|
![]() |
|
|
KUALA LUMPUR 28 Jun – Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan timbalannya, Tan Sri Chan Kong Choy tidak akan mempertahankan jawatan parti masing-masing pada pemilihan parti 18 Oktober depan.
“Saya telah memutuskan tidak akan bertanding semula bagi mempertahankan jawatan presiden parti. Keputusan yang telah saya fikirkan dengan masak selepas mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan dalam parti dalam tempoh tiga bulan lepas.
“Ini bukan keputusan tergesa-gesa tetapi telah saya timbangkan lama dan selepas perundingan dalam masa yang panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ka Ting berkata, pendekatan politiknya ialah seseorang pemimpin tidak harus menduduki sesuatu jawatan terlalu lama dan keputusannya hari ini sejajar dengan apa yang beliau perjuangkan selama ini.
“Bila saya ambil alih pucuk pimpinan parti pada Mei 2003, satu daripada tindakan segera saya ialah meminda perlembagaan parti bagi mengehadkan penggal presiden parti kepada hanya sembilan tahun.
“Bagi menteri, Exco negeri dan anggota majlis kerajaan tempatan, tempoh perkhidmatan mereka dihadkan kepada dua penggal pilihan raya umum,” tambah beliau.
Sementara itu, Kong Choy yang kini berada di luar negara ketika dihubungi berkata, beliau juga tidak berhasrat bertanding semula dan akan membuat kenyataan rasmi mengenai hal itu.
Dengan perkembangan terbaru ini, beberapa orang pemimpin parti seperti Naib Presiden yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat; Setiausaha Agung parti yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Ong Ka Chuan dan Ketua Pemuda yang juga Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai dijangka muncul sebagai calon-calon utama bagi merebut dua jawatan tertinggi parti dalam pemilihan itu kelak. Terdapat juga kemungkinan dua bekas naib presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Chua Jui Meng bertanding untuk jawatan tersebut.
– Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|