|
KOTA KINABALU 10 Julai - Dakwaan Parti Maju Sabah (SAPP) bahawa tempoh 30 hari yang diberikan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) kepada parti itu untuk menghantar surat tunjuk sebab sebagai strategi memecahbelahkan parti hanya merupakan tafsiran negatif.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, dakwaan itu bukan sahaja tidak benar tetapi menunjukkan SAPP kini seolah-olah terumbang-ambing dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
Beliau berkata, tidak ada keperluan sama sekali bagi BN untuk melakukan strategi yang hanya akan merugikan parti seterusnya memberi kesan kepada rakyat.
“Saya fikir dia berhak untuk membuat tafsiran, masing-masing ada tafsiran sendiri tetapi kita juga boleh mengatakan kalau kita bagi dia satu minggu pun dia tanya kenapa satu minggu sahaja. Kalau bagi dua minggu, dia kata tidak cukup dan kita bagi satu bulan pun salah.
“Bagi saya secara peribadi tidak (bukan strategi BN), kita jangan salah memberi konotasi negatif kepada setiap keputusan kerana kalau setiap yang dibuat itu kita ada konotasi negatif, jadi semua negatif dalam tindak tanduk kita seharian,” katanya.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha UMNO Sabah berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Kartun dan Komik 2008 di Balai Seni Lukis Sabah di sini hari ini.
Semalam, Presiden SAPP, Yong Teck Lee mendakwa tempoh 30 hari yang diberi kepada SAPP bagi menghantar surat tunjuk sebab sebagai strategi memecahbelahkan parti itu.
Teck Lee berkata, cara tersebut adalah taktik pemimpin-pemimpin BN pusat untuk mengambil kesempatan dalam tempoh itu supaya dapat mempengaruhi dua Naib Presiden SAPP iaitu Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Datuk Dr. Chua Soon Bui.
IKLAN@UTUSAN
|