ARKIB : 23/06/2008
Sistem dua pam di stesen minyak sempadan
KUALA LUMPUR 22 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan melaksanakan sistem dua pam di semua stesen minyak di kawasan sempadan bagi membezakan penjualan bahan api itu kepada kenderaan tempatan dan asing.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bertujuan memastikan minyak bersubsidi hanya dijual kepada rakyat tempatan manakala rakyat asing perlu membelinya pada harga sebenar di pasaran.
''Sistem ini dilihat akan memberi dua kebaikan iaitu rakyat asing akan membeli pada harga pasaran tanpa diskaun sementara faedah kedua, rakyat Malaysia akan dapat tahu harga pasaran yang sebenar,'' katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas Penstrukturan Semula Subsidi Minyak Kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Angkasapuri di sini hari ini.
Majlis itu dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, anggota-anggota Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kementerian yang terlibat.
Sebelum ini, kerajaan pernah mengenakan langkah melarang penjualan minyak kepada kenderaan asing pada awal bulan ini namun kemudiannya ditarik balik selepas penstrukturan semula subsidi bahan bakar dilakukan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata, cadangan itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kawasan yang terlibat dengan arahan mewujudkan dua sistem pam minyak ini ialah sekitar 50 kilometer radius dari sempadan negara yang melibatkan kira-kira 500 pengusaha.
''Cadangan ini tidak mempunyai masalah untuk dilaksanakan kerana langkah ini juga sebenarnya berdasarkan maklum balas daripada para pengusaha sendiri.
''Mekanisme yang ada tentunya dengan cara membezakan nombor pendaftaran kenderaan yang jika kenderaan asing mereka harus membeli pada harga pasaran,'' jelasnya.
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









