|
KUALA LUMPUR 25 Jun - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menafikan beliau menyimpan laporan perisikan tentera berhubung pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu seperti yang terkandung dalam perakuan bersumpah penulis Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.
Khairy yang telah memberi keterangan kepada polis malam tadi selama sejam di Putrajaya berkata, apa yang terkandung dalam akuan Raja Petra itu jelas berniat jahat terhadapnya.
''Dalam tuduhan perakuan bersumpah itu menyatakan laporan risikan tentera berhubung pembunuhan itu telah diterima saya dan itu adalah tidak benar.
''Saya juga tidak terima apa- apa laporan lain dalam kes Altantuya ini dan saya tidak simpan, tidak terima dan tidak tahu menahu langsung tentang laporan yang dikatakan," jelasnya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Ketika ditanya tentang niat jahat yang dimaksudkan, Khairy berkata, beliau tidak mengetahui motif Raja Petra.
''Tetapi perkara ini berdasarkan cakap dengar dari sumber dan dibuat secara terus untuk perakuan bersumpah membabitkan satu kes yang begitu sensitif.
''Memang tidak ada kesahihan langsung, sudah tentunya bila tidak ada kesahihan dan ini ingin memburukkan kredibiliti diri saya dalam kes tersebut. Saya anggap ini satu perbuatan yang berniat jahat," jelasnya yang kini sedang berbincang dengan peguamnya untuk tindakan lanjut.
Khairy yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menjelaskan, beliau bertindak berdiam diri sebelum ini kerana tidak mahu mendahului pihak polis.
''Apabila saya baca dalam akhbar bahawa laporan polis sudah dibuat maka saya tunggu untuk beri keterangan kepada polis.
''Sudah tentunya saya tahu akan dipanggil beri keterangan kepada polis kerana nama saya disebut dalam akuan bersumpah itu," katanya.
Ditanya sama ada akuan bersumpah itu menjejaskan kredibiliti kepimpinan negara dan diri beliau sendiri Khairy berkata;
''Saya tak rasa begitu tetapi ia telah dianggap sangat serius kerana tuduhan dan nama yang dikaitkan melibatkan nama saya.
''Dakwaan yang dibuat kepada saya sangat serius dan bagaimanapun saya percaya kebenaran akan diketahui kerana ia tidak ada asas langsung," katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|