VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
FEMININ

ARKIB : 09/07/2008

Seni Tenun Pahang


Ringkas namun memikat menjadi teras karya Tom Abang Saufi ini.


TENUNAN adalah proses mencantum atau menyilang benang-benang menjadi kain yang kemudiannya dikenali sebagai kain tenun. Proses pembuatannya dengan jalinan dan sulaman benang adalah satu seni yang indah dan halus membuatkan kain tenun yang dihasilkan cukup eksklusif serta bermutu tinggi.

Kain tenun dahulunya hanya digayakan golongan istana, bangsawan dan ternama di sesebuah negeri. Kini, biar masih dipandang sebagai satu fabrik mewah, kain tenun turut dipakai orang kebanyakan, malah ia sebenarnya memikat hati semua golongan.

Dalam deretan kain tenun, seni tenunan Pahang antara yang diminati. Pahang Darul Makmur sebenarnya mempunyai pelbagai gelaran sebelum ini dan gelaran tua bagi negeri Pahang ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura.

Keindahan kain tenun Pahang membuatkan ia menjadi busana buat anak-anak raja, golongan istana, bangsawan dan kini tersebar kepada rakyat jelata untuk dijadikan samping serta pakaian tradisional.

Seni tenunan Pahang yang merupakan seni kraftangan tertua di negeri itu dikatakan telah dibawa masuk ke Pahang dalam abad ke-16 Masihi.

Tenunan tersebut dipercayai berasal dari Tanah Bugis dan telah diperkenalkan oleh seorang pembesar Bugis iaitu Keraing Aji.

Beliau yang juga dikenali sebagai Tok Tuan kemudiannya bermastautin di Kampung Mengkasar, Pekan, Pahang sekitar tahun 1722. Kedatangan Tok Tuan ke negeri itu juga dikatakan telah membaiki kemahiran menenun sutera kepada penduduk Pahang khususnya bagi masyarakat di daerah Pekan.

Seni kraftangan tersebut telah merebak ke daerah lain termasuk Pulau Keladi, Benta, Jambu dan Mukim Langgar. Bagaimanapun, aktiviti tenunan terhenti semasa Perang Dunia Kedua kerana masalah kesukaran mendapatkan bekalan benang.

Aktiviti itu kemudiannya disambung semula pada tahun 1948 dengan diusahakan oleh M.J.T. Macann, yang ketika itu adalah Pegawai Daerah Pekan melalui kerjasama Menteri Besar Pahang, Datuk Mahmud Mat.

Bagi memastikan seni kraftangan Pahang tidak lupus, kerajaan Pahang terus mengambil inisiatif menghidupkan perusahaan itu pada tahun 1949 hingga 1960-an. Kegiatan itu seterusnya telah diambil alih oleh Rural and Industrial Development Authority (RIDA) pada tahun 1963.

Hasilnya kini, pusat tenunan terus berkembang luas. Selain terdapat di Pulau Keladi, Inderapura, Kampung Ketapang dan Temai Hilir di Pekan, ia juga diperluaskan hingga di Kampung Soi, Kuantan, Felda Chini, Felcra Kampung Baru Salong, Felcra Sri Mahmur dan Kampung Parit Raja, Rompin.

Gemilang Seni Tenun Pahang Diraja

Kain tenun Pahang yang merupakan industri tradisional kepada penduduk Pahang itu mempunyai 27 reka corak iaitu corak tradisional dan corak moden.

Corak tradisional antaranya Jalur Melintang, Batang Pinang, Biji Peria, corak Melintang di Tengah, Bunga Cengkih, corak Pahang, Selumbar Nibong, Tubok Sekampung dan corak Usek.

Manakala reka corak zaman sekarang adalah corak Tengku Ampuan, Tok Muda, Orang Kenamaan, Datuk Bandar, corak Datuk Mahmud, Tun Razak, corak Beranak, Tapak Catur, Mengiring, Belah Buluh dan corak Seluang Mudik.

Andai dulu, kain tenun Pahang hadir hanya dalam gaya potongan klasik tidak kira kurung mahupun kebaya, tetapi kini, keindahannya telah cuba dipelbagaikan dalam rekaan moden dalam usaha memperkenalkan tekstil klasik itu ke mata dunia, selain menggegarkan industri fesyen antarabangsa dengan rekaan memukau berpaksikan tenun Pahang.

Bagi memulakan langkah memartabatkan tenun Pahang, baru-baru ini diketengahkan Malam Tenun Pahang Diraja dengan menampilkan gaya terkini tenun Pahang dalam sentuhan moden dan tradisional yang diluahkan lima pereka terkenal tempatan.

Antara pereka yang menonjolkan rekaan adalah Datuk Bernard Chandran, Datuk Tom Abang Saufi, Datin Sharifah Kirana Syed Ghazali dan dua pereka dari kraftangan Malaysia, Nazari Maarus dan Rodziah Mohd. Yusoff.

Sebanyak 92 rekaan menawan dan memukau mata telah diketengahkan pada majlis itu yang dianjurkan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersama agensi di bawahnya, Kraftangan Malaysia.

Malam Tenun Pahang Diraja telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut ingin melihat tenun Pahang berkembang setaraf dengan batik dan songket dalam pembangunan industri tekstil negara.

Bagi Najib, tenun Pahang mempunyai keunikan tersendiri yang melambangkan keunikan budaya, adat resam dan kehidupan sesuatu masyarakat. Keindahan dan keunikan itu juga membolehkan ia diketengahkan setanding dengan songket dan batik.

Turut hadir, Tengku Puan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan Pengerusi Pembangunan Tenun Pahang Diraja; isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Penasihat Pembangunan Tenun Pahang Diraja; Menteri Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Penganjuran malam yang cukup bermakna itu adalah sebagai satu usaha bagi mengetengahkan keindahan tenun Pahang Diraja sebagai tekstil fesyen pakaian dengan rekaan tradisional, moden dan kontemporari etnik hingga kepada koleksi semi formal, pakaian malam dan fesyen Muslimah.

Ia juga diadakan bagi meningkatkan minat penggunaan tenun dalam gaya hidup masa kini serta membudayakan masyarakat tempatan agar menggunakan kraf tekstil tenunan.

Pada malam itu, memulakan peragaan, hadiran dipertontonkan dengan rekaan Nazari buat lelaki dan wanita dalam gaya kasual, malam dan klasik melalui tarikan rona-rona memukau antaranya ungu, biru lembut, merah hati dan hijau.

Seterusnya mata terpesona pula dengan rekaan inspirasi Tom Abang Saufi menerusi percikan warna-warna coklat keemasan dan jingga dalam gaya moden yang ringkas namun memikat.

Gaya tradisional kontemporari pilihan Sharifah Kirana dengan kain tenun berona lembut dan serinya ditonjolkan melalui sulaman manik dan jemeki yang merupakan intipati rekaan pereka ini.

Manakala Rodziah tampil rekaan moden dan kontemporari dalam pelbagai gaya termasuk fesyen Muslimah.

Dan Bernard menutup tirai dengan membawa penonton ke Hollywood dalam era 50-an. Gaya lama dalam sentuhan moden dengan skirt kembang dan gaun pendek dengan perincian mengelembung di bahagian atas baju cukup mempesona.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.