Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 02/05/2008
Penduduk pedalaman kecewa masih tidak terima siaran TV

Penduduk pedalaman kecewa masih tidak terima siaran TV

KOTA KINABALU 1 Mei - Walaupun sistem telekomunikasi di negara ini merupakan antara yang terbaik di dunia, namun masih ada penduduknya terutama di kawasan pedalaman masih belum dapat menikmati siaran televisyen dan radio.

Ahli Dewan Undangan Negeri Liawan, Datuk Sairin Karno yang kecewa dengan fenomena itu itu berkata, apa yang menyedihkan usaha untuk mengatasi masalah itu begitu lambat dilakukan.

Akibatnya kata beliau, penduduk terbabit terus terasing dan terpinggir daripada menikmati maklumat arus perdana.

''Inilah masalah yang sentiasa disuarakan oleh rakyat di kawasan pedalaman kerana mereka seolah-olah terpinggir daripada arus kemajuan semasa bukan sahaja infrastruktur tetapi juga maklumat dan hiburan.

''Berikutan masalah ini, ramai yang terpaksa menggunakan parabola tetapi pihak berkuasa pula mengancam akan merampas kerana melanggar peraturan dan undang-undang," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa melonggarkan sedikit syarat pemilikan parabola kepada penduduk yang berkaitan kerana tujuan mereka cuma untuk menikmati siaran televisyen khususnya RTM.

Beliau berkata, selain parabola yang berharga antara RM800 hingga RM1,000, penduduk juga mempunyai alternatif melanggan siaran televisyen berbayar Astro tetapi bayaran bulanannya terlalu tinggi dan mereka tidak mampu.

Berikutan itu, beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah telah menyuarakan kepada Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek agar dipasang menara pemancar di kawasan Keningau bagi membolehkan siaran RTM dan radio dapat dinikmati rakyat di bahagian pedalaman seperti Tenom, Kemabong, Pensiangan, Nabawan dan Tambunan.

Malah katanya, TV3 juga diharapkan dapat meluaskan siaran mereka bagi penduduk di pedalaman yang begitu dahagakan rancangan-rancangan semasa.

Beliau turut merayu pihak Astro jika dapat mengurangkan kadar bayaran bulanan khas kepada penduduk pedalaman kerana meskipun terdapat berpuluh-puluh saluran tetapi sering berhadapan dengan gangguan cuaca.

Tambah beliau, adalah tidak munasabah dalam keadaan negara yang sudah merdeka selama 50 tahun, masih ada kawasan yang tidak mendapat siaran televisyen dan radio tempatan.

Mengulas mengenai kenyataan Ahmad Shabery bahawa sebuah stesen radio cawangan Keningau akan dibuka, beliau berkata, keputusan itu amat dialu-alukan bagi memastikan masyarakat di Keningau yang terdiri daripada masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut menikmati kemudahan siaran radio setempat.

Katanya, stesen tersebut diharapkan menyalurkan mengenai maklumat semasa terutama memberi kefahaman dasar-dasar dan program pembangunan yang akan dan sedang dilaksanakan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN