|
KOTA BHARU 13 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menegaskan, beliau dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah sepakat menentukan masa yang terbaik bagi peralihan kuasa.
“Saya dan Najib telah muafakat dan kita berdua telah sama-sama setuju bilakah masanya saya nak bersara dan bilakah masanya Najib akan ambil alih dan menjadi Perdana Menteri.
“Tiada masalah antara kami berdua, jadi tidak payahlah sesiapa pun nak timbulkan perkara ini kerana antara yang hendak menyerah dan menerima sudah ada persetujuan,” kata Abdullah ketika berucap pada majlis makan tengah hari di sini bersama pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan.
Hadir sama pada majlis itu ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.
Ini merupakan lawatan pertama Abdullah ke negeri ini selepas pilihan raya umum lalu untuk memberikan penjelasan kepada pemimpin dan rakyat mengenai senario politik semasa.
Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan bahawa Najib akan tetap menjadi Perdana Menteri bila tiba masanya nanti.
Isu peralihan kuasa itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya berikutan masih ada pihak yang sangsi terhadap hubungan antara beliau dan timbalannya.
Ia juga ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang dipengerusikan Abdullah pagi ini.
Mesyuarat tersebut berlangsung selama kira-kira dua jam yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Abdulah menegaskan, semua pihak tidak wajar membuat spekulasi mengenai hubungan baiknya dengan Najib kerana ia tidak memberi sebarang faedah.
“Yang penting semua pihak perlu melihat hubungan kami berdua adalah untuk menguatkan parti dan kerajaan serta program pembangunan yang telah dirancang selama ini,’’ ujar beliau.
Kelmarin, dalam satu syarahan umum di London, Najib percaya peralihan kuasa dalam UMNO dan kerajaan perlu dilakukan menerusi tradisi konvensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau amat menghargai sokongan dan mandat yang diberikan oleh rakyat kepadanya untuk terus memimpin parti dan negara.
“Saya amat menghargai sokongan terhadap saya. Kalau diberi sokongan kuat dan padu seperti ini, saya akan terus bekerja dengan lebih kuat untuk parti dan kerajaan,” katanya.
Abdullah memberitahu, walaupun sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini merosot tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bekerja lebih keras.
Beliau meminta ahli-ahli dan pemimpin UMNO menguatkan semangat mereka.
“Sebagai pejuang, jangan kita patah semangat demi untuk agama dan bangsa kita. Istilah kecewa sepatutnya tidak ada dalam kamus pejuang.
“Pantang undur sebelum menyerah dan pejuang perlu berjuang. Kalau patah hati, tidak payah berjuang, biarlah tunggu mati sahaja,” katanya.
Perdana Menteri menambah, kerajaan yang memerintah sekarang perlu memikirkan sokongan majoriti rakyat yang menyokong BN.
“Majoriti rakyat mahukan kita terus berjuang. Dalam pilihan raya umum lalu kita tidak lemah dan kalah, cuma sokongan sedikit merosot,” katanya.
Abdullah berkata, adalah perkara lumrah bagi sesebuah kerajaan menghadapi masalah pasang surut sokongan dan masa ke masa.
Beliau yakin UMNO akan pulih dan kuat kembali bagi memimpin negara dengan syarat semua pihak, termasuk pemimpin atasan dan pemimpin akar umbi parti itu, memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan.
“Saya tahu selepas jatuhnya beberapa negeri (pada pilihan raya 8 Mac lalu) timbul suasana sedih, marah dan kecewa terhadap tahap kekuatan parti.
“Keadaan menjadi agak kelam-kabut seolah-olah macam kita kalah walaupun sebenarnya kita menang,” katanya.
Sementara itu, pada majlis Makan Malam Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat di sini, Abdullah melahirkan kenyataan yang senada dengan Najib yang sesekali tidak akan merosak dan menghancurkan UMNO dalam apa keadaan sekalipun.
“Saya sama seperti Najib yang ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein telah bersama-sama menubuhkan parti, saya pun sama apabila ayah dan datuk telah berjuang menubuhkan parti ini di sebelah Utara.
‘‘UMNO akan kembali bangkit semula dengan pencapaian lebih cemerlang,” katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|