|
KUALA LUMPUR 26 Jun - Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini membuat keputusan menerima bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd. Nor sebagai ahli parti itu.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Mohamad Ezam tidak dibenarkan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti walaupun diterima sebagai ahli UMNO.
Keputusan itu diumumkan oleh Tengku Adnan selepas menghadiri mesyuarat MT UMNO di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad Ezam ketika dihubungi di sini berkata, beliau menerima keputusan MT UMNO itu dengan hati terbuka.
''Sememangnya, hasrat saya sertai UMNO bukan untuk bertanding sebarang jawatan.
''Matlamat utama saya untuk masuk (UMNO) adalah untuk membantu menjayakan proses pembaharuan politik yang dimulakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,'' katanya.
Pada 28 Mei lalu, beliau menyerahkan borang keahlian untuk menyertai parti itu kepada Abdullah di Parlimen.
Tambah Mohamad Ezam, walaupun tidak dibenarkan bertanding, beliau akan terus memperjuangkan apa yang sedang diperjuangkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
IKLAN@UTUSAN
|