Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 05/06/2008
Tarif baru elektrik 1 Julai

Tarif baru elektrik 1 Julai

PUTRAJAYA 4 Jun - Kerajaan hari ini mengumumkan struktur tarif baru elektrik yang menyaksikan pengguna domestik masih layak menikmati kadar tarif sedia ada sekiranya penggunaan bulanan mereka berada di bawah 200 kilowatt jam (kWj).

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, menerusi tarif yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini, sebanyak 59 peratus isi rumah di Semenanjung akan membayar kadar yang sama iaitu dengan anggaran bil elektrik kurang daripada RM43.60 sebulan.

Menurutnya, pengguna komersial dan industri pula mengalami peningkatan sebanyak 26 peratus manakala peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil serta perusahaan kampung yang jumlah penggunaan elektrik bulanannya di bawah 200 kWj hanya mengalami kenaikan 18 peratus.

Bagaimanapun Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, struktur tarif baru elektrik bagi Sabah dan Sarawak akan diumumkan tidak lama lagi.

''Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melindungi sebaik mungkin kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, struktur tarif elektrik yang baru ini tidak akan menjejaskan pengguna yang menggunakan 200 kWj ke bawah setiap bulan.

''Ini bermakna 59 peratus isi rumah di Semenanjung akan membayar kadar yang sama selagi mengekalkan tahap penggunaan yang sama," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi di sini hari ini.

Di bawah tarif itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menetapkan tarif bagi kediaman sebanyak 21.8 sen bagi penggunaan 200 kWj pertama sebulan manakala 34.5 sen bagi penggunaan dari 201 kWj sehingga 400 kWj dengan caj minimum bulanan ialah RM3.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan meluluskan struktur baru tarif tersebut selaras dengan penstrukturan semula subsidi gas dan kenaikan harga arang batu.

Ini, kata beliau, bagi membolehkan TNB menyerap kos bahan api membabitkan kedua-dua sumber bahan bakar itu.

''Langkah-langkah yang telah disebut adalah selaras dengan keputusan kerajaan menstruktur semula subsidi yang mana usaha ini akan menuju ke arah harga pasaran sebenar, meningkatkan kecekapan pasaran serta menggalakkan rakyat menjimatkan sumber tenaga.

''Sektor komersial dan industri pula akan menjadi lebih bermotivasi untuk melaksanakan langkah-langkah kecekapan dalam operasinya sementara pengguna bagi isi rumah akan mengamalkan penjimatan tenaga serta mengelakkan pembaziran," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN