Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 02/06/2008
Akhbar bela nasib Melayu

Akhbar bela nasib Melayu

PASCA Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) menyaksikan isu nasib orang Melayu banyak sekali dibincangkan di media massa terutama sekali di dada akhbar berbahasa Melayu. Pelbagai perbincangan diadakan dalam melihat kesan PRU-12 ke atas kuasa ekonomi, politik, sosial dan pendidikan orang Melayu.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu berpengaruh yang lantang membicarakan keperluan orang Melayu bersatu padu dan terus berjuang mempertahankan hak orang Melayu telah menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa parti politik.

Sebenarnya, peranan akhbar dalam memperjuangkan nasib orang Melayu bukanlah sesuatu yang baru dilakukan. Sejarah telah membuktikan bahawa media termasuk akhbar amat penting dalam memainkan peranannya sebagai alat penyebar dan pembakar semangat memperjuangkan nasib orang Melayu.

Media seperti akhbar, majalah dan novel amat memainkan peranan penting dalam mengerakkan kesedaran kebangsaan orang Melayu terutama sekali dalam menuntut kemerdekaan negara.

Melalui isu-isu yang dibangkitkan seperti sosial, pendidikan, ekonomi dan politik, penulis-penulis seperti Za'ba dan Dato' Onn Jaafar (sekadar menyebut beberapa nama) telah berjaya membangkitkan semangat kesedaran untuk memajukan diri dan bersatu padu di kalangan orang Melayu.

Melalui akhbar, banyak artikel yang menyentuh soal kemiskinan serta kemunduran orang Melayu di samping mengupas soal pelajaran dan menyeru orang Melayu supaya bersatu diperbincangkan. Tulisan tersebut berusaha menyuntik semangat dan memberi kesedaran kepada penduduk Tanah Melayu untuk maju.

Akhbar-akhbar seperti Al-Iman, Saudara, Idaran Zaman, Al-Ikhwan, Utusan Melayu antara lainnya kuat meniupkan semangat memajukan bangsa Melayu.

Utusan Melayu dan Wartawan Melayu, contohnya telah mengkritik dasar-dasar British yang merugikan orang Melayu. Selain itu, akhbar seperti Warta Malaya, Lembaga Malaya, Majlis, Warta Negara dan Fajar Serawak juga turut membincangkan aspek sosial, pendidikan, ekonomi dan politik orang Melayu.

Dari aspek sosial dan pendidikan, isu-isu yang sering dibincangkan ialah bagaimana memajukan pendidikan tinggi orang Melayu dan menggalakkan pendidikan untuk anak perempuan.

NegatifAkhbar-akhbar ini turut menyeru orang Melayu agar meninggalkan sikap negatif seperti terlalu memilih pekerjaan dan tidak mahu berusaha kuat.

Isu pendidikan turut mendapat perhatian utama akhbar-akhbar sebelum kemerdekaan. Antaranya ialah menggalakkan tabungan di kalangan orang Melayu untuk pendidikan anak-anak Melayu. Penulisan akhbar juga menyeru supaya taraf sekolah Melayu dibaiki dengan memberikannya nilai ekonomi.

Mengamalkan nilai-nilai baik dalam masyarakat Melayu juga diberikan perhatian oleh akhbar ketika itu. Ini termasuklah menyeru orang Melayu supaya tidak meninggalkan pendidikan Islam.

Isu lain yang juga kuat diperkatakan oleh akhbar Melayu sebelum kemerdekaan ialah aspek ekonomi. Isu seperti meminta pemerintahan British mengurangkan jumlah kemasukan orang dagangan kerana ditakutkan akan mengancam ekonomi orang tempatan termuat di dada-dada akhbar.

Isu ekonomi lain ialah seperti menggalakkan perniagaan di kalangan orang Melayu, melarang orang Melayu daripada menjual tanah mereka dan menyeru orang Melayu supaya berjimat cermat.

Dari aspek politik pula, akhbar sebelum merdeka banyak memperkatakan mengenai dasar pemerintahan kerajaan British ke atas Malaya ketika itu.

Mereka mengkritik pemerintah British kerana mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu selain menolak dasar pilih kasih British ke atas orang Melayu dalam pentadbiran kerajaan.

Akhbar-akhbar ketika itu menuntut diadakan Malay Administrative Service (M.A.S) untuk melindungi orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan dan menyeru supaya orang Melayu bersatu padu dalam sebuah pertubuhan kebangsaan.

Penulisan puisi dalam akhbar turut menyumbang kepada sentimen menuntut kemerdekaan. Omar Mustaffa melalui puisinya dalam Utusan Melayu menggesa orang Melayu supaya rajin bekerja dan jangan membiarkan kekayaan diambil oleh bangsa lain.

Puisi lain seperti Sedarlah oleh Mahmud Ahmadi, Semenanjung oleh Harun Aminurashid (1919), Seruan Kebangsaan oleh Melati Pahang (1937) menyuntik kesedaran orang Melayu untuk mencari ilmu. Serunai Pujangga oleh Anum (1940) pula menyeru orang Melayu untuk bersikap berani dan sanggup berkorban.

Antara surat khabar yang kuat memperjuangkan nasib orang Melayu ialah Utusan Melayu yang diterbitkan pada tahun 1939. Pengarangnya yang pertama ialah Rahim Kajai.

Peranan Utusan Melayu amat besar dalam membina jati diri Melayu. Utusan Melayu menjadi sumber sejarah perjuangan orang- orang Melayu. Di samping perjuangan menuntut kemerdekaan, Utusan Melayu merupakan perjuangan membina penghidupan masyarakat Melayu terutama masyarakat di kampung-kampung.

Utusan Melayu juga memperkembangkan ilmu pengetahuan dan minda masyarakat Melayu, memperkembangkan sahsiah, keyakinan diri, keimanan, memperteguhkan semangat, jati diri dan kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanah air. Di samping itu Utusan Melayu menyebarluas ilmu, pendidikan, kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu.

Utusan Melayu juga membolehkan penulis-penulis Melayu yang hebat antara lainnya seperti Tongkat Warrant, Keris Mas, Pak Sako, A. Samad Ismail, A. Samad Said, Ruhi Hayat, Burhanuddin Helmy, Aziz Ishak, Aminuddin Baki dan sekian ramai lagi kalangan penulis Melayu mengasah bakat dan menulis.

Peranan media termasuk akhbar dalam memperjuangkan nasib orang Melayu amat jelas dilakukan sejak dahulu lagi. Oleh itu, tidaklah wajar mana-mana parti-parti politik untuk memboikot akhbar yang kuat memperjuangkan nasib orang Melayu.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN