|
KUALA LUMPUR 10 Julai - Penentuan tempoh peralihan kuasa antara Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak menepati kehendak akar umbi yang sebelum ini mahukan satu tempoh yang tepat bagi perkara itu berlaku.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu juga mendapat respons yang baik daripada kepimpinan parti dan akan memberikan masa kepada UMNO untuk pulih sepenuhnya sebelum pilihan raya umum akan datang.
"Kini menjadi tanggungjawab kita semua ahli UMNO untuk membantu menyatukan parti, ini adalah petanda yang baik dan Pemuda berdiri teguh (dengan keputusan itu)," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas Bersama Presiden dan Timbalan Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Pergerakan Wanita UMNO pula berharap jawatan Presiden dan Timbalan UMNO tidak akan ditandingi pada pemilihan Disember ini berikutan tempoh peralihan kuasa menuntut ahli mengutamakan perpaduan.
Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan kini perlu diberikan sokongan penuh untuk memperkukuhkan UMNO dan Barisan Nasional.
"Saya gembira telah tercapai kata sepakat antara Presiden dan Timbalan Presiden tentang penjadualan dan tatacara peralihan kuasa.
"Adalah diharapkan semua pihak akan menerima baik dan menghormati persetujuan antara kedua-dua pemimpin dan memastikan supaya mereka berdua tidak ditandingi pada pemilihan parti," katanya.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula yakin permulaan pelan peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib akan meredakan gelora politik tanah air masa ini.
Beliau berkata, tindakan kedua-dua pemimpin tertinggi parti melakukan peralihan kuasa secara muafakat akan menutup sebarang ruang kepada pembangkang daripada mengambil kesempatan atas ketidaktentuan politik semasa.
"Tindakan kedua-dua pemimpin diterima dengan baik oleh kepimpinan parti yang lain dan boleh kukuhkan lagi kestabilan parti, ini satu perkembangan yang baik," katanya.
Beliau berkata, apa yang berlaku juga mencerminkan bahawa UMNO memiliki tradisi peralihan kuasa yang baik dan perlu dikekalkan.
Ketika ditanya adakah selaku ahli keluarga Abdullah beliau sedih dengan apa yang berlaku, Khairy menjelaskan, beliau menerima apa yang berlaku dengan baik kerana kepentingan parti adalah lebih utama.
"Sebagai ahli keluarga, sebagai ahli parti, kita menyambut baik kerana ini adalah jalan terbaik untuk semua pihak, tidak ada apa-apa yang perlu disedihkan," katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata, tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan membuktikan UMNO dan Melayu ada nilai, adat dan tradisi yang murni.
"Kita sedih Abdullah beri laluan, kita terharu Najib dinamakan sebagai penganti, kita percaya kedua-duanya telah berpakat dengan baik.
"Kita juga percaya ini adalah sesuatu yang baik untuk parti dan negara sebab sesuatu yang ditakdirkan Allah SWT itu ada hikmah dan kebaikkannya, terbukti Abdullah berjiwa besar, kita perlu menyokong kedua-dua pemimpin," katanya.
Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Shahrir Samad berkata, ahli-ahli UMNO tidak terperanjat dengan pengumuman peralihan kuasa itu kerana ia memang telah lama dibincangkan.
"Perkara ini tidak mengejutkan kerana ia telah dibincangkan sejak April lagi," katanya.
Shahrir juga memberitahu, tindakan Abdullah bukan di bawah tekanan mana-mana pihak kerana kepimpinan parti telah menyerahkan kepada beliau dan Najib untuk menentukan tempoh peralihan berkenaan.
Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, pengumuman Abdullah untuk berundur pada pertengahan 2010 menutup kesamaran yang wujud selama ini.
"Beliau berjiwa besar kerana menyatakan masa dan Najib juga berjiwa besar kerana sanggup menunggu selama 23 bulan," katanya.
Ahmad Zahid juga yakin apabila tiba masanya, Abdullah akan menyerahkan satu parti yang bersatu dan kuat kepada Najib.
''Bagi saya apa yang dilakukan oleh Abdullah merupakan satu pengorbanan kerana bukan mudah seseorang pemimpin menyatakan hasrat untuk berundur. Ini merupakan satu tindakan yang mulia daripada seorang pemimpin," katanya.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pengumuman yang dibuat oleh Abdullah ini dapat menutup pelbagai spekulasi yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
"Kalau tak umum, macam-macamlah nanti orang bercakap. Terima kasih di atas pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh Najib kerana menunggu pada masa tertentu. Saya berharap kestabilan politik akan berlaku dan berharap kedua-duanya bergabung untuk menjalankan tugas dengan baik," katanya.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Idris Haron berkata, pengumuman itu menunjukkan sifat tidak mementingkan diri sendiri yang diamalkan oleh kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu.
"Inilah yang dikatakan ada satu kesefahaman yang tulen yang tidak palsu di antara Presiden dan Timbalan Presiden kita dan saya percaya ini dapat menyatukan anggota UMNO untuk bergerak ke arah pilihan raya umum yang akan datang dengan sokongan padu kepada pemimpin," katanya.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan peralihan kuasa itu diharap dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan tertinggi parti dengan peranan lebih besar diberikan kepada Najib.
Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pula mahu para ahli terutama golongan Putera memandang mulia pengorbanan kedua-dua pemimpin tertinggi parti.
"Kedua-duanya adalah insan berjiwa besar yang memilih parti lebih daripada kepentingan diri," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|