VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
TERKINI

ARKIB : 13/05/2008

Isu Batu Putih: Johor akan iktiraf keputusan ICJ

13/05/2008 3:22pm

JOHOR BAHRU 13 Mei Kerajaan Johor dan rakyatnya bersedia mengiktiraf apa jua keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura ke atas Pulau Batu Putih pada 23 Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, walaupun isu tuntutan tersebut amat dekat di hati rakyat negeri ini namun tidak timbul soal tidak boleh menerima keputusan itu jika ia tidak menyebelahi Malaysia.

"Apabila kedua-dua negara memilih ICJ sebagai tempat rujukan maka setiap keputusan akan diterima oleh kerajaan negeri dan rakyatnya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Bersama antara Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dengan Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan MSC Cyberport Sdn. Bhd. di Menara MSC Cyberport di sini hari ini.

Mahkamah tersebut dijangka mengeluarkan keputusan tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di antara Malaysia dan Singapura pada 23 Mei ini.

Keputusan tersebut akan menamatkan pertikaian berhubung tuntutan pulau tersebut setelah enam bulan pendengaran lisan dikemukakan oleh pasukan kedua-dua negara di The Hague, Belanda sejak tahun lalu.

Abdul Ghani memberitahu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dijadual menghadap Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail pada Khamis ini bagi menjelaskan isu-isu berkaitan tuntutan tersebut sebelum keputusannya diperoleh 23 Mei ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof dan pegawai-pegawai daripada pejabat tanah negeri akan berlepas ke Belanda bagi mendengar keputusan itu.

Kedua-dua negara berjiran tersebut mengemukakan tuntutan terhadap kedaulatan pulau kecil yang menjadi rebutan sejak 1980 kepada ICJ pada Februari 2003.

Pendengaran lisan terhadap tuntutan itu bermula pada 6 November lalu dan kedua-dua negara berikrar untuk mematuhi keputusan ICJ.

Pasukan Malaysia dan Singapura yang terdiri daripada peguam dan diplomat melakukan pendengaran lisan berhubung tuntutan berkenaan di Belanda dari 6 hingga 23 November tahun lalu.

Isu tuntutan bertindih ke atas pulau itu timbul apabila Singapura mula mempertikaikan kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih pada 1980, 25 tahun selepas berpisah dengan Malaysia.

Wisma Putra telah berusaha menyelesaikan pertikaian itu sejak lebih sedekad lalu dengan perbincangan dua hala yang pertama diadakan pada 1993 dan kedua pada 1994.

Kedua-dua perbincangan itu bagaimanapun tidak berjaya menyelesaikan pertikaian tersebut.

Sehubungan itu, satu perjanjian khas telah ditandatangani pada 6 Februari 2003 oleh kedua-dua negara untuk membawa isu tersebut ke ICJ bagi menyelesaikan pertikaian mengenainya.

Dengan termeterainya perjanjian itu, keputusan berhubung kedaulatan pulau tersebut serta dua lagi pulau batu berhampirannya akan ditentukan oleh mahkamah berkenaan. - Utusan

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.