|
KUALA LUMPUR 4 Jun - Kerajaan mengenal pasti kawasan pantai timur Sabah terutama di sekitar Tawau berpotensi untuk dijadikan tapak pelancaran roket.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, kajian terperinci perlu dilakukan bagi memastikan pembinaan tapak tersebut tidak memberi kesan kepada alam sekitar.
Beliau juga menjelaskan, kerajaan buat masa ini masih belum mempunyai cadangan yang kukuh untuk membangunkan pusat berkenaan.
"Untuk membina pusat pelancaran, beberapa perkara perlu dipertimbangkan dan yang penting adalah kesesuaian tempat tersebut.
"Antara keperluan tapak pelancaran roket ialah ia perlu mempunyai kawasan di sebelah timur yang tidak mempunyai penghuni seperti lautan atau gurun.
"Ini agar jatuhan komponen kenderaan pelancar tidak akan membahayakan penduduk di sekitarnya," katanya ketika menjawab soalan Senator Nordiana Shafie hari ini.
Menurut beliau, selain itu, satu kajian analisis kos juga perlu diadakan memandangkan program itu memerlukan kos yang amat tinggi.
"Pasaran bagi melancarkan roket masih dikuasai oleh Amerika Syarikat, Rusia dan Eropah. Selain itu, kajian Laporan Kesan Alam Sekitar (EIA) juga perlu dilaksanakan dengan teliti," ujarnya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan juga telah memulakan usaha bagi membentuk satu Dasar Angkasa Negara bagi memastikan sektor angkasa yang strategik dapat dilaksanakan dengan terancang dan tersusun.
"Dengan adanya dasar ini, perincian dan usaha ke arah pembangunan bidang angkasa dapat dikenal pasti bersesuaian dengan dasar-dasar pembangunan negara," ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|