Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SASTERA

ARKIB : 16/06/2008
Gempuran penulis wanita di HSKU 2007

Gempuran penulis wanita di HSKU 2007


KHAIRUNNASRIAH ABDUL SALAM


Sastera Malaysia. Ia tumbuh dalam persekitaran masyarakat yang mencintai damai, keharmonian dan rasa integrasi yang menebal. Sastera dibangunkan menjadi sebuah tujuan yang tidak lain merupakan ruang katarsis diri manusianya.

Oleh itu, sastera menyediakan ruang yang sangat besar untuk mewujudkan wacana tentang apa jua aspek. Boleh sahaja tentang kemanusiaan, gender, ekonomi, politik dan sebagainya.

Begitu dengan para penulisnya. Sesiapa sahaja boleh berkarya, sama ada lelaki dan wanita. Dalam konteks Malaysia peranan kedua-dua golongan ini sangat ketara.

Ghairah penulis wanita dalam berkarya di negara ini adalah fakta yang tidak boleh diketepikan. Di satu sisi, hal ini dapat diertikan sebagai upaya perjuangan sastera wanita yang selama ini didominasi oleh penulis-penulis lelaki.

Pada awal kemunculan kesusasteraan di negara ini, pengarang-pengarang wanita terlalu sedikit. Ia antara lain disebabkan oleh faktor budaya dan adat resam yang tidak terlalu memberi peluang kepada golongan wanita untuk menikmati pendidikan tinggi.

Hari ini, keadaan tersebut sama sekali berbeza. Penulis wanita menjadi sebahagian daripada khazanah kesusasteraan tanah air. Malah, dalam beberapa aspek ia lebih dominan berbanding penulis lelaki.

Dalam erti kata lain, penulis-penulis wanita berjaya membuka tirai baru dalam kepengarangan. Ada tema-tema yang lebih rencam, segar dan sering mewakili isu yang berkaitan dengan golongan mereka secara tuntas.

Pada 20 Jun ini akan berlangsung majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007 (HSKU 2007)- sebuah program pembangunan kesusasteraan yang mendapat kerjasama ExxonMobbil.

Di sebalik sebalik prestij HSKU 2007, sebenarnya ada sisi lain yang cukup menarik iaitu kelahiran penulis-penulis wanita yang hingga kini terus mewarnai pesada sastera tanah air.

HSKU 2007 sekali lagi membuktikan kemampuan penulis-penulis wanita, sejajar dengan hasrat Kumpulan Utusan untuk meningkatkan kelahiran pengarang daripada golongan itu.

Beberapa pengarang wanita menguasai kategori-kategori utama. Misalnya kategori Novel Remaja, ketiga-tiga pemenangnya adalah penulis wanita iaitu Sri Rahayu Mohd. Yusop (Warisnya Kalbu) yang berjaya meraih tempat pertama dan akan membawa pulang RM7,000.

Tempat kedua dimenangi oleh Nisah Haron (Tawarikh Cinta) dengan hadiah wang tunai RM4,500 manakala Ummu Hani Abu Hassan (Baromkeh: Matamu di Mataku) akan menerima RM3,000.

Begitu juga kategori Cerpen Remaja yang yang masing-masing menawarkan RM2,500. Dua daripada tiga pemenang utama adalah penulis wanita.

Kategori tersebut menampilkan Khairunnasriah Abdul Salam (Banglo Kolonial di Lot 152) yang pernah meraih kategori yang sama pada HSKU 2006 dan Ghafirah Idris (Rumah Nurul Imam).

Seorang lagi pemenang bagi kategori tersebut ialah Saifulizan Yahya (Cerita Sagita dan Sagupa) manakala enam pemenang hadiah penghargaan yang masing-masing berjumlah RM800 ialah Dr. Ilias @ Illias Zaidi (Dunia di Pergelangan Tanganku), Siti Aminah Mat (Kalendar Baru Abang) dan Salina Ibrahim (Mamaku Menteri).

Tiga lagi penerima hadiah penghargaan ialah Khairunnasriah Abdul Salam (Selamat Kembali Nurul Merdeka), Dr. Lim Swee Tin (Tiga Catatan di Tiga Perhentian) dan Khairun Hafiz Abdul Rahman (Wira Mandala Hijau).

Faizati Mohd. Ali yang melahirkan cerpen Warna turut menduduki salah satu daripada tiga hadiah utama kategori Cerpen yang masing-masing menawarkan RM3,000.

Dua lagi pemenang kategori ini ialah Zainal Palit (Dari Suatu Tikungan Lorong) dan Syed Mohd. Zakir Syed Othman (Moluska) manakala lapan hadiah penghargaan yang menawarkan RM800 masing-masing dimenangi oleh Muhammad Lutfi Ishak (Cerita Sebuah Lembah) dan Mohamed Ghozali Abdul Rashid (Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir).

Empat lagi penerima hadiah penghargaan ialah Khairul Hafiz Abdul Rahman (Jihad Sang Hamba), Zaharah Nawawi (Laut Tetap Bergelora), Azizi Abdullah (Nilai Cinta Kita) dan Ummu Hani Abu Hassan (Putik Qunaitara).

Sementara itu, tiga hadiah utama kategori puisi yang masing-masing menawarkan RM1,000 memperlihatkan penguasaan penulis lelaki iaitu Zainal Palit (Denyut Murba), Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Menggeledah Nurani) dan Muhamad Ikram Abdullah (Suriku, di Sejadah Ini Kita Sujud).

Enam hadiah penghargaan masing-masing bernilai RM500 pula di menangi oleh Wahyu Budiwa Rendra A. Wahid (Bumi Tersohor Kerana Kau Tanah Selatan), Shamsudin Othman (Doa Maal Hijrah di Kaki Maghrib), Zainal Palit (Ingatan Kepada Kawan xx) Zainal Abidin Suhaili (Lidah Anakku Berbelang-belang), Roslizan Yaakob (Luka Pujangga Bangsa) dan Siti Raihani Mohamed Said (Sajak Anum Kepada Jebat).

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani bakal menerima RM1,000 bagi Kategori Rencana Sastera menerusi tulisannya, Ke Mana Hala Tuju Sastera Melayu yang disiarkan dalam majalah Pemikir, Oktober - Disember 2007.

Novel Remaja Bahasa Inggeris juga memperlihatkan penulis wanita menduduki tempat kedua dan ketiga iaitu Teoh Choon Ean (Magic Eyes) serta Sharifah Baharuddin (Dahlia) yang masing-masing bakal menerima RM4,500 dan RM3,000.

Tempat pertama kategori ini dimenangi oleh Seliong ak Wau (Peace Child). Beliau meraih RM7,000.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN