VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Julai 2014 / 24 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 16/06/2008

G8 perlu hentikan spekulasi

Pertemuan di Osaka yang mempertemukan menteri-menteri kewangan bagi negara-negara maju Kumpulan 8 (G8) merangkumi Jepun, Rusia, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Britain, Jerman, Itali dan Perancis di Jepun turut membincangkan persoalan mengenai status kenaikan harga minyak semasa dunia sekarang.

Tindakan membincangkan soal kenaikan harga minyak dan komoditi makanan dunia dilihat memberi sedikit kelegaan kepada dunia. Dalam perekonomian antarabangsa, sebarang tindakan oleh negara anggota G8 ini akan turut mempengaruhi kitaran ekonomi semasa.

Jika positif tindakan yang bakal atau dilakukan, maka keputusannya juga akan menambahbaikkan suasana ekonomi dan pembangunan antarabangsa. Sebaliknya, jika kumpulan ini gagal, maka dunia akan terus menanggung impak daripada gugatan ekonomi global semasa.

Menurut Associated Press, anggota G8 turut melahirkan kebimbangan tentang kenaikan harga minyak semasa yang pada masa sama turut disertai kenaikan dalam harga komoditi bahan makanan global.

Ikrar menteri-menteri kewangan 'dunia kaya' tersebut untuk lebih bekerjasama secara erat bagi melahirkan inisiatif secara bersama dalam menangani permasalahan global semasa menjelang Persidangan G8 pada Julai 2008 yang juga akan diadakan di kawasan utara Jepun.

Langkah G8 membincang dan memperhalusi situasi semasa harga minyak dan 'komoditi ruji' dunia dilihat tepat bagi mengembalikan semula keyakinan sejagat terhadap kredibiliti negara-negara maju yang dianggap peneraju industri dan ekonomi sejagat.

Sekiranya negara-negara G8 yang turut disertai AS serta Rusia mampu bersama-sama melahirkan inisiatif baru dalam mengurangkan beban negara-negara membangun dan miskin yang kini dilanda polemik dan dilema kenaikan kos kehidupan semasa sehingga dijangkakan lebih 1 bilion penduduk akan terlibat dalam kebuluran akibat ketidakcukupan capaian mendapatkan bahan makanan perlu segera diperhalusi G8 dan hal ini diselesaikan secepat mungkin.

Kesedaran menteri-menteri kewangan G8 mengenai kesan kenaikan harga komoditi global termasuk minyak yang perlu diperbincangkan secara serius oleh ketua-ketua kerajaan 'dunia maju' dilihat berasaskan kepada dimensi bahawa dengan peningkatan dan ketidaktentuan pasaran komoditi.

Maka minyak dan makanan ini akan mampu merebakkan ketidakstabilan pembangunan secara sejagat. Ini akan pastinya menambahkan jurang yang sedia wujud di antara negara 'Utara' dan 'Selatan'.

Polemik yang berlaku kini memperlihatkan juga bahawa ada antara negara dalam kumpulan G8 memahami serta melihat bahawa berkemungkinan kegiatan spekulasi pasaran komoditi menjadi sebahagian sebab kepada gugatan yang dialami dunia masa kini.

Namun, persepsi dangkal Setiausaha Perbendaharaan AS, Henry Paulson yang menyatakan bahawa masalah peningkatan harga minyak dan makanan sejagat masa kini yang dinyatakan tidak disebabkan oleh kegiatan spekulasi dilihat sebagai sesuatu yang 'mencurigakan'.

Ini kerana, masakan tanpa spekulasi di pasaran, maka harga sesuatu komoditi di pasaran niaga hadapan termasuk minyak dan beberapa komoditi makanan sejagat mampu naik secara mendadak dan memuncakkan masalah pembekalan komoditi terbabit di pasaran dunia.

KetidakstabilanLihat sahaja krisis kewangan 1997 yang menimpa negara-negara Asia, dengan menggunakan mata wang selaku instrumen spekulasi, ia telah menyebabkan ketidakstabilan bukan sahaja dalam pembangunan dan ekonomi semasa, namun ia menyebabkan beberapa kerajaan di Asia yang sebelum ini stabil berjaya ditumbangkan atas asas kegagalan menyelamatkan ekonomi negara daripada 'ditelan' kegawatan akibat spekulasi di pasaran mata wang antarabangsa.

Kini, tidak mustahil komoditi seperti minyak dan makanan mampu dijadikan sebagai instrumen spekulasi oleh mana-mana pihak berkepentingan bagi menggugat negara-negara yang sedang meningkat kemajuannya untuk menandingi kedudukan 'dunia maju' semasa.

Gesaan Britain menerusi Alistair Darling dalam sidang berkenaan yang meminta agar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk melakukan penganalisisan berkenaan faktor kewangan yakni kegiatan spekulasi dalam pasaran komoditi semasa adalah wajar bagi melihat sama ada peningkatan mendadak harga minyak dan komoditi ini berkait dengan kegiatan spekulasi yang turut memberi kesan kepada ekonomi global.

Kebimbangan kenaikan harga minyak mentah semasa dunia juga memperlihatkan gesaan menteri kewangan G8 yang baru sahaja menamatkan sidang mereka di Osaka telah meminta agar negara-negara pengeluar dan pengeksport minyak mempertingkatkan pengeluaran mereka bagi dijadikan mekanisme pengawalan harga agar ia tidak terus meningkat sehingga mencecah AS$200 setong seperti yang diramalkan penganalisis.

Susulan itu, tindakan Arab Saudi mengumumkan rancangan meningkatkan pengeluaran tambahan sebanyak 500,000 tong sehari bermula minggu ini pasti sedikit memberikan harapan agar harga minyak mampu terkawal buat masa sekarang.

Anggaran semasa, Arab Saudi mengeluarkan sebanyak 10.5 hingga 11 juta tong sehari, dan pada 2005, Kementerian Minyak Arab Saudi telah merangka tindakan bernilai AS$18 bilion bagi aktiviti menambahkan kapasiti pengeluaran sebanyak 12 juta tong sehari menjelang 2009.

Tindakan menambahkan pengeluaran minyak diharapkan dapat mengekang kegiatan tidak bermoral di pasaran niaga hadapan minyak hingga menunjukkan seolah-olah spekulasi atau khabar angin serta kegiatan spekulator itu lebih 'berkuasa' menentukan pasaran minyak dunia berbanding 'kuasa' yang dipunyai oleh asas penawaran dan permintaan.

Jika kegiatan spekulasi pasaran tidak diatasi, maka dikhuatiri peningkatan harga akan terus meningkat mendadak walau negara-negara pengeksport minyak telah menyatakan komitmen dan kesediaan untuk menambahkan pengeluaran.

Pernyataan Setiausaha Perbendaharaan AS, Paulson yang mahukan dunia menerima pakai sistem pasaran terbuka dan memperluaskan sistem ekonomi liberal dalam hal berkaitan harga minyak semasa yang semakin meninggi dilihat sebagai satu pernyataan bermotif tertentu.

Masakan dalam hal kebajikan rakyat, negara-negara tidak dibenarkan memberikan subsidi, dan jika diberi, maka ia dianggap kolot dan berlawanan dengan hak kebebasan pasaran. Apakah negara perlu menerima pakai sistem ekonomi yang pastinya tidak berkebajikan rakyat walaupun rakyat memerlukannya?

Inilah persoalan polemik ekonomi bebas dan usaha kerajaan di beberapa negara dunia, terutamanya di negara membangun, yang melihat bahawa subsidi adalah perlu bagi membantu ekonomi rakyat.

Negara kuasa ekonomi baru seperti China dan India juga memberikan subsidi, Indonesia dan Malaysia juga melakukan hal yang sama.

Jika negara maju menyatakan tanpa subsidi maka ia akan menjadikan ekonomi lebih kompetitif, maka itu adalah berasaskan kepada pasaran dalam negara mereka sendiri, dan tidak bagi negara membangun yang sedang berusaha bangun setelah ratusan tahun terjajah.

Lihat sahaja kepada tindakan beberapa negara yang meningkat harga minyak semasa bagi mengurangkan bebanan penambahan kadar subsidi, rakyat mengeluh dan ada yang lebih parah melakukan rusuhan disebabkan oleh kenaikan susulan dalam kos sara hidup yang dilihat meninggi. Inilah bahana percaturan liberalisasi pasaran yang dicanangkan oleh Barat sehingga membahayakan dunia membangun.

Walaupun negara-negara yang memberikan subsidi minyak dan makanan kepada rakyat seperti yang dilakukan India, Indonesia dan Malaysia sedar bahawa dalam peningkatan harga yang mendadak di pasaran antarabangsa kini, keupayaan kewangan yang terhad akan membataskan nilai subsidi yang mampu ditanggung.

Namun, sekurang-kurangnya negara-negara tersebut masih mempunyai moral kebajikan untuk tujuan melindungi rakyatnya daripada diancam secara langsung akibat penipisan 'ozon' dalam pasaran minyak antarabangsa ini.

G8 terutamanya AS perlu memahami bahawa setiap pasaran negara-negara di dunia adalah berbeza, jika AS cukup kaya, maka mereka wajar menghulurkan alternatif bagi meringankan bebanan sosial kerajaan di dunia membangun.

Diskaun harga minyak umpamanya mungkin boleh disalurkan AS dan juga negara maju lainnya sebagai 'obligasi sosial antarabangsa' mereka yang telah sekian lama mengeksploitasi pasaran negara membangun selama ini. Kini, dunia tidak seharusnya membiarkan kegiatan spekulasi merosakkan kedaulatan negara.

Rakyat harus memahami impak kenaikan harga minyak dunia kepada kepentingan nasional dan kedaulatan kita. Jika alpa, maka negara akan binasa dan terjerumus ke kancah anarki yang membawa konotasi penjajahan bentuk baru oleh negara-negara yang lebih maju dan kaya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.