ARKIB : 15/05/2008
Culik kanak-kanak libat sindiket antarabangsa
KUALA Lumpur 14 Mei - Polis tidak menolak kemungkinan kes-kes penculikan kanak-kanak di negara ini melibatkan rangkaian sindiket antarabangsa.
Ekoran itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan polis antarabangsa bagi mengesan individu yang terlibat dalam sindiket berkenaan.
"Kita menjalin perhubungan dua hala dengan negara ASEAN bagi mengenal pasti sama ada kumpulan dari negara-negara mereka terlibat dalam kes-kes penculikan kanak-kanak," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pertama persidangan Yayasan Pencegahan Jenayah ASEAN (ARCPF) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Duta Indonesia di Malaysia yang juga Pengerusi ARCPF, Tan Sri Prof. Da' Bachtiar dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.
Musa memberitahu, polis akan sentiasa mengadakan kerjasama rapat secara berterusan dengan negara anggota ASEAN bagi mengumpul data-data berhubung kes-kes penculikan.
"Perkongsian maklumat adalah penting... Mungkin ia (penculikan) melibatkan sindiket antarabangsa," katanya.
Beliau memberi penjelasan demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penculikan Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang masuk hari ke-127 hari ini.
Kanak-kanak itu dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya.
Terdahulu dalam ucapannya, Musa meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di rantau Asia Tenggara supaya lebih bersifat proaktif dalam menangani jenayah terancang merentasi sempadan yang dianggap sebagai ancaman utama keselamatan negara.
Beliau berkata, fenomena jenayah terancang berbentuk global terutamanya dalam kes-kes penculikan, akhirnya dikesan terlibat dengan kes seksual dan buruh paksa.
"Membanteras jenayah berkenaan serta melindungi mangsa-mangsa yang terlibat itu merupakan salah satu cabaran utama yang dihadapi setiap negara di rantau ini," katanya.
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









