Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 02/05/2008
11 NGO turut tuntut hapus polisi gaji murah

11 NGO turut tuntut hapus polisi gaji murah

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kerajaan digesa memansuhkan polisi gaji murah dan menetapkan kadar bayaran gaji minimum RM900 sebulan kepada semua pekerja swasta.

Gesaan itu dibuat oleh 11 kumpulan pekerja swasta di negara ini melalui 'Deklarasi Mei Satu 2008' yang diserahkan kepada lebih 10 wakil rakyat daripada pakatan pembangkang hari ini untuk dikemukakan kepada kerajaan.

Kumpulan tersebut terdiri daripada golongan pekerja ladang, kilang, peneroka bandar, wanita, petani, belia dan pelajar, media aliran alternatif, bumiputera (Sabah dan Sarawak) serta dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

Wakil daripada gabungan pekerja kilang dan kesatuan, Nathan Vellaisamy ketika ditemui berkata, golongan pekerja juga mahu kesatuan sekerja ditubuhkan secara automatik, manakala majikan pula tidak boleh menghalang penubuhan itu.

''Kami juga mahu cuti bersalin ditambah dari dua bulan kepada tiga bulan dan bonus setiap tahun kepada pekerja kilang,'' katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Pekerja anjuran beberapa NGO dan pakatan pembangkang Rakyat di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian di sini.

Kumpulan pekerja tersebut menyenaraikan 15 tuntutan untuk diserahkan kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang hadir pada majlis tersebut.

Terdahulu, kumpulan NGO dan ahli-ahli Parlimen pembangkang terbabit serta kira-kira 200 orang cuba berhimpun di Dataran Merdeka pagi ini untuk acara perarakan sempena Hari Pekerja itu, tetapi dihalang polis kerana tiada permit untuk berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman berkata, beberapa anggota dan pegawai polis terpaksa dikerah ke Dataran Merdeka bagi menghalang perhimpunan tersebut.

Kesemua mereka kemudian meninggalkan kawasan Dataran Merdeka selepas diberi amaran oleh polis, tanpa sebarang insiden dan terus menuju ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian di Jalan Hang Tuah untuk meneruskan acara.

Menurut Mohamad Zulkarnain, polis sebelum ini tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana kumpulan untuk menganjurkan perhimpunan atau perarakan di Dataran Merdeka.

Sebaliknya, kata beliau, polis hanya menerima sepucuk surat daripada wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvam pagi ini meminta kebenaran untuk mengadakan perarakan di situ.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN