Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 02/07/2008
Siber kafe di perpustakaan universiti

Siber kafe di perpustakaan universiti

Isu mewujudkan kafe francais seperti Starbucks, Kopitiam dan Dunkin Donuts di pusat tumpuan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerima reaksi pelbagai pihak. Antara rasional mengapa kafe francais itu wajar diadakan ialah walaupun terdapat IPTA sudah menyediakan perkhidmatan WiFi, namun liputannya masih belum menyeluruh.

Akibatnya, ramai penuntut universiti dilaporkan sanggup keluar kampus untuk mengunjungi kafe Starbucks di pusat bandar sambil melakukan tugasan mereka.

Lantaran itu, dijangkakan kewujudan kafe-kafe francais di IPTA akan meningkatkan lagi keselesaan para penuntut kerana kemudahan Internet akan membantu meningkatkan keberkesanan pembelajaran mereka.

Usaha ini boleh menggalakkan pe- lajar melakukan interaksi yang berbentuk ilmiah seperti mengadakan perbincangan di kafe yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi.

Persoalan yang timbul ialah benarkah de- ngan mewujudkan kafe francais, ia dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih relaks, dinamik serta kondusif.

Benarkah ia dapat menggalakkan pelajar untuk lebih minat untuk berdiskusi mengenai perkara-perkara yang berhubungkait dengan pengajian mereka?

Strategi untuk menggalakkan pelajar universiti memanfaatkan penggunaan kemajuan teknologi maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran mereka telah dilaksanakan di beberapa universiti di luar negara melalui kewujudan siber kafe di bangunan perpustakaan. Siber kafe ini turut mengundang kehadiran francais-fran- cais terkenal seperti Starbucks.

Di beberapa universiti di luar negara, dalam usaha menjadikan perpustakaan sebagai tempat belajar yang lebih menarik kepada pelajar universiti dan juga komuniti setempat, konsep siber kafe mula diwujudkan. Contohnya ialah Libe Café.

Libe Café adalah siber kafe Universiti Cornell yang pertama dan terletak di tingkat bawah Perpustakaan Olin.

Libe Café lahir hasil usaha Sarah Thomas, seorang pustakawan di Universitiy Cornell. Mengikut beliau, kewujudan siber kafe di perpustakaan adalah untuk kemudahan pengunjung perpustakaan dan sebahagian lagi adalah usaha untuk mengubah kemudahan di perpustakaan agar menjadi lebih dinamik. Thomas merasa yakin bahawa kewujudan siber kafe itu akan menjadi hab interaksi sosial dan pendidikan antara pelajar, pensyarah dan kakitangan universiti yang baik.

Kewujudan siber kafe di perpustakaan boleh membuang persepsi stereotaip mengenai gambaran sebuah perpustakaan yang sering digambarkan sebagai malap dan menjemukan. Papan tanda "tolong senyap" di ruang-ruang di perpustakaan sering memberi gambaran bahawa pengunjungnya tidak dilarang bercakap.

Konsep siber kafe di perpustakaan universiti menjadi semakin popular. Selain daripada Universiti Cornell, universiti di Columbia, Dartmouth, Berkeley dan Michigan State juga mempunyai siber kafe di perpustakaan mereka. Usaha ini adalah sebagai memenuhi permintaan pengunjung perpustakaan ke atas pengunaan teknologi maklumat yang terkini.

Konsep di mana perpustakaan tidak hanya tertumpu kepada persekitaran yang senyap sunyi semakin boleh dilupai. Kini terdapat anjakan paradigma bagaimana perpustakaan boleh dimanfaat sepenuhnya. Pengunjung perpustakaan kini mahukan suasana yang lebih relaks.

Pelajar seringkali merasa lapar dan dahaga semasa belajar. Berhenti sejenak untuk makan dan minum boleh menambahkan tenaga .

Bukannya mudah untuk mewujudkan siber kafe di universiti. Contohnya, sebelum sebuah siber kafe di buka di perpustakaan UNT, pihak pentadbir UNT menghadiri satu forum yang dianggotai oleh ahli-ahli Texas Library Association.

Forum Latte in the Library ini dihadiri oleh 250 petugas perpustakaan, kolej, sekolah tinggi dan perpustakaan awam. Setelah melalui banyak perdebatan, akhirnya persetujuan dicapai untuk mewujudkan siber kafe di perpustakaan UNT.

Antara ciri yang perlu ada di siber kafe di universiti ialah ruang yang selesa (sebagai satu pusat perkumpulan pelajar), kemudahan teknologi yang canggih dan juga peralatan kemudahan lain. Makanannya perlu enak dan waktu siber kafe mesti dibuka awal dan ditutup lewat.

Ada yang tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan siber kafe di perpustakaan ini. Menurut pandangan ini, perpustakaan bukanlah tempat untuk membawa masuk makanan.

Bau makanan membuatkan pelajar tidak boleh belajar. Apatah lagi, ramai yang datang ke perpustakaan untuk belajar dalam keadaan yang senyap sunyi. Oleh itu, gangguan bunyi, bau makanan semuanya menyumbang kepada gangguan untuk belajar. Sisa makanan boleh menarik kedatangan serangga dan binatang yang boleh merosakkan buku.

Dalam kesibukan isu mewujudkan kafe francais di IPTA, perpustakaan luar negara telah mencorak langkah mewujudkan siber kafe untuk menarik minat lebih ramai pengunjung ke perpustakaan di samping menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih dinamik.

Persoalannya, bersediakah perpustakaan di Malaysia menyediakan siber kafe di perpustakaan mereka?

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN