Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BICARA AGAMA

ARKIB : 26/06/2008
Rezeki murah selepas peluk Islam

Rezeki murah selepas peluk Islam

BELIAU pernah ditangkap pegawai penguatkuasa agama kerana makan secara terang-terangan di hadapan khalayak ramai pada bulan Ramadan. Malah, semasa memulakan tugasan di Shah Alam, Selangor dahulu, kawan-kawan sekerjanya sering memberikan salam bila mereka bertembung.

Sebenarnya, dua insiden ini, kata Jeffery anak Rambu atau nama Islamnya, Muhammad Anwar Abdullah, 33, berlaku lama sebelum dia mengucapkan syahadah.

Pun begitu, kejadian ditangkap kononnya beliau tidak berpuasa, benar-benar menyirap darah muda anak jati Sri Aman, Sarawak ini. Namun, akui Anwar, kejadian tersebut rupa-rupanya mengandungi hikmah yang terungkai setelah diri bergelar Muslim.

“Saya tidak menyalahkan mereka, sungguhpun rasa seperti dimalukan. Tetapi mungkin kerana raut wajah saya yang mirip lelaki Melayu, jadi mereka ingatkan yang saya tentunya beragama Islam. Hinggakan kalau yang memberi salam, saya sekadar membalasnya dengan senyuman kerana memahami yang mereka tidak tahu,” jelasnya.

Bagi Anwar, agama Islam, bukanlah terlalu asing. Ini kerana sebelum berhijrah ke Semenanjung, dia mempunyai keluarga angkat yang beragama Islam. Pada masa itu, ibu bapanya meletakkan Anwar di bawah jagaan mereka sejak usia dua tahun hinggalah ke tingkatan lima untuk tujuan mengubati sejenis penyakit misteri yang dialami sejak kecil.

“Sayangnya, pada masa itu, mereka tidak pernah menjelaskan tentang Islam kepada saya, apa lagi untuk mengajak saya menerima agama Islam. Namun, sepanjang tinggal dengan mereka, sedikit sebanyak mendedahkan saya kepada cara hidup dan pengamalan ajaran Islam,” jelas operator kanan di syarikat automobil multinasional di Seksyen 15, Shah Alam sejak 1994 dalam pertemuan kami di rumahnya, baru-baru ini.

Anwar yang berketurunan Iban mengakui sewaktu bermastautin di Selangor, beliau mempunyai seorang abang angkat bernama Muhammad Zan. Sayangnya, dia juga tidak pernah mengajaknya menganut Islam.

“Saya rasa kalau keluarga angkat ajak saya kepada Islam, dulu lagi saya dah Muslim. Tetapi, cepat atau lambat, itu semua urusan Allah kerana Dia lebih mengetahui. Saya agak terkejut dengan reaksi awal abang angkat saya, bila disuarakan hasrat untuk memeluk Islam.

“Dia marah-marah dan tidak mahu keputusan yang saya ambil itu dibuat dengan tergesa-gesa. Kerana katanya kalau sudah Islam, tidak boleh suka-suka untuk tukar kepada agama asal atau lebih tepat Islam sekadar di nama sahaja.

“Alhamdulillah, mungkin selepas berbincang dengan isterinya yang bekerja di pejabat agama, akhirnya abang angkat merestui keputusan saya dan berjanji untuk membantu saya,” cerita Anwar yang mengucap dua kalimah syahadah pada 16 April 2002 di Pejabat Agama Islam Klang dengan ditemani keluarga angkat.

Tambah anak ketiga daripada tujuh adik-beradik ini, keluarganya mengetahui berita mengenai pengislaman beliau apabila dihubungi menerusi telefon beberapa hari selepas bergelar Muslim. Anwar bersyukur dengan sikap terbuka keluarga kerana bagi mereka, jika itulah yang difikirkan terbaik bagi diri beliau, maka mereka menerimanya sahaja.

“Mula-mula tu, terlintas juga rasa takut jika keputusan saya itu menimbulkan kemarahan keluarga. Ini kerana sebelum saya memeluk Islam, seorang pakcik saya telah lebih dahulu menerima hidayah Allah. Bezanya, dia menerima tentangan hebat ketika itu.

“Memang saya tidak nafikan bahawa selepas memeluk agama Islam, banyak perubahan positif yang berlaku. Alhamdulillah, rezeki semakin bertambah, hubungan dengan keluarga kandung semakin rapat dan paling terasa ialah ketenangan jiwa serta kehidupan ini lebih berhala tuju.

“Tambah menggembirakan beberapa bulan selepas saya bergelar Muslim, kakak kedua pula menyusul dan beberapa tahun kemudian adik lelaki turut menerima hidayah daripada Allah,” ceritanya yang mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Mawaroza Ramli dan kini dikurniakan anak lelaki, Muhammad Asraf.

Hasil perkahwinannya sebelum ini, Anwar memperoleh dua anak iaitu, Nor Aliah dan Muhammad Aiman, yang kini di bawah jagaannya.

Berkongsi kisah perkenalan beliau dengan isteri, kata Anwar, emak angkatnya yang tinggal di Sungai Besar, Selangor adalah orang yang bertanggungjawab mencarikan jodoh untuknya.

Menurut Anwar lagi, bergelar mualaf menuntutnya untuk menambah ilmu agama. Lantaran itu, pada setiap Selasa dan Rabu dia akan meluangkan masa sebelah malamnya mengikuti kelas-kelas pengajian Islam di Pejabat Agama Islam di Shah Alam di bawah Ustaz Mohd. Khanan Yadi.

Di samping itu, Anwar tidak melepaskan peluang mengikuti mana-mana penganjuran kursus pejabat agama dan terbaru, mewakili negeri Selangor mengikuti kursus persediaan sebagai pendakwah yang diadakan di Melaka.

Bagi Anwar, gesaan agar umat Islam menuntut ilmu pada hakikatnya tidak boleh dipandang remeh terutamanya bagi golongan saudara baru.

Ini kerana tanpa ilmu seseorang itu sukar untuk menjelaskan hal-hal berkaitan Islam, agar salah faham yang masih menebal di kalangan orang bukan Islam dapat dibetulkan secara berhikmah tanpa mengecilkan hati mereka ataupun tambah menakut-nakutkan mereka.

Kata Anwar, kebiasaan yang berlaku, orang bukan Islam takut dengan Islam kerana anggapan mereka, agama ini banyak sangat pantang larangannya, sekali gus menyebabkan hubungan kekeluargaan yang terjalin baik sebelum ini terpaksa diputuskan kerana berbeza agama.

“Salah faham inilah yang perlu diperjelaskan dan ini jugalah menjadi titik tolak saya untuk menyampaikan dakwah.

“Saya pernah mengislamkan seorang lelaki Iban pada 2006. Kejayaan ini sungguhpun kecil tetapi pembakar semangat untuk terus menyebarkan dakwah Islamiah,” kata Anwar yang sentiasa menjadikan pendakwah mualaf sebagai idolanya dalam urusan berkaitan penyebaran syiar Islam.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN