ARKIB : 26/06/2008
SPNB alih projek terbengkalai Taman Sejahtera Indah
SEBERANG JAYA 25 Jun - Setelah hampir lapan tahun terbengkalai, akhirnya projek perumahan Taman Sejahtera Indah di Telok Air Tawar di sini berjaya disiapkan setelah ia diambil alih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Tanpa mengenakan sebarang bayaran tambahan kepada pembeli, projek tersebut yang telah dibaik pulih oleh SPNB sejak awal tahun ini berjaya disiapkan dengan kos RM75 juta.
SPNB diperbadankan pada 21 Ogos 1997 lalu dan merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan yang ditubuhkan untuk menyediakan Rumah Mampu Milik yang berkualiti kepada semua keluarga di seluruh Malaysia selaras dengan Objektif Perumahan Negara.
Menurut Pengarah Urusan SPNB, Datuk Mohd. Amin Mohd. Salleh, SPNB telah dilantik oleh Kementerian Kewangan untuk membaik pulih projek berkenaan setelah sekian lama ia terbengkalai.
''Ketika mengambilalihnya, tahap kesiapan pada projek itu adalah antara 0-65 peratus," katanya di sini baru-baru ini.
Namun kini, katanya, sebanyak 226 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat serta 82 unit rumah pangsapuri di taman itu boleh diduduki oleh pembelinya.
Tambahnya, setelah memperolehi Sijil Kelayakan Menduduki (SKM) daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 12 Mei lalu, pembeli rumah di Taman Sejahtera itu telah diberikan kunci.
''Bagaimanapun, masih ada lagi pemilik rumah yang masih belum dikenal pasti dan gagal dihubungi bagi mendapatkan maklumat mengenai rumah berkenaan.
''Justeru SPNB berharap supaya pembeli rumah Taman Sejahtera Indah boleh menemui kami dengan membawa semua dokumen yang berkaitan sebagai bukti pemilikan.
''Mereka boleh menghubungi kami dengan mengunjungi pejabat cawangan SPNB Pulau Pinang di Tingkat 5, Wisma UMNO, Lorong Bagan Luar 2 atau menerusi telefon di talian 04-330 4679," katanya.
Selain Taman Sejahtera Indah, ujarnya, SPNB juga telah berjaya menyerahkan kunci kepada 401 keluarga mangsa tsunami di Penaga, Seberang Perai Utara yang selama ini terpaksa bersabar menunggu rumah mereka siap.
Rumah tsunami itu, tambahnya telah dibangunkan di kawasan seluas 27.44 hektar merangkumi 558 unit rumah banglo berkonsepkan Rumah Mesra Rakyat dengan keluasan 1000 kaki persegi.
''Ia terdiri daripada tiga bilik tidur dan dua bilik mandi dengan fasa pertama meliputi 461 unit rumah beserta 26 unit kedai setingkat, surau, taman permainan dan taman rekreasi," katanya.
Mohd. Amin berkata, untuk tujuan pembinaannya, sejumlah RM40 juta telah diperuntukkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan setiap rumah berharga RM45,000.
Pemilik rumah, kata beliau hanya perlu membayar RM50 sebulan untuk tempoh 25 tahun manakala bagi unit kedai pula, harganya ialah RM85,000 seunit.
''Projek ini mula dibangunkan pada November 2005 dan telah siap keseluruhannya pada Januari 2008.
''Pembangunan projek ini terpaksa dilakukan secara berperingkat disebabkan beberapa masalah termasuk setinggan yang telah menghalang kelancaran pembinaan," katanya.
Ditanya mengenai keseluruhan projek yang telah dibaik pulih oleh SPNB di Pulau Pinang, beliau memberitahu, setakat ini lapan projek perumahan terbengkalai melibatkan 3,664 unit rumah telah dibaik pulih.
Selain itu, katanya enam projek melibatkan 2,035 unit dengan kos sebanyak RM127 juta sedang dibaik pulih oleh SPNB manakala 12 buah projek terdiri daripada 1,847 unit rumah juga akan dibaik pulih tidak lama lagi.
Perkhidmatan bomba perlu baik untuk tarik pelabur - Raja Perlis
Lapor kepada Cake jika harga barang naik
Enam rekod diperbaharui
Kerja sebagai satu pasukan - MB
43 ditahan dalam Ops 6P di Tasek Gelugor, Bertam
35 anggota IPK Perak naik pangkat sarjan
Jurutera jadi penternak rusa
MBI sedia 1,204 petak bazar Ramadan
Perkukuh perpaduan majukan Kedah
Raja Muda Perlis mahu rakyat 'celik' media
Projek 'misteri' Bukit Gambir
Pasar tani wajah baharu
Tingkat mutu perkhidmatan
Karnival Kahwin-Kahwin, Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013 kembali
Pejalan kaki penyumbang ketiga tertinggi kematian
Sokongan rakan bakar semangat guru OKU
Selesa berniaga di pasar baharu
Pemandu terselamat nahas treler
Ismail Saffian dilantik CEO Yayasan Bina Upaya
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









