VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
PELANCONGAN

ARKIB : 28/06/2008

Kehijauan desa di Homestay Warisan


WARISAN seni bina masyarakat Minang yang masih terpelihara.


BALIK kampung adalah saat yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap ahli keluarga yang membesar di kota. Walaupun hanya seketika ia mampu mengubat kerinduan pada orang tersayang, suasana damai, makanan kegemaran malah semua perkara yang sudah lama ditinggalkan.

Dikongkong oleh kehidupan metro yang sibuk, ramai di kalangan warga kota tidak berpeluang untuk menikmati keharmonian dan keindahan kampung, jika ada sekalipun mungkin hanya pada Hari Raya.

Lebih pelik, ada yang tidak pernah kenal erti kehidupan kampung kerana tidak mempunyai kampung halaman sendiri. Sukar untuk dipercayai, tetapi itulah hakikat yang diakui oleh pemilik Homestay Warisan, Suhaimi Sidek.

Ada kalanya, rumah pusaka yang diwarisi dari bapanya itu riuh-rendah apabila menerima kunjungan daripada warga kota yang datang untuk menghabiskan masa bersama-sama keluarga di dalam erti kata kampung sebenar.

Bagi mereka yang mencari sedikit kelainan ketika bercuti, tarikan utama pada homestay ini adalah keunikan cara hidup masyarakat setempat yang masih mengekalkan adat Minangkabau.

Terletak di Kampung Padang Lebar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, perjalanan memakan masa kira-kira dua jam dari Kuala Lumpur tidaklah terlalu jauh jika dibandingkan dengan pengalaman yang menanti.

Di sini, pengunjung mempunyai dua pilihan pakej sama ada penginapan di rumah tradisional yang dibina sejak zaman British itu atau menginap bersama keluarga angkat yang tinggal berhampiran homestay tersebut.

Bagi yang ingin mendekati kehidupan masyarakat Minang, pakej kedua sangat bertepatan kerana berpeluang untuk berkenalan dan menyelami kemesraan dengan keluarga angkat daripada golongan petani, tukang kayu, penoreh getah dan pengusaha kraftangan.

Bagaimanapun, tarikan itu tidak sedikitpun menjadikan pakej di Homestay Warisan kurang tarikan. Malah, apa yang menanti di situ mempunyai keistimewaan tersendiri malah boleh membuatkan jadual persinggahan dianjak lebih lama.

Selepas menikmati tidur lena di dalam bilik berdinding kayu yang sejuk, langkah di sekitar halaman rumah selepas bangkit dari katil diselimuti kabus pagi yang diiringi oleh kicauan burung.

Hiasan landskap yang menarik juga menambah keasyikan ketika menghirup udara segar di situ. Berhampiran rumah itu adalah kawasan lapang bersaiz padang bola yang boleh digunakan untuk sebarang aktiviti berkumpulan.

Jauh sedikit ke belakang adalah sebuah kolam ikan air tawar yang disediakan untuk mereka yang gemar memancing atau sekadar untuk mengisi waktu terluang. Di tebingnya didirikan sebuah pondok dua tingkat bagi mereka yang ingin menikmati kehijauan alam semula jadi di situ.

Itu bukan pengakhirnya kerana di hujung tanah yang dimajukan itu juga mengalir tenang arus Sungai Jempol di bawah jambatan gantung sepanjang 20 meter.

Di seberang sebuah lagi pondok disediakan bagi mereka yang mahu melelapkan mata seketika pada sebelah tengahari atau memancing ikan sungai.

Pengisian aktiviti

Bagaimanapun, keindahan kawasan sahaja tidak mencukupi sekiranya tiada pengisian aktiviti yang menarik.

Menyedari hakikat itu, Suhaimi berkerjasama dengan penduduk serta kumpulan muzik tari setempat untuk mengadakan persembahan seni dan budaya, permainan rakyat serta demonstrasi membuat makanan tradisional.

“Keindahan irama Caklempong, Dikir Rebana, Tumbuk Kalang, Bongai, Tarian Lilin dan Randai pastinya mempersonakan.

“Selain itu, kita juga memberi peluang kepada anak-anak kota untuk mengenali permainan tradisional seperti congkak, tarik upeh, galah panjang dan kaki gajah,” katanya.

Tambahnya, potensi dan peluang yang ada itu tidak sepatutnya dibolot seorang diri sedangkan ia boleh mendatangkan keuntungan kepada penduduk kampung yang lain sekiranya persefahaman bersama dikekalkan.

Selain penyertaan penduduk kampung, terdapat dua lagi homestay berhampiran kampung itu yang menyediakan pakej yang sama, iaitu Homestay Lonet dan Laman Bakinang.

Kesemua pengusaha menawarkan tarikan tersendiri tetapi keenakan masakan Pilah seperti gulai masak lemak ayam, tempoyak dan paling digemari masak lemak cili padi yang disediakan di sini adalah yang paling istimewa.

Selepas hebahan meluas oleh pengunjung dan media, Homestay Warisan kini sentiasa dikunjungi oleh mereka yang ingin merehatkan minda dan lari dari kesibukan kota.

Suhaimi yang menguruskan perniagaannya itu di Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima banyak tempahan berkumpulan dari umat Islam Singapura yang ingin melakukan ibadah aqikah dan korban.

“Kehidupan di bandar besar membuatkan mereka sukar untuk menyempurnakan kewajipan itu. Di sini mereka akan dibantu oleh penduduk kampung,'' katanya.

Mengenai idea memajukan rumah pusaka itu beliau berkata, pengubahsuaian rumah pada mulanya sekadar untuk menjadikannya tempat perhimpunan ahli keluarga yang lebih selesa kerana mereka sekeluarga jarang bertemu.

“Selepas pengubahsuaian, kami mula menerima permintaan daripada penduduk kampung yang ingin menempatkan saudara-mara terutama pada majlis kenduri.

“Melihat potensi yang ada, kami bersepakat untuk membuka rumah enam bilik tidur ini untuk kunjungan orang ramai,” katanya.

Konsep sebenar yang disediakan kepada pelancong bukan sekadar homestay tetapi lebih kepada `kampung stay’ kerana kepelbagaian aktiviti yang disediakan dan penglibatan penduduk setempat.

Pelajar universiti Korea Selatan, Jong Ha Lee, 21 berkata, pengalaman yang diperoleh di situ adalah yang paling menarik sepanjang lawatannya ke negara ini.

“Amalan-amalan tradisional memang masih wujud di negara saya tetapi di sini ia sesuatu yang sangat berlainan, mungkin kerana keramahan masyarakat di sini,” katanya ketika mengacau dodol bersama penduduk kampung.

Selain itu, Homestay Warisan juga mempunyai pakej tarikan lain melalui beberapa destinasi menarik seperti Jeram Tengkek, kampung orang asli dan rumah tokoh Melayu terulung, Pendeta Za'ba di Batu Kikir, kira-kira lima kilometer dari situ.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.