|
![]() |
|
TIGA ahli panel (dari kiri) Ismail Ahmad, Mustapha Maarof dan Pansha pada sidang media Seminar Perfileman Malaysia 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Gambar RASHID MAHFOF |
PELBAGAI usaha serta perancangan telah dilakukan bagi mempertingkatkan lagi mutu dalam industri perfileman tempatan pada masa depan sama ada yang berbentuk jangka pendek ataupun panjang.
Antaranya, menerusi Seminar Perfileman Malaysia 08: Industri Perfileman Tanah Air - Lima Tahun Dari Sekarang anjuran Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang diselenggarakan oleh Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam).
Pada seminar yang akan diadakan pada 19 dan 20 Jun ini di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu, akan berkisar tentang perancangan dan pelan induk dalam usaha untuk mencapai matlamat dalam tempoh waktu yang telah disasarkan itu.
Presiden Gafim, Datuk Mustapha Maarof berkata, seminar itu akan membentangkan 12 kertas kerja daripada individu-individu yang terdiri daripada para penggiat perfileman tanah air, wakil-wakil kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan, ahli akademik, badan penyiaran dan institusi-institusi kewangan.
Katanya, seminar yang diadakan sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008 yang disambut pada 29 Mei lalu itu diharap dapat memperkasakan lagi tahap dan mutu dalam industri perfileman tanah air bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Kertas-kertas kerja yang akan dibentangkan itu antara lain merangkumi perkara-perkara yang menyentuh tentang penggubalan dasar, modal insan, pengiktirafan, sumber dana, pemasaran dan pengawalan pengisian sesebuah filem.
“Pada penghujung seminar itu, kami akan membuat ikrar bagi mencari arah tuju dalam industri perfileman tempatan bagi tempoh lima tahun akan datang. Semua ini demi kebaikan anak-anak seni kita,” katanya pada majlis pengumuman seminar itu di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Mustapha yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), satu resolusi dan sidang pleno juga akan diputuskan pada akhir seminar itu hasil daripada pembentangan kesemua kertas kerja tersebut.
Malah katanya, suatu pelan induk juga akan dirangka hasil daripada seminar itu dan ia akan dibawa ke depan iaitu untuk perancangan 10 tahun seterusnya.
“Antara lain seminar ini bermatlamat untuk mencari perpaduan di kalangan anak-anak seni di egara ini. Kita kini sedang mencari arah tuju dalam industri perfileman pada masa depan.
“Selepas rancangan lima tahun, kita akan cuba kembangkan matlamat dan perancangan seminar ini untuk tempoh 10 tahun yang akan datang pula. Itu adalah sasaran kita. Kami jangkakan sekitar 300 peserta akan menghadiri seminar ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mustapha menyeru agar para penggiat seni seperti penerbit, pengarah filem, penulis skrip, pelakon dan pekerja filem hadir pada seminar tersebut yang diadakan secara percuma.
Peruntukan RM8 juta Tambahnya, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia memperuntukkan RM8 juta bagi menjayakan aktiviti-aktiviti sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008 termasuklah penganjuran seminar tersebut.
Pengerusi seminar itu, Ismail Ahmad menjelaskan, antara topik utama yang akan dibentangkan ialah kepentingan akta harta intelek di negara ini dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi meneruskan kelangsungan dalam industri perfileman tempatan pada masa depan.
Katanya, isu itu yang sudah lama disuarakan sangat penting kerana ia antara lain mampu menarik lebih ramai usahawan untuk melabur dalam bidang perfileman yang turut menjana ekonomi negara.
“Sekarang ini ramai pelabur atau penerbit ragu-ragu untuk melabur dalam industri perfileman kerana tiadanya kawalan yang menjaga kepentingan mereka. Misalnya, soal akta hak cipta dan juga masalah cetak rompak.
“Kami akan jemput semua pihak yang berkaitan bagi mencari jalan penyelesaiannya,” jelas Ismail.
Ismail juga berpendapat, ada baiknya Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut diundang bagi memberikan komen serta pandangan dari aspek agama berhubung dengan dunia perfileman.
Beliau berkata, mungkin dengan adanya pembabitan individu seperti Dr. Asri yang turut terpanggil mengulas tentang filem-filem tempatan sejak akhir-akhir ini mampu mencetuskan idea-idea tertentu demi kebaikan dunia perfileman tanah air.
Dalam pada itu, Panchacharam P. Nalliah atau Pansha yang menjadi panel pada sidang akhbar itu berharap agar seminar seperti itu dapat memperlihatkan kesungguhan penerbit filem sepertinya dalam memperjuangkan hala tuju dalam industri perfileman tempatan.
Beliau menegaskan, pihak kerajaan termasuklah agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) haruslah proaktif dalam usaha untuk terus membela nasib para penggiat filem tempatan.
“Misalnya, soal nasib serta filem Melayu yang masih terus dianaktirikan oleh pihak pawagam-pawagam di negara ini. Selama ini, kami memang susah untuk mendapatkan layanan yang baik daripada pihak pawagam.
“Sebagai contohnya, sebagai penerbit kami terpaksa mengeluarkan bajet minimum sebanyak RM150,000 untuk mempromosikan sesebuah filem. Sedangkan pihak pawagam enggan bekerjasama membantu kami berkongsi belanja promosi tersebut,” ujarnya.
Alasan utama yang diberikan oleh pihak pawagam ialah selama ini mereka telah banyak mengeluarkan belanja untuk menyediakan kemudahan di pawagam.
Jelas Pansha yang juga Ahli Jawatankuasa Gafim, dalam hal ini Finas mungkin boleh campur tangan demi menjaga kepentingan para penerbit filem tempatan.
Beliau turut memberi contoh, soal pembahagian keuntungan jualan tiket yang kini lebih banyak memihak kepada pihak pawagam memerlukan pembelaan daripada pihak-pihak berwajib termasuklah Finas.
“Setakat ini pihak penerbit hanya mendapat 40 peratus daripada kutipan tiket sesebuah filem mereka yang telah ditayangkan, sedangkan 60 peratus lagi diperolehi oleh pihak pawagam.
“Mungkin isu-isu seperti itu boleh diketengahkan pada seminar tersebut,” katanya yang turut menekankan supaya suatu idea serta usaha dapat diketengahkan bagi mencari formula bagi menerbitkan sebuah filem Melayu yang mampu ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
Sebagai penerbit filem berbangsa India, sehingga kini beliau sendiri masih tercari-cari formula atau idea yang boleh diketengahkan bagi menarik perhatian penonton bukan Melayu berkunjung ke pawagam menonton filem-filem Melayu.
“Kami sedang berusaha untuk mencari sebuah formula bagaimana sebuah filem Melayu mampu ditonton oleh semua bangsa di negara ini. Perkara ini juga kalau boleh kita mahu dibawa ke tengah termasuklah pada seminar itu nanti.
“Contohnya, pengarah Othman Hafsham pernah membuktikannya menerusi filem arahannya berjudul Mekanik yang ditayangkan pada tahun 1980-an dulu di mana ia ditonton oleh pelbagai bangsa dan bukan setakat penonton Melayu sahaja,” ujarnya lagi.
Sebarang pertanyaan berhubung seminar itu sila hubungi Ismail Ahmad yang juga Setiausaha Gafim menerusi talian 012-3892556.
IKLAN@UTUSAN
|