Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 30/05/2008
Selesai konflik mengikut etika pengurusan Islam

Selesai konflik mengikut etika pengurusan Islam

SEBAGAI sebuah negara yang mengakui di dalam perlembagaan bahawa Islam ialah agama rasminya, amat wajar Malaysia meningkatkan usaha menerapkan nilai-nilai Islam di dalam setiap bidang bagi mengurangkan konflik yang timbul.

Perpecahan umat Islam di negara ini ketara berlaku dengan wujudnya beberapa kumpulan dan parti politik yang disertai oleh orang Islam. Perbezaan ideologi dan fahaman menyebabkan mereka berpecah belah sedangkan Islam amat mementingkan umatnya bersatu padu.

Pekerja yang beragama Islam hendaklah sentiasa sedar dan berusaha untuk menunaikan tugas mereka menurut ajaran Islam, ajaran yang mementingkan kebahagiaan umat manusia sejagat.

Dalam membicarakan mengenai etika pengurusan Islam, beberapa etika kerja perlu diberi perhatian seperti bekerja dengan niat beribadat kepada Allah SWT. Bekerja hendaklah dengan ikhlas dan amanah, tekun dan cekap selain bermatlamatkan kebaikan manusia sejagat.

Dalam pengurusan Islam, pekerja diperlukan bersungguh-sungguh melaksanakan kerja dan tugasnya dalam bidang kepakaran masing-masing. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah suka seseorang itu bekerja, maka ia bekerja dengan tekun" (Hadith riwayat al-Baihaqi).

MenggesaMaksud hadis tersebut ialah setiap orang Islam perlu menjalankan kerjanya dengan kuat dan berlipat ganda, kerana Allah SWT menggesa hamba-hambaNya bekerja kerana pekerjaannya akan dinilai dan dilihat oleh Allah SWT, oleh Rasul-Nya dan oleh orang-orang yang beriman seluruhnya.

Dalam pengurusan Islam, berlaku adil dalam semua aspek kehidupan sangat dituntut. Islam juga mengajar umatnya menghormati manusia, walaupun berlainan fahaman dan anutan.

Bekerja dengan semangat gotong-royong dan berpadu fikiran adalah juga etika pengurusan Islam. Seseorang pekerja itu bertugas dengan suatu kumpulan pekerja yang tertentu.

Dalam usaha untuk menghasilkan perkhidmatan yang baik, sesuatu kumpulan pekerja itu mestilah mempunyai sikap seperti dapat bekerjasama dan bergotong-royong dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Pentingnya sikap bantu membantu di antara satu sama lain di antara pekerja adalah amat penting kerana ia akan menimbulkan suasana bekerja yang aman dan gembira.

Suasana yang demikian pula akan meningkatkan hasil dan mutu perkhidmatan setiap pekerja. Ia juga dapat mengurangkan jurang konflik yang wujud.

Dalam mewujudkan sistem pengurusan Islam, di samping kita bergotong-royong menjalankan tugas, kita juga hendaklah menggalakkan perbincangan sesama sendiri, bertukar fikiran, untuk mengkaji masalah yang ada dan juga untuk menghadapi masalah yang mungkin timbul.

Perbincangan serta pertukaran fikiran seperti ini akan meningkatkan rasa kekitaan di antara pekerja dan dengan sendirinya pula meningkatkan rasa tanggungjawab bersama terhadap sebarang kegiatan kumpulan pekerja yang berkenaan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN