Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 08/07/2008
Pemimpin pembangkang berdiam diri

Pemimpin pembangkang berdiam diri

KUALA LUMPUR 7 Julai - Para pemimpin pakatan pembangkang memilih untuk berdiam diri apabila diminta mengulas insiden londeh seluar yang berlaku sewaktu acara hiburan pada Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun (Protes).

Malah Penyelaras Protes yang juga Bendahari Agung Pas, Dr. Mohd. Hatta Ramli yang sedang ditemu bual pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini terus menamatkan temu bual itu apabila diminta mengulas mengenai insiden tersebut.

Beliau hanya mengangkat tangan dan berlalu sambil berkata:

''Okey, terima kasih, berjumpa pada himpunan akan datang."

Bagaimanapun pemberita difahamkan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat post-mortem Protes.

Protes yang mengadakan perhimpunannya semalam di Stadium Kelana Jaya bukan sahaja menjadi perhimpunan membantah kenaikan harga minyak tetapi turut diselubungi insiden 'tunjuk punggung'.

Salah seorang daripada artis yang terlibat dalam persembahan sempena perhimpunan itu, Alak daripada kumpulan Carburetor Dung telah bertindak liar dengan melondehkan seluar ketika membuat persembahan sebelum dia dibelasah oleh beberapa penonton yang membantah aksinya.

Insiden itu menimbulkan kecaman pelbagai pihak termasuk di kalangan pakatan pembangkang walaupun himpunan tersebut didalangi oleh pemimpin mereka sendiri.

Pemuda Pas Pahang misalnya mendesak Jawatankuasa Protes meletakkan jawatan dan bertanggungjawab di atas aksi 'tunjuk punggung' itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang ketika ditanya hal yang sama enggan mengulas atas alasan tidak menghadiri himpunan berkenaan.

''Tak bolehlah saya nak komen, tak adil untuk saya ulas kerana saya tidak hadir," jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, isu itu dianggap selesai dengan langkah pengurus pentas yang bertanggungjawab membawa penyanyi itu, Hishammuddin Rais tampil memohon maaf semalam.

''Saya difahamkan bahawa pengurus telah meminta maaf, jadi sudah cukuplah. Jangan buat lagi. Para artis mesti peka dengan kebudayaan masyarakat dan jangan membuat perbuatan yang melampau," ujarnya.

Ditanya adalah kerajaan Selangor akan mengeluarkan perintah melarang kumpulan underground seperti Carburetor Dung mengadakan persembahan di Selangor, beliau berkata, artis seperti itu masih dibenarkan jika mereka bersopan-santun.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN