BICARA AGAMA

ARKIB : 15/06/2008
Marilah kita bertaubat

Marilah kita bertaubat

SOALAN: Apakah sepatutnya dilakukan oleh setiap orang dalam keadaan kenaikan harga barang. Ia bermula dengan kenaikan minyak, bahan makanan, harga tambang pengangkutan dan berbagai-bagai lagi. Saya tidak boleh menggambarkan bagaimana kehidupan mereka yang tidak berpendapatan tetap, apatah lagi yang tiada pekerjaan.

– Sharul Shamsi, Kuala Lumpur.

Jawapan: Setiap daripada diri kita rakyat Malaysia khususnya, malah seluruh penduduk dunia merasakan perkara ini. Di beberapa buah negara keadaannya lebih teruk daripada apa yang kita alami, contohnya di negara-negara Afrika. Sudah ada di negara kita, orang yang ‘ikat perut’, cukup berhati-hati membawa kenderaan kerana kelajuan yang lebih akan meningkatkan penggunaan petrol.

Saya melihat ada orang mencari beras yang murah untuk diberi makan kepada anak-isteri. Banyak orang sudah tidak lagi membeli pakaian baru kerana menjaga ekonomi keluarga. Malah para peniaga juga banyak bersungut kerana jualan tidak laris seperti dulu.

Pendek kata, semua orang merasai dan terlibat, khususnya golongan pertengahan dan rendah. Pada hemat saya hanya dua golongan yang tidak merasai apa-apa, iaitu mereka yang terlalu kaya yang nilai kekayaan mereka boleh dinikmati oleh beberapa generasi lagi. Satu lagi golongan yang memang tidak akan ada apa- apa, mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka ini ibarat orang yang sakit tenat, memang sakit itu sudah lazim dan mereka tidak pernah sihat. Mereka sudah lali dengan rasa sakit.

Persoalan yang anda tanya, apakah yang patut kita buat. Jawapan ringkas saya, kita semua kenalah bertaubat. Bukan bertaubat dalam bentuk yang biasa difahami, tetapi satu bentuk taubat menyeluruh secara nasuha. Taubat negara dan taubat kebangsaan.

Masih banyak orang atau institusi yang menjalankan kerja tidak berfaedah atau haram seperti berurusan secara riba, yang terang-terang dinyatakan Allah sebagai terlarang. Riba sama seperti judi dan rasuah adalah salah satu faktor yang membuat keadaan kacau bagi ekonomi individu mahu pun negara. Malah kezaliman adalah punca musibah ini kepada dunia. Bukankah peperangan yang menyebabkan harga petrol meningkat?

Ada pula institusi atau agensi yang menyebarkan pemikiran yang merosakkan. Malah ada mereka yang tidak mendapat hak-hak mereka. Ada pula mereka yang mendapatkan sesuatu secara yang bukan haknya.

Apa yang saya maksudkan ini bermula daripada polisi yang merugikan kepada orang ramai dengan menukar polisi yang menggembirakan rakyat jelata. Keamanan rakyat tidak harus diperjudikan, ia mesti yang lebih terjamin. Malah masing-masing pihak dalam negara (pembangkang dan kerajaan) seharusnya membuang kepentingan diri kepada menjaga kepentingan orang ramai.

Polisi dan tindakan

Di tangan pemimpin-kerajaan dan pembangkang – dari semua peringkat seharusnya mengutamakan polisi dan tindakan yang lebih bersandar kepada agama, adat resam masyarakat dan persekitaran yang baik. Rakyat sudah muak dan mual dengan permainan politik yang tidak berpenghujungan ini.

Siapa di antara kita yang berani mengatakan mereka bersih daripada dosa? Kalau nabi Muhammad SAW bertaubat dan beristighfar 100 kali sehari, berapa kali sehari istighfar kita?

Islam mengajar kita supaya melakukan semua kerja secara “ihsan – cemerlang”. Berapa orang atau berapa peratus daripada kita yang sebenarnya cemerlang, bukan cemerlang zahir sahaja, tetapi cukup cemerlang batinnya?

Rasulullah mengajar kita bersederhana dalam semua tindak tanduk. Maka siapa di antara kita yang paling bersederhana; makan minum, pakaian, rumah tangga, dan sebagainya? Ramai di antara kita yang lebih suka menunjuk-nunjuk. Bak kata “biar papa asalkan bergaya”.

Selama ini selalu kita sebutkan, Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik untuk diteladani. Bukankah Rasulullah SAW mengajar kita supaya jangan boros, membazir, sebaliknya pemurah, tidak kedekut, amalkan puasa sunat setiap Isnin dan Khamis, malah banyak perkara yang kita semua sudah tahu.

Satu larangan Tuhan yang kita abaikan juga apabila Allah menyuruh kita melaksanakan syariat dalam urusan pentadbiran. Inilah punca segala kesalahan yang timbul. Daripada isu rasuah, merasa diri lebih baik dan lebih layak untuk memimpin, perebutan kuasa, ...yang kesemuanya itu kita tahu bercanggah dengan syariat Islam. Sebaliknya Islam menyerukan kita berlaku adil kepada diri mahu pun musuh. Mengutamakan orang lain, malah sanggup bersikap adil.

Melaksanakan apa sahaja urusan dan hukum yang bercanggah dengan syariat ia adalah satu pengkhianatan daripada segi agama. Bertaubatlah kita daripada menjadi pengkhianat yang diseru Tuhan “Jangan lah kamu mengkhianati Allah, mengkhianati Rasul dan mengkhianati amanah kamu...”.

Jika mahu diulas satu persatu tentang pembaziran, pemborosan malah kezaliman setiap kita amat banyak. Kita dan Allah lebih mengetahui segala-galanya. Justeru itu segala musibah adalah masa terbaik untuk manusia berfikir dan insaf serta mengambil iktibar.

Bagi kerajaan dan negara yang bertaubat adalah pemerintahan yang menyediakan segala kemudahan asasi kepada rakyat. Membazirkan wang secara berlebihan untuk tujuan seni dan hiburan yang bersifat mewah, dalam waktu ada rakyat yang sukar mendapat makanan perlu, adalah satu kezaliman namanya.

Oleh itu al-Quran mengingatkan kita semua “Bertaubatlah kamu semua kepada Allah wahai mereka yang beriman semoga kamu akan mencapai kejayaan”.

Satu lagi peringatan, taubat bukan sekadar taubat syirik kepada iman sahaja, tetapi taubat daripada melakukan dosa kecil dan daripada melakukan bidaah. Taubat daripada kelalaian dan kealpaan, daripada keadaan kurang baik menuju kepada yang lebih baik.

Justeru itu nabi sekali lagi disebut, orang yang paling banyak bertaubat. Kita menganjurkan mereka yang merasakan diri sebagai pemimipin, pada semua peringkat bertaubatlah kerana akan dipersoalkan pada hari kiamat. Pada hari itu yang ada hanyalah penyesalan bagi yang tidak mampu tetapi masih juga berebut untuk memimpin.

Para bapa dan suami akan dipertanyakan satu-satu, jika anak atau isteri mereka terjebak dalam perkara mungkar dan dosa. Majikan pun akan disoal atas diskriminasi terhadap anak buah mereka.

Para pemikir, penulis akan disoal jika pemikiran yang mereka sebarkan itu merosakkan kehidupan orang ramai. Taubat mereka bukan sekadar beristighfar, tetapi kembali menulis dan memikirkan secara betul sebagai satu amanah Allah. Para bloger yang menyuntik racun harus menukar kepada blog yang menjadi penawar kepada orang ramai.

Jika pencemaran alam nampak pada asap dan debu, pencemaran pemikiran dan idea terakam dalam buku, majalah, akhbar dan blog. Insaflah bagi mereka yang ingin insaf. Jika tidak, mungkin musibah lebih teruk akan berlaku kerana musibah fizikal ini ada kaitan dengan maksiat yang kita semua lakukan.

Jika tidak ingin bertaubat, terimalah nanti harga minyak yang akan lebih mahal, bahan makanan yang lebih sukar, banjir besar dan gunung berapi, malah gempa bumi yang lebih dahsyat dan mungkin juga akan tiba masa orang terpaksa berebut makanan seperti berlaku di Afrika oleh kejahatan kita sendiri.

Masih banyak dosa dalam bentuk dosa kebangsaaan dan negara kita lakukan. Dosa institusi dan organisasi. Malah banyak lagi dosa-dosa individu yang perlu kita semua bertaubat. Wallahualam.

IKLAN@UTUSAN
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:15
Asar 4:19
Maghrib 7:18
Isyak 8:28
 
IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
Utusan Online on Facebook