Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 07/06/2008
Ringankan beban rakyat - 4 langkah segera atasi kenaikan harga minyak akan diumum

Ringankan beban rakyat - 4 langkah segera atasi kenaikan harga minyak akan diumum

PUTRAJAYA 6 Jun – Kerajaan akan mengumumkan butiran mengenai empat langkah segera awal minggu depan yang bertujuan untuk meringankan beban pengguna berikutan kenaikan mendadak harga minyak dan tarif elektrik, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pertemuan dengan para editor kanan di sini, Perdana Menteri berkata, empat langkah itu melibatkan tindakan penjimatan kos oleh jabatan dan agensi kerajaan, memperluaskan jaringan jaminan sosial bagi rakyat dalam golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal serta orang kurang upaya, menambah senarai bahan kawalan untuk mengekalkan harga rendah dan meningkatkan jumlah pengangkutan awam seperti bas.

Abdullah berkata, kerajaan amat prihatin dengan beban yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga bahan api dan tarif elektrik.

Beliau berkata, menaikkan harga minyak dan tarif elektrik bukanlah suatu tindakan yang digemari kerajaan tetapi ia terpaksa dilakukan sekarang bagi faedah jangka panjang negara dan generasi akan datang.

Abdullah berkata, para pegawai kerajaan yang diamanahkan untuk memperincikan perkara itu akan bertugas sepanjang hujung minggu ini untuk membolehkan langkah berkenaan diumumkan awal minggu depan.

Sambil menghuraikan langkah itu, beliau berkata, tindakan penjimatan kerajaan itu termasuk mengurangkan kunjungan ke luar negara dan jumlah pegawai yang terlibat.

Beliau berkata, wang daripada langkah penjimatan di jabatan dan agensi kerajaan akan digunakan untuk perkara lain yang boleh memanfaatkan rakyat.

Mengenai langkah memperluas jaminan jaringan sosial, beliau berkata, ini bermakna memperbesar ambangnya untuk meliputi lebih ramai rakyat dalam golongan berpendapatan rendah dan kumpulan kurang bernasib baik.

Perdana Menteri memberi contoh, jika kini sejumlah kanak-kanak sekolah sudah pun mendapat pakaian sekolah dan makanan percuma, pembesaran itu akan bermakna lebih ramai lagi yang boleh mendapat keistimewaan yang sama.

Abdullah berkata, kerajaan sedar akan kemungkinan harga makanan turut meningkat berikutan kenaikan harga bahan api dan elektrik, maka bilangan barang perlu dalam senarai harga kawalan akan diperbesar untuk mengekalkan harga rendah.

Langkah itu akan memastikan rakyat tidak dibebani dengan harga makanan yang mahal, katanya.

Perdana Menteri berkata, terdapat bidang lain yang sedang dikaji kerajaan bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Inflasi Negara yang dianggotai wakil kerajaan dan sektor swasta.

Ia akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada Isnin.

Abdullah berkata, tujuan langkah baru itu adalah untuk mengurangkan impak negatif terhadap golongan berpendapatan rendah kerana kerajaan sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat.

Beliau yakin kerajaan akan berupaya membantu rakyat mengharungi tempoh sukar ini seperti yang berjaya dilakukan semasa kemelesetan ekonomi pada pertengahan 1980-an dan krisis kewangan pada 1997.

Beliau berkata, jika kerajaan tidak mengurangkan subsidi minyak, bermakna kerajaan akan terpaksa membelanjakan kira-kira RM28 bilion tahun ini.

Ini merupakan langkah kurang bijak jika seseorang itu mengambil kira pendapatan tahunannya kira-kira RM154 bilion, katanya.

Abdullah berkata, kerajaan berjaya dalam mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.2 peratus daripada 5.5 peratus pada tahun 2000 tetapi jika ia terus memberi subsidi minyak, maka belanjawan defisit akan meningkat antara 6.0 dan 10 peratus.

Dengan mempunyai bajet defisit yang begitu tinggi, ia akan memberikan impak negatif terhadap penarafan kedaulatan Malaysia walaupun kerajaan tidak sering ke pasaran wang untuk meminjam, jelas beliau.

Bagaimanapun, penurunan rating oleh agensi penarafan akan memberi impak tidak langsung terhadap pinjaman yang dilakukan syarikat-syarikat Malaysia dan ini bermakna mereka perlu membayar lebih.

Menyentuh saranan sesetengah pihak supaya kerajaan menggunakan dananya untuk memantapkan ekonomi kini, Abdullah berkata, ia bukan suatu tindakan yang wajar dilakukan sekarang.

Katanya, jika berlaku krisis besar ekonomi global atau kemelesetan dan Malaysia telah menggunakan sebahagian besar dananya hanya untuk memberi subsidi minyak, maka ia akan dilihat negara telah kehabisan modal atau usaha.

Abdullah berkata, dana hanya patut digunakan untuk tujuan memantapkan bagi merangsangkan ekonomi jika berlaku kemelesetan global.

Beliau berkata, sebelum ini, semasa kerajaan memberikan subsidi besar harga minyak untuk rakyat, ramai yang bukan dalam golongan sasarannya seperti rakyat asing, mengambil kesempatan menipu dan penyeludup meraih keuntungan yang lebih daripada skim subsidi itu.

- Bernama

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN