VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KOTA

ARKIB : 12/05/2008

Rumah ada, CF tiada


SEBAHAGIAN penduduk Taman Puncak Jalil Fasa 10, Bukit Jalil berbincang mengenai masalah mereka yang masih belum mendapat CF sejak 2004 walaupun rumah telah siap.- Gambar JEFFRI IRAN


KUALA LUMPUR 11 Mei - Impian 96 pembeli rumah di Fasa 10, Taman Puncak Jalil, Bukit Jalil dekat sini, untuk memiliki rumah idaman masing-masing tidak kesampaian apabila pihak pemaju didakwa gagal menyerahkan kediaman mereka pada 2004 lalu.

Kegagalan tersebut berlanjutan sehingga kini sehingga menyebabkan penduduk mula hilang sabar.

Mereka bertindak lebih 'garang' apabila menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Tidak cukup dengan itu, para penduduk terbabit turut menjemput Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Ir. Iskandar Abdul Samad untuk turun padang bagi mendengar dan melihat sendiri masalah yang dihadapi mereka itu, baru-baru ini.

Utusan Malaysia turut sama melawat kawasan perumahan tersebut bagi mendapatkan gambaran jelas masalah yang dihadapi oleh para pembeli rumah terbabit.

Melihat kawasan perumahan tersebut, pasti tiada siapa percaya kediaman itu tidak berpenghuni kerana keadaan rumah yang telah siap dibina.

Apa yang menjadi persoalan, mengapakah pihak pemaju tidak menyerahkan rumah tersebut kepada pemiliknya sedangkan sewa dibayar setiap bulan?

Walaupun jawapannya agak tidak munasabah, namun itulah hakikat yang perlu ditanggung oleh 96 pembeli terbabit.

Percaya atau tidak, kegagalan menyerahkan rumah tersebut pada tarikh yang ditetapkan, adalah disebabkan pihak pemaju didakwa masih belum membuat permohonan sijil layak menduduki (CF) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Menurut Iskandar, pembeli telah menanti untuk mendiami rumah tersebut hampir beberapa tahun, namun sehingga kini mereka tidak dapat berbuat demikian.

Tambahnya, penduduk sudah puas berjumpa dengan pemaju supaya memberi mereka CF, namun permintaan tersebut tidak diendahkan.

Ujar beliau, mereka juga mendesak MPSJ supaya memberi CF tersebut, bagaimanapun ia tidak dapat berbuat demikian.

''MPSJ bukan tidak mahu memberikan CF tersebut kepada penduduk, tetapi pihak pemaju yang tidak membuat permohonan dan memberi pelbagai alasan dengan mendakwa masih banyak perkara yang belum siap lagi.

''Bagaimanapun, berdasarkan pemeriksaan, hanya beberapa perkara kecil sahaja perlu dilakukan sebelum kesemua rumah yang terlibat layak mendapat CF, iaitu pemaju hanya perlu membersihkan lalang, buang sisa-sisa binaan dan membaiki beberapa kerosakan yang terdapat dalam bangunan.

''Tambahan pula, pihak MPSJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Indah Water Konsortium (IWK) telah membuat beberapa pemeriksaan berkaitan rumah itu.

''Mereka mendapati rumah tersebut selamat untuk diduduki dan pembeli hanya perlu mendapat CF sahaja,'' katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, keengganan pemaju itu pasti akan membuat keadaan menjadi lebih tegang, memandangkan pembeli telah membayar sewa rumah berkenaan pada setiap bulan.

Beliau menambah, bagi memberi keadilan kepada semua pihak, pemaju perlu mendapat surat sokongan daripada pihak bomba dan IWK serta menghantar permohonan mendapatkan CF kepada MPSJ.

Katanya, ia akan mengambil masa 14 hari untuk diproses.

Sementara itu, dalam sesi dialog pemaju dan penduduk dalam lawatan itu, berlaku pertengkaran dan saling bertikam lidah berhubung perkara itu.

Menurut wakil pemaju yang enggan namanya disiarkan, syarikat mereka tidak boleh menyerahkan CF tersebut memandangkan perlu menyiapkan 3,000 unit rumah berhampiran kawasan tersebut.

''Setelah projek tersebut siap, pemaju pastinya akan menyerahkan CF tersebut dan saya amat berharap pembeli bersabar.

''Selain itu, pemaju juga perlu menyenggarakan beberapa masalah kecil lain seperti kemudahan infrastruktur serta pemotongan rumput,'' jelasnya.

Bagaimanapun, kata-kata wakil pemaju tersebut disambut dengan ejekan daripada pembeli kerana mereka sudah tidak dapat menerima lagi pelbagai alasan syarikat terbabit.

Iskandar seterusnya berkata, perkara tersebut akan dibawa kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar mereka dapat meneliti tentang permasalahan itu dengan segera bagi membela nasib pembeli teraniaya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.