|
KUALA LUMPUR 7 Julai - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin diminta supaya membuat pengakuan jujur tentang kebenaran wujudnya 'Perjanjian Pangkor II' antara beliau dan DAP seperti yang didakwa oleh abangnya, Fadhil Jamaluddin.
Ketua Umum, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, jika benar perkara itu berlaku, Mohammad Nizar boleh dianggap sebagai boneka sehingga terperangkap dalam urusan agama Islam.
''Jika Perjanjian Pangkor antara British dan Sultan Perak pada abad ke-19 dahulu adalah bertujuan memberi kuasa mutlak kepada Sultan dan kerajaan negeri dalam urusan agama Islam serta adat istiadat Melayu, ternyata 'Perjanjian Pangkor II' ini lebih dahsyat dari itu.
''Ini kerana kami difahamkan kononnya beliau (Mohammad Nizar) telah terikat dengan perjanjian bersama DAP sebelum bersetuju dilantik sebagai menteri besar,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Osman berkata, perjanjian tersebut menyebabkan banyak keputusan kerajaan terutama perkara yang menyentuh soal Islam tidak boleh dilaksanakan walaupun sekadar disebut.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Fadhil menganggap adiknya, Mohammad Nizar tidak layak menjadi Menteri Besar kerana menandatangani 'Perjanjian Pangkor II' bersama DAP yang antara isi kandungannya melarang Menteri Besar menyebut negeri Perak diperintah oleh lslam.
Dalam perjanjian itu juga, Mohammad Nizar tidak dibenarkan menyebut terma yang berkaitan dengan Pas atau bahasa Arab seperti Hudud, Qisas dan sebagainya.
Menurut Osman, pihaknya bimbang jika wujud pelbagai lagi syarat lain dalam perjanjian tersebut, ia akan merugikan bangsa Melayu serta hak-hak kepentingan orang Melayu.
IKLAN@UTUSAN
|