VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 18/05/2008

Filem seram tidak merosakkan




SAJIKAN apa sahaja cerita mengenai hantu dan mistik, sama ada terbitan tempatan mahupun luar negara, pasti akan mengundang khalayak untuk memenuhi pawagam. Ini mungkin kerana keinginan khalayak untuk mengetahui tentang tahap “keseraman” sesuatu cerita yang selalunya bukan sahaja membuatkan penonton “tegak bulu roma” tetapi juga menjerit ketakutan.

Kejayaan filem Pontianak Harum Sundal Malam arahan Shuhaimi Baba memberi satu dimensi baru kepada industri perfileman tempatan. Ini berlaku setelah lama filem seram muram sekali gus meledakkan keinginan pembuat filem tempatan untuk menampilkan genre sedemikian di persada perfileman negara.

Sejak itu, banyak pembikin filem membuat filem hantu, filem seram dan filem mistik dan Shuhaimi sendiri meneruskan kesinambungan kisah pontianak dalam Pontianak Harum Sundal Malam II sebelum muncul dengan filem berkenaan harimau jadian dalam Waris Jari Hantu dan siri televisyen, Anak Pontianak.

Malah sesuatu yang menarik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 yang berlangsung di Pulau Pinang apabila lapan buah filem seram dicalonkan sebagai filem terbaik seperti Chermin, Jangan Pandang Belakang, Orang Minyak, Puaka Tebing Biru, Possessed, Syaitan, The Seed of Darkness dan Waris Jari Hantu. Ini membuktikan kehangatan sambutan pembikin filem terhadap genre berkenaan.

Filem Jangan Pandang Belakang, arahan Ahmad Idham terbitan Metrowealth Movies Production pula mencipta sejarah apabila berjaya mencapai kutipan paling tinggi iaitu RM7.2 juta di pawagam tempatan.

Kehangatan dan kerancakan sambutan filem seram dan mistik turut mempengaruhi produksi drama untuk menerbitkan kisah yang berkisar kepada hantu yang disukai ramai dan mempunyai kuasa penarik kepada khalayak. Maka muncullah Susuk, Nek-Nak, Antara Dua Alam, Radio, Anak Kerak, Dark City, Saka dan yang berkaitan dengannya.

Pun begitu, dalam kerancakan pengkarya membikin filem atau drama begini, ada juga berpendapat ia sebenarnya memberi kesan buruk kepada masyarakat seperti yang bentangkan oleh beberapa tokoh dalam Mingguan Malaysia minggu lalu.

Penyelewengan

Mereka berpendapat penayangan terlalu banyak filem-filem seram dibimbangi gagal membangunkan minda sebaliknya menyumbang kepada penyelewengan akidah.

Seperti kata Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, ada antara filem hantu yang tidak menyumbang kepada pembentukan insan, lebih dibimbangkan apabila sesebuah filem seram itu ditonton oleh kanak-kanak yang sedang membesar kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran mereka.

Malah lebih teruk, kerana terlalu dimomokkan dengan kisah-kisah seram begini secara tidak langsung boleh melahir masyarakat yang penakut. Benarkah dakwaan itu?

Beberapa pembikin filem memberikan reaksi terhadap perspektif mengenai kesan buruk filem seram kepada masyarakat seperti yang didakwa khususnya yang berkaitan dengan isu penyelewengan akidah.

“Terlalu nipis intelektual seseorang jika memperkatakan perihal penyelewengan akidah semata-mata kerana menonton filem seram. Inilah masalah orang kita. Apakah mereka memperkatakan dengan jujur,” tegas Ahmad Idham.

Katanya, mereka jangan memberi komen yang terlalu umum sebaliknya perlu pengkhususan.

“Bagi saya filem itu tidak memesongkan pemikiran sebaliknya komen-komen begini (tanpa khusus) lebih memesongkan.”

“Akidah? Akidah yang mana? Perbuatan yang nampak atau tersembunyi. Apakah hanya kerana menonton filem begini akan terpesong agamanya?,” kata Ahmad Idham.

Menurutnya, filem adalah medium hiburan dan bukannya sekolah pondok. Dia membuat filem bukan untuk memberi ceramah agama.

Malah lebih utama, setiap filem seram, misteri, mistik dan hantu yang ditayangkan telah mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang antara ahli jawatankuasanya adalah kalangan mereka yang arif tentang agama.

“Penceritaan adalah untuk menggerakkan cerita dan dalam masa yang sama ada batas- batas yang kita ambil agar tak menyesatkan dari ajaran Islam. Satu perkara utama, jangan menduakan Tuhan dan jangan memohon selain daripada Tuhan,” kata Ahmad Idham.

Dia bertanya, adakah salah membuat filem seram?

Dalam hadis dan al- Quran bukan tidak ada memperkatakan dengan alam ghaib.

“Gangguan mistik yang diselitkan dalam filem-filem seram saya adalah apabila manusia itu terperangkap ke alam demikian dan akhirnya kepada siapa kita berpatah balik kalau bukan kepada Tuhan yang maha esa. Adakah itu salah?

Kata Ahmad Idham, dia membuat kajian sebelum melakukan sesuatu perkara malah mendapat nasihat daripada yang arif dengan perkara begini termasuk berhadapan dengan empat orang ustaz dalam LPFM.

“Kita bincang, bahas dan tapis setiap perkara dan jika Lembaga Penapisan Filem boleh meluluskannya, jadi apa masalahnya di sini?,” tanya pengarah filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak itu lagi.

Ahmad Idham juga mempersoalkan daripada sudut manakah sebuah filem seram tidak menyumbang kepada sebuah pembentukan insan?

“Kita tidak paksa orang datang tengok filem kita. Ini bukan tayangan umum. Mereka bayar untuk mereka tonton filem kita. Sebagai sebuah medium hiburan, saya namakan ini satu dakwah sebab antara salah satu elemen yang terdapat adalah untuk kita saling ingat mengingati antara satu sama lain.”

“Alam ghaib, kisah mistik, walaupun ia satu hiburan, kita tidak boleh menidakkan ia tidak wujud. Filem seram saya tonjolkan permasalahan, bagaimana dirasuk dan bagaimana penyelesaiannya. Akhirnya, kita kembali kepada Allah juga untuk meminta pertolongan dan perlindungan. Tolong jangan kongkong minda kita dan janganlah memandang rendah pemikiran penonton,” katanya.

Mengakui sukar mengarahkan filem seram, kata Ahmad Idham, lebih menyukarkan adalah apabila ada yang suka memberi komen tidak khusus.

“Jangan fikir saya terlalu rendah macam tidak tahu buat kerja,” tegasnya lagi.

Sementara itu Shuhaimi Baba pula berkata, tanggapan filem seram boleh menyelewengkan akidah dan merosakkan akhlak sebagai satu tuduhan serius dan mencadangkan agar dijalankan kajian mengenainya.

“Kita buat kerja pun bukan main-main sebab pelaburannya tinggi. Apa kata bila keluar panggung, bagi borang dan tanya mereka sama ada rosak atau tidak akhlak mereka selepas menonton,” kata Shuhaimi.

“Saya sanggup berhenti buat filem hantu sekiranya ada kajian yang membuktikan ada kalangan penonton yang terpesong akidah atau rosak akhlaknya kerana menonton filem sebegitu,” tambahnya.

Pasaran

Pun begitu, Shuhaimi tidak menafikan terlalu banyak pembikin filem yang mahu membuat filem seram, hantu dan mistik atas alasan kehendak pasaran tidak sahaja tempatan tetapi juga luar negara.

“Tanggungjawab sebagai pembikin filem tetap ada. Tapi kalau kerana menonton filem begini, kepercayaan kepada Islam menjadi lemah, ia ibarat menganggap penonton macam orang bodoh,” ujarnya.

Menurut Shuhaimi, banyak lagi perkara yang lebih ‘menyeramkan’ yang sepatutnya diambil peduli misalnya kes anak-anak muda terutama “pelakon bertudung” yang berlambak disebarkan di telefon bimbit mahupun Internet atau kisah “beli-membeli” orang politik kita kerana melibatkan negara.

“Kenalah realistik sikit. Ini (filem seram) satu hiburan,” kata Shuhaimi yang menghasilkan karyanya menerusi pengalaman orang dan berdasarkan rasa takut untuk mendapatkan mood penceritaan.

Tegasnya, filem juga adalah sama sekali terpisah daripada dunia realiti kerana apa yang ingin ditonton adalah daripada segi pembikinan filem itu sendiri sama ada kesan khasnya, pengarahan mahupun penulisannya.

“Orang yang kritik tidak akan faham kerana mereka tak minat. Kalau ikutkan, banyak lagi filem di televisyen yang merosakkan,” ujarnya yang terkenal menghasilkan karya ‘hantu cantik’ berbanding hantu berwajah hodoh.

“Itu satu interpretasi saya. Cerita hantu hanyalah satu platform, faktor yang lebih besar ialah karya seni kita,” katanya lagi.

“Filem-filem popular macam cerita hantu sebenarnya membantu menyelamatkan momentum industri. Bila momentum begini ada maka filem-filem lain pun selamat dan ada penonton, ” ujar Shuhaimi.

Sementara itu, penerbit filem, David Teo menganggap setiap manusia sejak azali sudah mempunyai perasaan takut secara semula jadi dan ia bukan disebabkan oleh satu momokan cerita hantu, seram mahupun mistik semata- mata.

“Tak payah tengok televisyen atau menonton filem, ibu bapa sendiri takutkan anak- anak mereka menggunakan nama polis. Ini hanyalah tentang persepsi. Juga tentang kesedaran individu itu sendiri.”

“Melalui filem juga kita memberi kesedaran. Tonjolkan apa yang baik, apa yang buruk. Jadi kita kena rasional, jangan ikut perasaan,” kata David.

Malah sebagai penerbit filem, kata David, dia tidak percaya bahawa filem-filem seram membuatkan kita kembali ke belakang sedangkan kita kini ke arah negara yang canggih dari segi sains dan teknologi serta angkasa lepas.

Genre seram kata David, tidak pernah basi tetapi terus menjadi minat masyarakat di seluruh dunia malah dari segi nilai, ia senang dijual di pasaran antarabangsa.

“Jika tidak takkan filem Jangan Pandang Belakang mampu memecah box-office malah menjadi antara pencapaian besar kepada industri filem kita. Ia juga mendapat sambutan menggalakkan di Singapura dan berjaya mendapat kutipan sebanyak RM1 juta apabila ditayangkan.

“Tapi kalau nak buat filem seram, mesti buat betul-betul seram dan harus sesuai ditonton setiap lapisan masyarakat tak kira bangsa.

“Paling penting untuk membuat filem seram, mesti mengikut adat, budaya, tradisi dan agama sesuatu bangsa. Kalau buat filem Melayu, kita mesti ikut adat, budaya dan agamanya,” kata David.

Dia menasihatkan, bahawa pengaruh dan sentuhan tempatan perlu diambil kira dan jangan membuat filem Melayu tapi ada pengaruh hantu Cina, Jepun dan sebagainya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.