar di Samsung Heavy Industry.

“Sengaja tidak kumaklumkan secara rinci kepada kau pemergianku sepuluh tahun dulu, sebab aku berhajat hendak mencetuskan kejutan dengan menyahut cabaran betapa pola perdagangan kapal antarabangsa dunia itu berada di celah jari anak Melayu.”

Begitu hujah awal Munir apabila Murni meminta dia menjustifikasikan kerasionalan pertemuan mereka.

Dan seterusnya isi mel elektronik yang tertera di hadapan zon penglihatan, Murni leret lagi.

Kepakaranku, mulanya sangat dihargai, berbekalkan ilmu pembuatan kapal yang diajari oleh ayahmu, aku tampil dengan idea bagi mengatasi kemelut Korea Selatan yang memiliki permintaan yang sangat terbatas di dalam negeri untuk kapal dagang.

Aku memperkenalkan model Payang dan Bedar kepada mereka bagi mengalih perhatian pemain global dalam industri vessel. Justeru mereka rakus mengejar target pasaran antarabangsa namun dominasi Eropah membantutkan keagresifan mereka.

Cadanganku agar Samsung Heavy Industry menawarkan pembinaan kapal dagang di bawah biaya konstruksi dan mengkompensasikan kerugian tersebut melalui subsidi dan cara yang meningkatkan aliran tunai sementara diterima sebulat suara demi memartabatkan status Korea Selatan yang membangun pembuatan kapal sebagai industri strategis sejak era 70-an.

Malangnya, kegilaan terhadap perahu layar mengalih tumpuan dunia. Ini kerana kapal layar yang dibina oleh sebuah syarikat yang namanya terasa sangat serasi di bibirku telah memenangi pelbagai perlumbaan, termasuklah Regata Piala Raja Thailand di Phuket pada tahun 2003 serta perlumbaan Sydney-Hobart pada tahun 2004.

Klimaksnya, anugerah sebagai pembina kapal layar terbaik Asia bagi kategori bawah 30.5 meter semasa Christofle Asia Boating Awards tahun lepas sempurna berfungsi sebagai punat bom jangka.

Bagaimana tidak terfikir aku seperti pemain global baru itu, tentang penggunaan bahan komposit selain karbon dan epoxy dapat menjamin ketahanan produk?

Aku juga mahu tahu, siapakah ilmuan yang sangat bijaksana yang merangka satu alternatif perniagaan kapal persiaran secara maya yang kosnya berada di tahap yang rendah sehingga berjaya memutarkan kutub perhatian pemain global dalam industri marin dunia ke arah peta kecil di semenanjung emas sehingga lumat binasa segala prakarsaku. Hancur berkubur!”

Intiha’

Duhai…

Benarlah, berterus-terang itu amalan mulia namun bila menyentuh tentang perasaan, adakalanya kebisuan lebih meninggalkan kesan.

Kebisuan Murni ketika melepaskan Munir pergi walaupun pemergian secara rahsia Munir itu sebenarnya telah pun diketahui melalui ayahnya. Murni mahu Munir merasai betapa peritnya segalur luka yang digarami.

Sungguh!

Murni yang mematikan sumbu pelita mata pencariannya itu.

Seperti mereka di usia rebung, ketika sama-sama diajari ayah Murni mengenai ilmu sifat 20, Murni jugalah yang secara diam-diam mematikan api pelita dengan picitan lembut telunjuk dan ibu jarinya supaya gelap terbit.

“Gelap itu guru untuk menelaah, bukan berhelah!” Tukas Tok Guru Mukhlis.

Tapi kata hati Murni, ini bukan sebab akibat. Ini kolerasi. Seperti kilat dan suara petir. Kejadian yang satu beriringan dengan kejadian lainnya.

Sama sekali bukan. Bukan sebab akibat.

Bukan kejadian yang satu menyebabkan kejadian lainnya. Gelap itu sebagai alat yang membantu Murni menukar bukunya dengan buku Munir yang bercoretkan lakaran bedar dan payang, bukannya perincian sifat 20 yang diajarkan ayahnya. Macam Qais yang mencoret nama Laila atas papan tulisnya.

Kolerasi itu Murni fikir perlu untuk mengelak marah ayahnya meletus dan betis Munir tidak menelas dicumbu rotan kerana melanggar adab berguru.

“Dan, kolerasi yang aku rancangkan ini sebenarnya memetamorfosiskan kau menjadi phoenix. Bukan seluang, seperti yang kau sangkakan.”

“Burung legenda yang indah menawan berbulu merah dan keemasan?” Munir sengaja mengenakan umpan dengan harapan kailnya mengena.

Dalam berjenaka, pantas keintelektualan Munir mengimbas fakta sebuah mitos kuno, burung phoenix hidup di padang gurun Arab yang mampu mencapai umur lima ratus tahun. Saat itu ia akan bersarang di tengah api dan membiarkan dirinya terbakar. Setelah tiga hari, burung phoenix bangkit dari abunya untuk hidup lima ratus tahun lagi.

Seolah-olah dapat membaca fikiran Munir, Murni lirih bersuara, “bukan itu yang utama. Keperibadiannya yang wajar kau garisbawahkan. Rengkuhi kehancuranmu sebagai acuan besar untuk membentuk peribadi baru yang jauh lebih baik dan lebih segar.”

“Jadi, kau yang sengaja memusnahkan segala-galanya semata-mata mahu melihat sebuah inkarnasi phoenix bangkit dari abu?”

Curiga yang menyelinapi hati Munir sudah dapat diintai Murni. Dan, dengan senyum selamba Murni bersuara, “sudah kukatakan, ia simbol keabadian. Lambang dari kitaran kehidupan setelah musnah. Kebangkitan selepas rebah.”

Serentak dengan bebola mata Munir menguis model perahu dagang dari kertas Hanji dan dahan pokok Mulberi di tangan kirinya, senyum paling manis mengiringi tangan Murni yang terhulur ke arah telapak tangan kanan Munir.

Dan, rangkulan erat tangan Murni pada replika perahu Payang yang Munir bikin sendiri dari pasak cengal cukup untuk mengempang banjir rindu yang berladung di Pulau Duyung.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN