|
KUALA LUMPUR 10 Julai – Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.
Mereka turut berikrar akan terus setia bersama kedua-dua pemimpin itu bagi memastikan BN dapat meneruskan khidmat kepada rakyat.
Menurut mereka, kepimpinan parti juga akan bekerja kuat bagi memastikan BN mencapai kejayaan besar pada pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata, pengumuman Perdana Menteri itu menunjukkan peralihan kuasa berjalan dengan sempurna tanpa sebarang kekecohan.
Tambahnya, ia sekali gus menunjukkan kestabilan politik di negara ini dan parti UMNO serta BN adalah stabil.
‘‘Keputusan Perdana Menteri itu perlu kita hormati kerana ia sememangnya sudah menjadi tradisi parti apabila tiba masanya seseorang pemimpin itu menyerahkan kuasa kepada penggantinya.
‘‘Apa yang penting, kita sebagai rakan-rakan dalam komponen BN akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,’’ katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, pihaknya juga menghormati keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri.
Menurut beliau, keputusan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha-usaha untuk memperkukuhkan semula kekuatan UMNO dan paling utama adalah bagi memastikan BN lebih kuat.
‘‘MCA amat mengharapkan penyerahan kuasa itu akan berjalan dengan lancar dan tidak menimbulkan sebarang masalah,’’ katanya.
Peralihan kuasa itu, kata Siang Chai, dilihat mampu mengukuhkan kekuatan BN dalam usaha merampas semula negeri yang jatuh ke tangan pembangkang.
Dalam pada itu, Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, sudah tiba masanya untuk rakan-rakan dalam parti komponen berganding bahu dan membantu Perdana Menteri untuk menguatkan semula BN.
‘‘MIC menghormati keputusan Perdana Menteri itu tetapi pada masa yang sama semua rakan-rakan dalam BN perlu memastikan parti terus menjadi kuat dan sentiasa menjadi pilihan rakyat,’’ ujarnya.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, jika keputusan peralihan kuasa itu dapat mengembalikan semula kekuatan BN maka ia wajar dilakukan dengan sempurna.
Hati rakyat
‘‘PPP tidak kisah siapa pemimpin akan mengetuai BN tetapi yang paling penting adalah semua parti komponen perlu bekerja keras.
‘‘Tugas kita adalah untuk memenangi hati rakyat dan merampas kembali kerusi yang dimenangi oleh pembangkang,’’ katanya.
Beliau berharap peralihan kuasa itu tidak akan menimbulkan sebarang spekulasi dan masalah sehingga boleh menjejaskan kekuatan BN.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|