|
ALOR STAR 12 Mei - Percaya atau tidak, kira-kira 70,000 pesawah di negeri ini hanya meraih pendapatan secara purata kira-kira RM180 bagi setiap relung padi yang dituai.
Pulangan yang tidak setimpal dengan keringat yang dicurahkan itu berpunca daripada peningkatan kos input tani yang terpaksa ditanggung pesawah.
Malah, keringat pesawah dari negeri Jelapang Padi ini tidak berbaloi walaupun padi dari Kedah penyumbang kepada lebih 40 peratus pengeluaran beras negara.
Pengerusi Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Radin berkata, secara purata, petani kini terpaksa mengeluarkan perbelanjaan penyelenggaraan RM820 bagi setiap relung sawah yang diusahakan.
Ini melibatkan kos merumput RM40, membajak (RM100), benih padi (RM75), pelbagai jenis racun (RM150), membaja termasuk baja tambahan (RM65), tuaian (RM90) dan kos sewa bendang RM300.
"Dengan purata pendapatan RM1,000 serelung, pesawah secara realitinya hanya mempunyai baki keuntungan RM180. Mereka terasa begitu terhimpit dengan kos penyenggaraan yang semakin tinggi," katanya Ahmad kepada Utusan Malaysia.
Beliau mencadangkan beberapa langkah lain diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengurangkan kos input pertanian dan meningkatkan pendapatan penanam padi.
Antaranya menjadikan input pertanian seperti racun dan baja sebagai bahan kawalan supaya peruncit tidak menaikkan harga barangan tersebut dengan sewenang-wenangnya.
Langkah lain ialah meningkatkan penguatkuasaan bagi memantau kewujudan input pertanian yang tidak berdaftar.
Ahmad berkata, terdapat banyak peruncit menjual input pertanian tidak berkualiti sehingga menjejaskan pengeluaran padi.
"Kerajaan juga diharap dapat meningkatkan insentif input pertanian seperti memberi bantuan tambahan terutama racun dan baja," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, jika pendapatan pesawah yang mengerjakan bendang setimpal dengan usaha dilakukan, ia secara tidak langsung mampu memberi perangsang khususnya kepada golongan muda untuk turut terlibat dalam sektor pertanian.
Menurut beliau, penglibatan golongan berkenaan sebagai pesawah adalah amat penting bagi memastikan kesinambungan pengeluaran padi negara.
Beliau memberitahu, daripada kira-kira 70,000 pesawah di seluruh Kedah, hampir 90 peratus daripada mereka berusia dalam lingkungan lewat 50-an dan 60-an.
"Jika golongan muda tidak berminat menjadi pesawah kerana pendapatan tidak setimpal, bagaimana kita mahu memastikan sektor pengeluaran padi negara akan terus berkembang apabila pesawah sedia ada yang sudah berusia tiada nanti?" katanya.
IKLAN@UTUSAN
|