VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
UTARA

ARKIB : 16/05/2008

'Kami sudah bosan menunggu'


Rumah yang telah siap dibina tetapi masih gagal diduduki mangsa tsunami di Desa Kuala Muda, Kuala Muda, Kepala Batas, Pulau Pinang.
- Gambar SHAMSUDIN SALEH


KUALA MUDA 16 Mei - Selepas hampir empat tahun menunggu, penduduk di perkampungan nelayan Kuala Muda yang menjadi mangsa bencana tsunami pada Disember 2004 'merajuk' apabila projek rumah tersusun yang dijanjikan masih belum dapat diduduki.

Difahamkan, projek 600 unit perumahan yang turut dikenali sebagai 'banglo tsunami' itu sudah siap sepenuhnya tetapi entah di mana silapnya, proses penyerahan kepada penduduk terbabit masih belum dilaksanakan.

Rata-rata penduduk perkampungan nelayan itu yang ditemui mengakui sudah bosan menunggu dan tidak mahu berharap lagi untuk berpindah ke rumah baru yang dijanjikan kepada mereka.

Sebelum ini, projek tersebut tertangguh hampir setahun ekoran beberapa masalah termasuk kecurian di tapak projek, kesukaran mendapatkan bahan mentah termasuk simen selain faktor cuaca yang didakwa pemaju sebagai antara faktor kelewatan.

Lebih menghairankan, pelaksana projek berkenaan, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebelum ini menyatakan kerja-kerja akhir projek sudah selesai dan penduduk boleh berpindah selewat-lewatnya Februari lalu.

Tetapi proses perpindahan itu terus tertangguh sehingga hari ini.

Penduduk yang kesal dengan kelewatan itu menyifatkan, proses perpindahan berkenaan amat membingungkan kerana tiada satu pihak pun tampil untuk memberi penjelasan berhubung status projek perumahan berkenaan.

Seorang penduduk, Mohd. Noor Ibrahim, 50, berkata, para penduduk semakin bingung apabila projek itu yang sebelum ini sudah tertangguh beberapa kali masih belum dapat diduduki walaupun dilaporkan sudah siap.

"Sudahlah...kami pun tidak tahu hendak cakap apa, dulu heboh surat khabar kata rumah sudah siap tapi sampai sekarang pun tidak ada apa-apa perkembangan pun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Noor yang juga nelayan berkata, penduduk sudah bosan untuk merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa kerana aduan demi aduan yang dilakukan sebelum ini tidak mendapat perhatian.

Malah katanya, sehingga kini tiada mana-mana pihak termasuk SPNB datang dan berbincang mengenai perkara tersebut sehingga menyebabkan penduduk terus tertanya-tanya.

Seorang nelayan, Abdul Hamid Din, 51, pula berkata, dia sekeluarga sudah tidak menaruh harapan tinggi untuk berpindah kerana sudah bosan menunggu sejak setahun lalu.

"Kami sekeluarga tak nak fikir sangat dah. Tidak pindah pun kami tidak kisah kerana sebelum ini tunggu-tunggu apa pun tidak jadi," jelasnya yang tinggal di kampung itu sejak 45 tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk memperbaiki rumahnya yang sudah usang kerana tidak mahu lagi menunggu lama untuk berpindah ke rumah baru yang dijanjikan.

Bagi Sharifah Rohizan, 38, berkata, penduduk hairan kerana pihak berkuasa dan pemaju projek berkenaan langsung tidak turun padang bagi memberi penjelasan kepada penduduk berhubung perkembangan projek itu.

"Kita jadi bingung kerana banyak perkara yang belum dijelaskan, soal bayaran dan terma perjanjian serta pampasan untuk merobohkan rumah lama juga tidak dijelaskan," ujarnya.

Keadaan itu katanya, boleh menyebabkan kekecohan sekiranya proses perpindahan dijalankan pada masa depan kerana penduduk terlibat tidak mendapat gambaran yang jelas berhubung terma-terma yang digariskan pihak berkenaan.

Pandangan itu disokong oleh Tee Hang Peng, 48, yang mendakwa, keadaan rumah baru di tapak projek tersebut juga dilaporkan bermasalah termasuk kebocoran pada siling dan keretakan pada dinding.

"Nilai rumah (asal) pula berbeza-beza antara setiap penduduk, ada kecil dan ada yang besar. Jadi kita mahu bagaimana bentuk pampasan yang akan diberikan," jelasnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.