|
DEWASA ini banyak berlaku tuntutan sama ada dalam bentuk demonstrasi jalanan atau penulisan yang menuntut kepada kebebasan bersuara dan hak asasi. Pelbagai isu termasuklah isu kenaikan harga minyak dan bahan makanan boleh digunakan oleh pihak-pihak tertentu dalam memanipulasikan rakyat atas nama demokrasi, menuntut kebebasan dan hak asasi semata-mata untuk kepentingan pihak-pihak ini.
Pengalaman berinteraksi dengan beberapa rakan dari Indonesia membuatkan penulis terfikir mengenai kesan menuntut kebebasan bersuara dan hak asasi di negara ini yang jika disalah gunakan boleh sahaja meruntuhkan negara-bangsa.
Beberapa idea yang dilontarkan rakan-rakan dari Indonesia tersebut mungkin boleh difikirkan terutama sekali dalam keghairahan rakyat negara ini menuntut kebebasan bersuara dan hak asasi.
Mungkin berdasarkan pengalaman di Indonesia, antara yang disuarakan oleh mereka ialah demokrasi dan kebebasan bersuara yang tidak disertai dengan pemikiran rasional dan jati diri rakyatnya yang kuat hanya menyumbangkan kepada keruntuhan sesebuah negara.
Rakyat sesebuah negara yang masih lagi belum begitu matang dari segi pemikiran dan emosinya hanya akan menggunakan sentimen apabila membicarakan mengenai demokrasi, kebebasan bersuara dan menuntut hak asasi yang merupakan antara cara Barat untuk menundukkan negara Islam.
Kebebasan bersuara juga boleh diguna dan dimanipulasikan oleh individu dan pihak-pihak yang berkepentingan dan pandai memainkan emosi rakyat untuk mendapatkan apa yang diingini termasuklah untuk kepentingan politiknya. Pendek kata 'kebebasan bersuara' tidak boleh digunakan sehingga mengizinkan golongan yang bersifat cauvinis dan pelampau mengambil kesempatan meniupkan api perkauman, fitnah dan hasutan dan untuk kepentingan politik mereka.
Rakyat yang beremosi sering kali menyalahgunakan kebebasan bersuara atau mana-mana hak asasi sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketegangan dalam masyarakat. Ini sudah tentu boleh membawa kepada kehancuran negara-bangsa.
Kebebasan bersuara atas nama hak asasi juga amat wajar digunakan dengan sebaik-baiknya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Kebebasan bersuara sama ada yang dilahirkan dalam bentuk pengucapan dan penglahiran buah fikiran melalui media cetak atau elektronik haruslah mengelakkan daripada menyentuh isu-isu sensitif atau perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan dalam negara.
Kebebasan bersuara juga mempunyai tanggungjawab akhlak dan moral di mana ia mestilah tidak merosakkan akhlak dan moral rakyat, misalnya menulis dan menerbitkan buku-buku, majalah-majalah atau apa-apa kaedah penerbitan yang berunsur lucah.
Rakyat perlu menyedari bahawa ruang kebebasan bersuara yang diberikan bukanlah 'lesen' untuk memperkatakan sesuatu tanpa tanggungjawab di sisi undang-undang. Ini kerana negara sentiasa melihat dan memastikan hak asasi dilaksanakan dengan berpegang kepada konsep 'hak berserta tanggungjawab.' Jadi apabila kita bercakap tentang hak maka tanggungjawab itu sendiri adalah hak yang perlu dilaksanakan.
Seperti yang diketahui, Malaysia adalah sebuah negara yang mengandungi rakyat berbagai kaum. Dalam memelihara kedamaian dan keamanan serta kedaulatan negara berbagai kaum ini, rakyat mestilah lebih berhati-hati dalam membincangkan isu-isu yang boleh memarakkan api perkauman seperti soal-soal agama, bahasa, pendidikan, budaya, ekonomi dan elakkan perkara- perkara yang berunsur subversif, menghasut dan memfitnah yang boleh mencetuskan kekacauan dalam masyarakat dan negara.
Kepentingan negara harus diutamakan agar perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian yang sudah lama wujud tidak diroboh dan dihancurkan. Semangat mengekalkan perpaduan antara kaum harus disemai dan diperkukuhkan lagi.
Akhir kata, rakan-rakan profesor dari Indonesia tersebut menjelaskan bahawa rakyat akan menyesal satu hari nanti jika demokrasi, menuntut kebebasan bersuara dan hak asasi yang tidak disertai dengan rakyatnya yang berfikiran rasional dan benar-benar tahu menggunakan kebebasan yang diberikan itu.
IKLAN@UTUSAN
|