Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 30/06/2008
Henti persoal kontrak sosial – PM

Henti persoal kontrak sosial – PM

PUTRAJAYA 29 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan rakyat supaya tidak mempersoalkan lagi kontrak sosial dan ketuanan Melayu bagi mengelakkan ketegangan kaum.

Tegas Perdana Menteri, beliau tidak nampak apa manfaat Majlis Peguam membincangkan hak dan kedudukan orang Melayu itu dalam forum anjuran badan itu semalam.

Menurutnya, kontrak sosial dan ketuanan Melayu merupakan dua perkara besar yang dipersetujui oleh pemimpin semua kaum sejak merdeka yang berasaskan prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Saya pasti orang Melayu tak suka isu ini dibincangkan.

‘‘Tidak usah, tidak payah bincangkan perkara ini kerana ia akan timbulkan macam-macam reaksi orang Melayu serta akan menyebabkan rasa permusuhan dan ketegangan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program Bumi Hijau Warga Putrajaya bersama Perdana Menteri di Precint 9 di sini hari ini.

Abdullah mengulas penganjuran Forum Kontrak Sosial oleh Majlis Peguam semalam yang menimbulkan kemarahan orang Melayu, lebih-lebih lagi ahli panelnya terdiri daripaa bukan Melayu yang disifatkan tidak layak membincangkan hak dan kedudukan kaum itu.

Kecaman daripada pelbagai pihak daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan sehingga kepimpinan politik itu antara lain membangkitkan tindakan Majlis Peguam itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk menekan dan menghina orang Melayu serta agama Islam di negara ini.

Forum disertai beberapa ahli panel antaranya Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mavis Puthucheary; Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr. Kua Kia Soong dan peguam, Tommy Thomas serta ahli akademik, Dr. Farish Noor.

Menurut Perdana Menteri, pendirian kerajaan adalah jelas bahawa kontrak sosial dan ketuanan Melayu itu telah dipersetujui bersama oleh pemimpin dan rakyat pelbagai kaum sejak negara merdeka.

‘‘Kerana itu negara terus makmur, maju dan berjaya. Ini semua disebabkan tidak ada kumpulan yang mempolitikkan isu ini.

‘‘Sebenarnya kerajaan (yang ada) bertanggungjawab. Anggota kita (Barisan Nasional) terdiri daripada wakil komponen parti pelbagai kaum... dulu Perikatan cuma tiga parti tetapi sekarang lebih,” katanya.

Beliau percaya parti komponen BN memahami bahawa hak dan kedudukan orang Melayu tidak boleh diungkit dan dipersoalkan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN