VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 September 2014 / 29 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 13/05/2008

Penting bendung inflasi

ISU kenaikan harga makanan yang kini melanda negara-negara di dunia membentuk kebimbangan yang bukan sedikit di kalangan penghuni planet yang menampung kira-kira 6.6 bilion penduduk ini.

Tidak dinafikan krisis harga makanan jika tidak dibendung boleh saja menukar rupa wajah sesebuah negara daripada aman kepada huru-hara.

Ini kerana 'politik perut' sentiasa mengatasi segala kerenah politik yang lain lantaran manusia perlu mengalas perut untuk membolehkan mereka berfikir secara rasional dan bertindak dengan lebih waras.

Paling membimbangkan ialah kenaikan harga makanan pada tahap yang tidak boleh diterima akal mendorong kepada peningkatan kadar inflasi seterusnya menjadi punca yang menekan rakyat sehingga boleh melumpuhkan ekonomi sesebuah negara.

Bayangkanlah harga dua kilogram beras di Bangladesh kini adalah separuh daripada pendapatan harian keluarga miskin di negara itu.

Di Indonesia pula kenaikan 10 peratus harga beras di negara tersebut bermakna penambahan 2 juta penduduk lagi dalam angka kemiskinan yang sedia tercatat di situ.

Malah Bank Dunia menarik perhatian mengenai kenaikan harga makanan yang dijangka menyebabkan 100 juta penduduk dunia jatuh dalam kategori kemiskinan melarat.

Paling menyedihkan apabila dikatakan bahawa kenaikan harga makanan ini akan menjadi satu fenomena sehingga tahun 2015.

Punca-punca seperti pengeluaran hasil pertanian yang rendah dan masalah cuaca misalnya mendorong kenaikan harga gandum sebanyak 120 peratus, beras (75 peratus), manakala keluarga miskin membelanjakan sehingga 80 peratus daripada bajet mereka untuk makanan.

Harga makanan yang tinggi kini membelenggu lebih berjuta-juta penduduk di dunia, malah kemelut itu juga menjadi ancaman kepada masalah kekurangan zat yang telah pun menjadi punca kematian lebih 3.5 juta kanak-kanak setahun.

Bank Dunia menganggarkan terdapat 36 buah negara berhadapan dengan kemungkinan menghadapi masalah berikutan kemelut bahan makanan yang sukar diperoleh dan mahal harganya.

Sebanyak 21 daripada 36 negara yang mengalami krisis makanan adalah di subsahara Afrika.

Rantau itu mengimport 45 peratus daripada keperluan gandum dan 84 peratus berasnya.

Masalah peningkatan harga makanan yang mendorong kepada kenaikan kadar inflasi juga melanda negara-negara seperti India, Mesir dan Haiti yang dilanda rusuhan demi rusuhan berikutan kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga makanan ruji secara melampau.

Di Malaysia, kesungguhan kerajaan untuk membendung kenaikan harga makanan dan peningkatan kadar inflasi ditunjukkan menerusi penubuhan Jawatankuasa Menangani Inflasi yang menyediakan peruntukan sebanyak RM4 bilion serta mengadakan stok penimbal.

Seperti yang diakui oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif sebagai persediaan jangka panjang menghadapi cabaran tersebut.

Faktor penyebab berlakunya inflasi didorong oleh kenaikan harga barang makanan di pasaran dunia, harga komoditi dan kenaikan kos bahan bakar yang mempunyai implikasi meluas ke atas ekonomi dan kehidupan penduduk dunia.

Kenaikan hargaPensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah ketika ditanya senario tersebut berkata, pada umumnya inflasi bermakna "kenaikan harga yang berterusan dalam tingkat harga umum."

Harga umum itu merujuk kepada paras harga bagi keseluruhan barangan dan perkhidmatan di dalam sesuatu ekonomi di sesebuah negara pada sesuatu masa tertentu.

''Oleh kerana terlalu banyak bilangan barangan dan perkhidmatan yang ada pada sesuatu masa itu maka satu kaedah telah dibentuk untuk mengukur paras harga umum tersebut.

''Kaedah itu menggunakan pendekatan mengambil sebilangan barangan dan perkhidmatan di pasaran dan menjadikannya wakil kepada keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi itu.

''Kaedah ini jugalah yang digunakan di Malaysia dan harga barangan serta perkhidmatan tersebut diukur dan ia dipanggil sebagai Indeks Harga Pengguna (IHP),'' katanya kepada Utusan Malaysia.

IHP diukur dengan cara membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun asas dengan purata harga bagi tahun semasa. Menerusi perbandingan inilah inflasi dapat dikenal pasti. Dengan kata lain kadar inflasi adalah peratus perubahan paras harga IHP barangan dan perkhidmatan tahun semasa berbanding tahun asas.

Menurut Haim, peningkatan inflasi akan berlaku apabila paras harga umum terus meningkat secara berterusan dalam satu-satu tempoh masa. Sesuatu kenaikan harga yang bersifat sementara seperti kenaikan harga barang atau perkhidmatan akibat daripada faktor bencana alam atau kerana dasar kerajaan seperti menaikkan kadar cukai barangan tertentu tidak dianggap sebagai inflasi kerana ia hanya berlaku sekali sahaja.

''Tetapi kenaikan harga minyak secara berterusan adalah contoh terbaik untuk mengilustrasikan faktor penyebab berlakunya kenaikan kadar inflasi,'' katanya.

Beliau menarik perhatian mengenai kenaikan kadar inflasi yang banyak disumbangkan oleh persekitaran pasaran harga minyak mentah dunia yang kini melebihi AS$120 setong.

Di samping itu pertumbuhan ekonomi global yang tidak stabil turut mendorong tekanan inflasi untuk masa terdekat.

Menurut Haim, kadar kenaikan harga yang tidak terkawal pasti akan memburukkan lagi kadar inflasi dan tidak mustahil mampu melumpuhkan ekonomi sesebuah negara itu.

Ekonomi yang lumpuh pastinya akan membawa kepada permasalahan sosial yang serius dan akhirnya boleh menggugat kestabilan politik dan kerajaan.

''Meningkatnya kadar inflasi bermakna meningkatlah kos sara hidup rakyat dan secara langsung akan menurunkan taraf hidup mereka.

''Adalah jelas untuk dilihat hari ini bahawa kadar harga barang atau perkhidmatan yang sama yang pernah diperoleh dahulu telah meningkat naik. Ini bermakna kuasa beli untuk jumlah ringgit yang sama telah menjadi semakin kecil,'' katanya.

Jika dilihat dari sudut makro pula, katanya, kadar inflasi tinggi akan mengurangkan daya saing sesebuah negara. Secara khususnya ia akan menyebabkan syarikat menanggung peningkatan kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan dihasilkan.

Kesan negatif tersebut akan lebih dirasai oleh syarikat berorientasikan eksport.

Jika ini berterusan ia mampu menyumbang kepada penurunan minat pelabur tempatan dan asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

Menurut Haim, kini tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memastikan kadar inflasi dapat dikawal dan diturunkan sehingga akhirnya mencapai tahap inflasi sifar. Secara umumnya, inflasi boleh disebabkan oleh mana-mana satu daripada faktor-faktor ataupun kombinasi faktor-faktor seperti inflasi tolakan kos, tarikan permintaan dan inflasi yang diimport.

Untuk membendung inflasi tolakan kos, warga perniagaan iaitu pengeluar perlu memastikan tahap keefisienan operasi mereka berada di tahap tertinggi.

Peningkatan kos upah sebagai contohnya pasti akan menurunkan kadar keuntungan mereka dan antara langkah popular yang sering diambil oleh syarikat untuk terus mengekalkan kadar keuntungan mereka ialah menaikkan harga barang.

Apabila ini berlaku maka tingkat harga umum akan meningkat dan penyusutan nilai ringgit akan terus berlaku atau dengan kata lain kadar inflasi akan meningkat lagi.

Kadar permintaanDi samping itu pengeluar juga perlu bijak menjangkakan kadar permintaan dan penawaran barangan dan perkhidmatan mereka di pasaran. Kemampuan membuat jangkaan tepat penawaran dan permintaan mampu mengekang kenaikan kadar inflasi.

Inflasi berlaku apabila terjadi peningkatan mendadak permintaan berbanding penawaran barangan dan perkhidmatan di pasaran pada sesuatu masa tertentu di sesebuah negara itu. Keadaan ini selalu juga berlaku apabila ekonomi sesebuah negara itu berada pada tingkat guna tenaga penuh.

Inflasi juga boleh wujud akibat daripada aktiviti import. Keadaan ini boleh berlaku apabila rakyat cenderung membeli barangan import.

Kesannya dapat dilihat dengan ketara apabila berlaku peningkatan harga barangan akibat daripada peningkatan kos pengeluaran di negara pengeluar (asing) tersebut.

Usaha harus digembleng agar pengguna tidak membuat jangkaan yang harga akan naik pada masa hadapan. Ini adalah perlu kerana jika mereka mula panik maka senario krisis gula, tepung dan beras akan berulang dan tidak mustahil berlaku ke atas barangan atau perkhidmatan lain.

Dengan kata lain inflasi akan meningkat apabila pengguna berbelanja secara 'luar biasa' akibat daripada andaian bahawa barangan akan kehabisan stok dan keadaan ini sering kali akan digunakan oleh pengeluar untuk meraih keuntungan berganda dengan meningkatkan harga barang atau perkhidmatan yang ditawarkan itu sesuka hati mereka.

Secara keseluruhannya usaha membendung inflasi ini adalah tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia. Kempen anti inflasi ataupun inflasi sifar harus dirancakkan semula sehingga ia mampu menjadi isu utama semua pihak di setiap lapisan masyarakat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.