Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
TERKINI

ARKIB : 31/05/2008
UMNO perlu fikir masak-masak permohonan Ezam - Muhyiddin

UMNO perlu fikir masak-masak permohonan Ezam - Muhyiddin

31/05/2008 5:06pm

MUAR 31 Mei — Pertimbangan untuk menerima permohonan kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Nasional (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor ke dalam Umno perlu diperhalusi dan difikirkan semasak-masaknya oleh kepimpinan parti, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata permohonan Mohamad Ezam dan beberapa bekas anggota PKR yang lain itu juga perlu melalui prosedur biasa parti tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka.

"Proses permohonan perlu melalui prosedur biasa pada mesyuarat Majlis Tertinggi, sebelum itu Jawatankuasa Pengurusan, barulah kita lihat kewajaran untuk terima (permohonan) atau tolak supaya tiada ahli yang kecewa kerana seolah-olah kita (Umno) ketepikan pertimbangan biasa di atas sebab-sebab tertentu.” "Saya tak nampak apa istimewanya kemasukan Ezam. Pada saya kemasukan biasalah. Tetapi dia (Ezam) yang tidak biasa, ada rekod. Kita kena teliti secara halus dan semasak-masaknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Persatuan Pesara Negeri Johor di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian sebagai mengulas permohonan kemasukan Mohamad Ezam dan beberapa pemimpin Pemuda PKR yang lain yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mendengar terdapat anggota parti yang berasa tidak senang dan kurang selesa tentang betapa mudahnya Umno menerima kembali Mohamad Ezam, yang juga merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa sebarang usaha menyelidik latar belakang beliau.

Katanya, peraturan dan prosedur di dalam perlembagaan Umno perlu dipatuhi sebelum seseorang yang telah keluar daripada Umno dan menentang parti, diterima kembali ke dalam parti.

Prosedur kemasukan ke dalam parti bagi mereka yang telah keluar parti adalah berlainan dengan mereka yang baru mahu memasuki Umno, katanya.

"Ianya berbeza dengan orang baru di kampung-kampung, berbanding dengan orang yang keluar masuk parti dan menentang (Umno). Ada prosedur dan caranya.

Bukan lulus sewenang-wenangnya.

"Ada anggota yang kata mereka kecewa kerana mereka sudah lama berjuang dan tidak pernah sedetik sesaat pun meninggalkan parti, tetapi mereka tidak diberikan layanan sebegitu istimewa, itu yang saya dengar,” kata Muhyiddin.

Katanya untuk memasuki Umno adalah mudah iaitu dengan menghantar borang permohonan keanggotaan kepada ketua cawangan.

"Orang yang sudah keluar dari parti, sepatutnya mereka pergi ke cawangan dan serah (borang permohonan) kepada ketua cawangan,” katanya.

Ditanya dakwaan bahawa Mohamad Ezam merupakan “Trojan Horse” bagi pihak pembangkang, beliau berkata, adalah tidak baik untuk mempunyai perasaan syak wasangka di kalangan sesama Islam tetapi di dalam masa yang sama, Umno juga perlu berhati-hati.

Mengenai kenyataan Mohamad Ezam bahawa beliau ikhlas untuk menyertai semula Umno, Muhyiddin berkata, beliau sememang berharap bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ikhlas di dalam permohonannya itu.

"Saya harap dia ikhlas, tetapi ikhlas mana pun dia ada rekod. Ada prosedur yang perlu dipatuhi supaya kita dapat mengawal keahlian kita di dalam keadaan yang baik,” katanya.

— BERNAMA

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN