|
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Tyhe menjelaskan seramai 3,383 pelajar ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk rogol tahun lalu. Walaupun perangkaan ini menunjukkan penurunan sedikit berbanding tahun 2006 iaitu 3,550 pelajar ditangkap, namun masalah ini masih dianggap serius.
Membicarakan mengenai jenayah pelajar, ia ada kaitannya dengan masalah disiplin yang sentiasa menjadi perhatian pihak guru, ibu bapa, masyarakat, sekolah, Pejabat Pelajaran dan juga Kementerian Pelajaran Malaysia.
Memandangkan disiplin pelajar sekolah adalah antara masalah yang boleh menganggu sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah, banyak buku ditulis untuk membincangkan isu ini.
Antara buku yang memperkatakan mengenai pengurusan disiplin pelajar ialah One-Minute Discipline: Classroom Management Strategies That Work oleh Arnie Biaco, Setting Limits in the Classroom, Revised: How to move Beyond the Dance of Discipline in Today's Classroom oleh Robert Mackenzie.
Selain itu, buku Positive Classroom Discipline oleh Fredric H. Jones dan Discipline in the Secondary Classroom: A positive Approach to Behavior Management, Discipline and Group Management oleh Jacob Sebatian Kounin, Skills For School Success oleh Anita Richie, Solution Book: A Guide to Classroom Discipline oleh Randall Spring juga membincangkan mengenai pengurusan disiplin sekolah.
Perkembangan psikologi pelajar menuntut pihak guru untuk memahami unsur psikologi yang dialami dan dilalui oleh pelajar. Sehubungan itu, buku Handbook of Psychology oleh Anita Archer dan Education Psychology Theory and Practice oleh Slavin membincangkan secara terperinci mengenai peranan psikologi dalam membentuk disiplin pelajar.
Buku Positive Classroom Discipline menggabungkan unsur teori dan praktikal dalam mengurus disiplin pelajar. Ia membincangkan secara terperinci mengenai teori asas tingkah laku manusia. Kefahaman mengenai asas tingkah laku manusia memudahkan kefahaman guru mengenai perkembangan psikologi pelajar dan seterusnya memudahkan guru memahami asas sebalik sesuatu tingkah laku disiplin pelajar.
Hasil penggabungan aspek teori dan praktikal dalam buku ini telah menghasilkan satu kaedah yang sistematik dalam pengurusan disiplin di mana kemahiran-kemahiran asas dan prosedur digabung jalin menjadi satu kerangka yang koheren dalam usaha guru mendisiplin pelajar.
Mengikut buku ini, disiplin yang berkesan jika diamalkan hampir tidak kelihatan seperti satu tindakan disiplin. Ia kelihatan amat mudah di mana pelajar tidak terasa seperti dikenakan tindakan disiplin dan mereka mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan tanpa sebarang rungutan.
Buku ini juga membincangkan bagaimana seorang guru yang berhadapan dengan krisis boleh menghadapinya secara baik. Buku ini tidak ketinggalan membincangkan aspek-aspek yang berkaitan dengan disiplin seperti bagaimana mengenali kod-kod disiplin, pengurusan kafetaria, pengurusan pejabat dan juga sistem persekolahan.
One-Minute Discipline Classroom oleh Arnie Bianco juga membincangkan aspek-aspek asas tingkah laku dalam pengurusan disiplin. Pengarang buku ini jelasnya menghargai pelajar-pelajar dan pendekatan yang digunakan untuk mendisiplinkan pelajar adalah pendekatan yang bersifat positif.
Buku ini menyediakan panduan bagaimana guru boleh mengawal diri dan sentiasa bermotivasi dan bertenaga tinggi.
Bahagian satu adalah berkaitan kerangka falsafah strategi yang digunakan di dalam buku ini. Sementara itu, bahagian dua pula menyenaraikan aktiviti-aktiviti dan soal selidik bagaimana membantu mengenali pelajar dan keperluan mereka.
Dalam usaha merapatkan hubungan antara rumah dan sekolah, bahagian ketiga buku ini memberikan saranan bagaimana hubungan baik antara guru dan ibu bapa boleh dijalinkan.
Discipline in the Secondary Classroom menyediakan pendidikan strategi praktikal dan berguna dalam setiap persekitaran. Aplikasi efektif kemahiran dan kaedah dalam buku ini akan menyediakan kejayaan akademik dan tingkah laku pelajar.
Buku ini juga memberi guru-guru bimbingan terperinci untuk mereka bentuk pelan tindakan pengurusan tingkah laku yang akan membantu mengurangkan salah laku pelajar dan meningkatkan motivasi pelajar. Ia mengandungi borang, alat-alat penilaian yang akan membantu guru berusaha mendekati murid.
Guru berhadapan dengan tugas besar dalam menangani disiplin pelajar. Ini kerana guru berhadapan dengan pelbagai tugas yang antara lainnya memastikan bahawa pelajar tidak melanggar peraturan sekolah dan pada waktu yang sama memahami mereka sebagai individu yang mengalami proses perkembangan emosi, psikologi dan fizikal di samping nilai-nilai luar yang dibawa ke dalam bilik darjah.
Masalah disiplin terutama sekali yang membabitkan jenayah pelajar perlu ditangani dalam usaha melahirkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang selamat serta melahirkan pelajar yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
IKLAN@UTUSAN
|