|
KUALA LUMPUR 10 Julai - Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) menyelar pembangkang yang mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri kerana cara itu disifatkan cubaan menjatuhkan sebuah kerajaan yang sah melalui 'pintu belakang'.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin berkata, apa yang sedang dilakukan pembangkang ternyata membelakangi kehendak rakyat yang telah memilih kerajaan BN secara sah menerusi saluran pilihan raya.
''Kita ada pilihan raya pada 8 Mac lalu dan rakyat telah beri mandat kepada BN. Kenapa pembangkang mesti mahu kemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri?
''Apa agenda mereka? Nak jatuhkan kerajaan? Tak boleh pintu belakang, mesti pilihan raya, pembangkang kena gentleman," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Pembangkang petang ini, menyerahkan surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Permohonan mengikut peraturan mesyuarat 18 (1) dan (2) itu bagaimanapun, memerlukan kelulusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk dibahaskan.
Jika diluluskan, Isnin ini adalah tempoh paling awal untuk usul tersebut dibahaskan.
Anggota pembangkang hanya mempunyai 81 wakil sementara bebas seorang dan di pihak BN mempunyai 140 wakil.
Bung Moktar menegaskan, dalam hal ini pembangkang sebenarnya tidak mempunyai peluang sama sekali untuk mendapat sokongan.
Katanya, justeru usaha menjatuhkan kerajaan melalui cara usul undi tidak percaya hanyalah ibarat angan-angan untuk membentuk kerajaan.
''Pembangkang tetap pembangkang, mereka tetap nak perintah negara ini tanpa kira apa cara asalkan dapat.
''Mereka ingat nak jadi kerajaan dengan pintu belakang, ini bukan cara yang dihormati," ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|