Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 11/07/2008
Kes liwat: Sejauh mana DAP, Pas setia bersama PKR?

Kes liwat: Sejauh mana DAP, Pas setia bersama PKR?

KUALA LUMPUR, 10 Julai - Sejak penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh meliwat bekas pembantunya, pemimpin dua parti pembangkang lain pada asasnya bersetuju isu itu diselesaikan secara perundangan tetapi tidak ada yang dilihat menyatakan secara pasti mereka menerima dakwaan itu sebagai tidak benar.

Maka timbul persoalan sejauh mana DAP dan Pas akan setia bersama PKR dalam Pakatan Rakyat, sekiranya Anwar didapati bersalah mengikut sistem perundangan negara.

Kesetiaan anggota dan pemimpin PKR sendiri terhadap Anwar memang tidak dapat disangkal.

Ini kerana parti itu lahir daripada perjuangan untuk membebaskan Anwar 10 tahun lepas ketika beliau berdepan dengan tuduhan serupa selain tuduhan menyalah guna kuasa semasa masih bersama UMNO dan menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan PKR, Chang Tian Chua bukan saja mengakui perkara mengenai kesetiaan ini malah berkata, mereka bersedia berhadapan dengan pihak yang cuba menggugat perjuangan mereka.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa buat masa ini hanya PKR yang kelihatan berada di barisan hadapan dan menerima serangan.

"Bagaimana sukar sekali pun, kita akan tanganinya," kata Tian Chua.

Tegas menafikan PKR berada dalam krisis kepimpinan berikutan tuduhan liwat yang dihadapi Anwar, Tian Chua yakin DAP dan Pas tetap bersama mereka, dan Pakatan Rakyat masih teguh.

"Sebagai satu pakatan, kami kuat. Kami sedang berdepan dengan cabaran yang besar," katanya.

Di sebalik ketegasan kata-kata itu, kesetiaan Pas dan DAP terhadap Anwar dan PKR sebenarnya belum teruji dan perbezaan fahaman politik yang ketara mungkin meletakkan Anwar sebagai liabiliti kepada perjuangan dua parti rakan PKR itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng misalnya ketika diaju pertanyaan itu secara umum menjelaskan setakat ini tidak ada perubahan daripada segi dasar DAP terhadap Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, keengganannya untuk mengulas lanjut berhubung tuduhan terhadap Anwar dan kesannya terhadap Pakatan Rakyat boleh ditafsir sebagai 'cubaan mengelak'.

"Tak ada lagi yang nak saya tambah (kepada kenyataan sebelum ini mengenai isu itu)," katanya.

Guan Eng, semasa diminta oleh media mengulas isu itu sebelum ini berkata, ia patut diputuskan oleh sistem perundangan kerana yang benar tetap benar dan yang bersalah tetap bersalah.

PerancanganDalam kalangan pemimpin Pas pula, kenyataan mereka jelas menunjukkan parti itu setia 'buat masa ini'.

"Kita masih dengan Pakatan Rakyat. Dia (Anwar) bersalah atau tidak, itu persoalan di kemudian hari. Pas masih bersama dengan Pakatan Rakyat," kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamarudin Jaffar juga mengakui kerjasama itu hanya untuk waktu sekarang kerana pada masa depan masing-masing bergerak mengikut perancangan masing-masing.

"Sekarang tidak timbul apa-apa isu dalaman (Pakatan Rakyat) yang berkaitan dengan apa-apa perkembangan yang ada pada masa kini. Kalau masa depan, memanglah kita nak bergerak ke depan ikut parti kita," katanya.

Sepintas lalu, kenyataan yang dibuat oleh pemimpin DAP dan Pas itu menunjukkan masing-masing ada perancangan masa depan yang berbeza, sekali pun sekarang mereka bersama-sama menikmati sokongan kebanyakan rakyat.

Barangkali seperti kata penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, sokongan rakyat bakal menentukan sama ada Pakatan Rakyat mampu mengharungi kontroversi yang menyelubungi Anwar sekarang sebagai sebuah pakatan atau masing-masing akan menjarakkan diri daripada PKR.

"Pada saya kredibiliti Anwar di kalangan anggota PKR tidak akan terjejas kerana berdasar pengalaman lalu beliau telah membersihkan dirinya daripada tuduhan sebelum ini. Jadi mereka akan anggap ini hanya tohmahan.

"Tetapi di kalangan orang awam barangkali timbul keraguan, menganggap isu ini sebagai sandiwara dan helah pemimpin PKR tersebut. Selain itu, perlu diingat walaupun Anwar dibebaskan di mahkamah, ada aspek-aspek (pada tuduhan liwat sebelum ini) yang tidak dihapuskan oleh mahkamah, jadi orang awam mungkin percaya," katanya.

Bekas dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya itu juga bersetuju dengan pendapat bahawa kenyataan yang dibuat pemimpin parti-parti sekutu PKR sebelum ini menggambarkan mereka tidak menolak kemungkinan tuduhan itu benar.

"Kesetiaan mereka (DAP dan Pas) dalam Pakatan Rakyat bergantung kepada keputusan penyiasatan, pengadilan dan penghakiman. Kalau keputusan akhirnya negatif kepada Anwar, maka saya percaya ia akan bawa kesan negatif kepada PKR dan masyarakat awam akhirnya," katanya.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Agus Yusoff pula yakin kontroversi terbaru Anwar tidak akan menjejaskan kerjasama antara ketiga-tiga parti pembangkang itu buat masa ini.

Sebaliknya, kata beliau, masa yang ada sekarang akan dimanfaat barisan pembangkang untuk mempamerkan imej perpaduan menentang sebarang usaha yang didakwa mereka sebagai penyalahgunaan kuasa.

Katanya sekali pun jika keputusan akhir dalam kontroversi terbaru Anwar adalah negatif bagi pemimpin PKR itu, ia bergantung kepada tanggapan sama ada wujud ketelusan atau tidak dalam proses penyiasatan, perbicaraan dan penghakiman.

"Kalau ada tanggapan semua proses tersebut berlaku secara tidak telus, ini akan menguatkan lagi barisan pembangkang kerana mereka sekarang bersatu membawa imej menentang usaha yang didakwa mereka sebagai salah guna kuasa oleh kerajaan," kata Mohammad Agus, pensyarah Fakulkti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Meraih untung Tambahan pula, katanya, buat masa sekarang pemimpin DAP dan Pas masih beranggapan tuduhan terhadap Anwar itu lebih bersifat peribadi, bukan masalah kepartian.

Berkenaan sokongan umum pula, Mohammad Agus berkata, kontroversi terhadap Anwar tidak banyak menjejaskan pandangan umum terhadap Pakatan Rakyat kerana barisan pembangkang sedang meraih untung daripada keadaan ekonomi sekarang dengan menawarkan harapan yang ia akan berubah jika mereka meneraju pentadbiran.

"Politik berkait dengan Pakatan Rakyat menawarkan harapan kepada rakyat yang keadaan akan menjadi baik tatkala masyarakat sedang tenat berdepan dengan krisis kenaikan harga minyak dan kesan yang dicetuskannya," katanya.

Sekali pun harapan itu belum tentu dapat ditunaikan, ia sudah cukup untuk membuat masyarakat menyokong Pakatan Rakyat, sekali pun peneraju barisan pembangkang itu sedang berdepan dengan isu moral.

Mohammad Agus bagaimanapun bersetuju Pakatan Rakyat tidak akan kekal untuk jangka masa lama kerana wujud perbezaan ideologi yang nyata antara mereka, khususnya antara PKR dan Pas yang membabitkan politik orang Melayu.

"PKR melihat politiknya sebagai politik rakyat sedangkan Pas pula adalah politik agama, dan melindungi agama Islam adalah keutamaan mereka.

"PKR juga mengamalkan apa yang kita kata sebagai mentaliti minoriti iaitu terlalu bergantung kepada sokongan kaum lain," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata, politik amalan PKR itu memberi gambaran orang Melayu mempunyai mentaliti kaum minoriti kerana bergantung kepada sokongan kaum lain, sekali pun hakikatnya orang Melayu tidak perlu berbuat demikian kerana mereka kaum majoriti di negara ini.

Justeru, katanya, akan timbul kesulitan antara Pas dan PKR kerana Pas adalah sebuah parti yang didukung orang Melayu beragama Islam.

Walau apa pun keputusan di akhir kontroversi yang menyelubungi Anwar, yang jelas Pakatan Rakyat tidak pernah mengeluarkan kenyataan secara mutlak kerjasama mereka akan berterusan untuk jangka masa panjang.

Malah, sebelum ini pun, pemimpin daripada dua parti sekutu PKR itu memandang sepi perancangan Anwar untuk menumbangkan kerajaan BN selewat-lewatnya 16 September ini dan menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, membayangkan keraguan mereka terhadap rancangan Anwar itu.

Seperti kata Guan Eng: "(Mengenai perancangan) itu, kamu tanya Anwar. Saya berpendapat, siapa saja berhak untuk merancang."

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN