ARKIB : 10/06/2008
Dulu pengurus bank, kini pengusaha perabot jati
![]() |
|
Augustina menunjukkan almari comel yang boleh dijadikan sebagai perhiasan. |
Beliau lantas mengambil keputusan nekad meletakkan jawatan walaupun ramai teman yang memintanya untuk memikirkan semula keputusannya itu.
''Sayang tu memanglah sayang tapi saya dah tak boleh berundur lagi. Saya tak boleh lagi berhadapan dengan tugas yang sama setiap hari," kata Augustina Mohd. Noor ketika ditemui di kedainya, Ilham Jati Jepara di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Augustina, pada awalnya beliau tidak mempunyai sebarang rancangan mengenai apa yang akan dilakukan setelah berhenti kerja. Bagaimanapun setelah dipelawa oleh adik ipar agar berkongsi perniagaan perabot jati yang telah dimulakan, beliau terus bersetuju.
Fikirnya elok juga kerana ini merupakan sesuatu yang amat berbeza dengan kerjayanya dahulu, malah beliau boleh menggunakan kebolehannya dalam bidang perbankan ke arah perniagaan yang baru diceburinya itu.
Memandangkan pada ketika itu, iaitu kira-kira enam tahun lalu, kedai jati masih belum banyak lagi dan beliau pula mempunyai sedikit wang simpanan, beliau menerima pelawaan tersebut dan sejak itu episod sebagai seorang usahawan pun bermula.
Menurut Augustina, walaupun terdapat saingan namun beliau menganggap setiap saingan sebagai pendorong kepadanya untuk memberikan perkhidmatan dan barangan yang berkualiti kepada pelanggan agar mereka akan datang lagi ke kedainya.
Bagi melengkapkan dirinya dengan pengetahuan mengenai kayu jati agar dapat menjawab segala pertanyaan dan kemusykilan pelanggan, beliau banyak mendapatkan maklumat sama ada daripada buku, majalah dan Internet.
Katanya, perabot jatinya yang dibawa masuk dari Jogjakarta, Jepara dan Bali dibuat daripada kayu jati berkualiti dan ditebang daripada kayu yang telah berusia di antara 15 hingga 20 tahun.
''Sebenarnya lagi lama usia kayu jati, lagi bagus. Keistimewaan kayu jati ini ialah ia sejenis kayu yang tahan lama, tidak dimakan bubuk atau anai-anai dan 'evergreen'.
''Walaupun rekaannya hampir sama sahaja sama ada yang telah berusia 30 atau 100 tahun namun masih mendapat tempat di hati pelanggan,'' jelas beliau.
Sungguhpun demikian kata Augustina, jika pelanggan mahukan rekaan mereka sendiri, mereka boleh memberikan gambar barangan yang dikehendaki berserta ukuran, bajet dan sebagainya kepadanya.
Jelas beliau, perabot jati yang mempunyai rekaan kerawang masih menjadi pilihan pelanggan Melayu, sementara pelanggan bangsa asing lebih sukakan yang ringkas.
Ukiran yang berilhamkan daripada alam sekeliling seperti bunga mawar, tanjung, bunga padi, bunga-bunga tropika, daun pisang dan ketupat menjadi ilham kepada tukang-tukang perabot di Indonesia.
Perabot jati Bali berbeza dengan perabot Jepara tulen kerana perabot Bali menggunakan kemasan lebih daripada satu warna, manakala perabot Jepara lebih tertumpu pada tona kemasan yang cerah ataupun gelap.
Augustina akan menerangkan dengan jujur mengenai gred-gred kayu yang dijadikan perabot di kedainya dan bagaimana hendak memilih kayu yang terbaik.
Katanya, kayu jati terkenal sebagai kayu yang padu dan berat. Terdapat lubang-lubang kecil atau permukaan yang tidak rata pada kayu jati. Jika perabot tersebut nampak licin, rata dan sempurna maka ia bukan kayu jati.
''Kayu jati juga ada gred, iaitu A, B dan C. Kayu gred A merupakan kayu yang tidak bersambung dan dipotong daripada balak besar yang berusia 20 tahun. Kayu jenis ini memang mahal, berkualiti tinggi dan biasanya dieksport ke Arab Saudi dan Eropah.
''Sementara kayu gred B dan C banyak dijadikan perabot dan dijual di negara kita. Kayu jenis ini murah dan mampu dimiliki,'' kata Augustina yang pergi sendiri ke Jepara tiga kali setahun bagi membeli perabot untuk kedainya.
Beliau berkata, jika hendak membeli perabot jati, jangan beli jika kayunya bersambung. Lihat juga kemasan di luar dan dalam, jika disembur dengan barnis di luar dan dalam bermakna perabot itu dibuat dengan teliti dan kemas.
Bagi yang telah pun mempunyai perabot jati, sapu dengan minyak kayu murni sebulan sekali agar kekal berkilat dan cantik. Sekali sekala boleh dilap dengan kain basah.
Jelas beliau, ramai yang tidak memahami mengenai perabot jati untuk di dalam dan luar rumah. Ada yang meletakkan kerusi jati untuk di dalam rumah di luar.
''Sebenarnya kerusi untuk di dalam dan di luar adalah berbeza. Walaupun kayu jati sememangnya boleh tahan panas dan hujan, namun yang membezakan kedudukannya di luar dan dalam ialah sambungan pada kayu yang dibubuh gam. Jika sambungan ini sering terdedah pada panas hujan, ia boleh merekah dan akhirnya pecah
''Jika hendak membeli perabot atau kerusi untuk diletakkan di luar, pilih yang mempunyai selak atau pasak kerana ia tahan hujan dan panas,'' jelas Augustina yang mempunyai dua buah cawangan kedai perabot jati di Sungai Merab, Kajang, Selangor.
Tiga bulan sekali beliau akan membawa masuk perabot baru dan sebelum kontena yang baru tiba, beliau akan membuat jualan penghabisan stok bagi menghabiskan stok lama yang terdapat di kedai.
''Pada masa ini, perabot yang ada akan diberikan potongan yang begitu istimewa dan para pelanggan harus merebut peluang ini lebih-lebih lagi dengan ketibaan musim perayaan tidak lama lagi,'' ujar Augustina mengakhiri perbualan.
Kepada yang berminat mengenai perabot jati Japara, boleh menghubungi Augustina di talian 019-2822208.
Kicap penyedap makanan
Berhati-hati jika anda orang ketiga
'Bahtera' berantakan salah siapa?
Apabila benang, jarum bertemu
Nur Sarah lawan leukemia
Pakaian comel untuk bayi
Cabaran jadi suri rumah
Guna produk solekan halal
Tipu kerana nak kahwin
Percumakah kehidupan kita?
Innanie Ariffin, Gadis Analogi
Hidangan ala Barat
AKRAB sentiasa mekar
Herba paling berharga
Bayi sihat, aktif
Menangani anak bermasalah
Rungutan ibu beri ilham
Dugaan kasih ibu, anak
Finalis hadapi tugasan akhir
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










